AYA sanjung ketabahan wanita yang sanggup bermadu. Berbanding saya, mereka baik hati dan penyabar. Sebaliknya saya apabila dapat tahu suami, Wan ada teman wanita, saya terus kata - lebih baik kahwin daripada buat dosa dan ceraikan saya.
''Mulanya Wan menafikan dan tuduh saya cemburu, suka dengar cerita orang dan macam-macam lagi. Dia enggan ceraikan saya. Tapi saya cekap cari bukti. Saya sendiri pergi mencarinya di rumah wanita tersebut. Daripada ditangkap basah, malu pada masyarakat dan saudara mara, saya suruh dia menikah,'' cerita Norfarah dalam e-melnya.
'' Sejak rahsianya terbongkar, saya jadi murung. Sudahlah sehari suntuk bekerja, mengandung pula anak ketiga. Amat memenatkan! Sedangkan suami sentiasa cari helah balik lewat malam dan tidur di rumah kekasihnya. Memang menyakitkan hati.
''Rimas dengan kerenah suami dan setelah penat menasihat, akhirnya saya sedar lebih baik tak ada suami mungkin boleh hidup tenang walaupun dalam kesempitan. Saya buat keputusan muktamad bercerai. Saya bukan isteri penyabar yang boleh tahan dengan kerenah manusia suka berbohong dan suka buat dosa.
''Bukan saya hendak menghina bekas suami atau isteri barunya tetapi ingin berkongsi pengalaman hidup agar wanita senasib saya tidak mengambil tindakan terburu-buru lari daripada masalah. Setiap masalah yang datang adalah ujian-Nya untuk kita menjadi lebih tabah.
Bomoh''Kalau suami suka bercinta tentulah dia berhajat nak kahwin lagi, jadi buat ketetapan untuk diri sendiri. Adakah kita sanggup bermadu atau sanggup ditipu beberapa kali. Jika kedua-dua jalan itu tidak disetujui lebih baik bercerai. Itu tindakan yang baik daripada buat dosa.
''Kalau wanita tak mahu bercerai dan bermadu, dia akan buat macam-macam untuk pertahankan suaminya. Jumpa bomoh sudah pasti, memburuk-burukkan suami dan sentiasa bergaduh sepanjang masa. Saya tak sanggup lalui semua itu maka saya ambil tindakan untuk bercerai. Wan menangis ketika menceraikan saya, tapi saya reda.
''Falsafah hidup saya mudah. Mungkin saya ada kekurangan sebab itu dia cari orang baru yang lebih baik, yang dapat memenuhi seleranya.
''Atas persetujuan bersama, ikatan perkahwinan kami selama tujuh tahun berakhir. Saya diceraikan dengan tiga anak yang masih kecil, yang sulung ketika itu baru lima tahun dan yang bongsu baru setahun setengah.
''Memang sedih, tapi apa nak dikata mungkin di situ saja jodoh saya dengan Wan. Memang ada adik-beradik yang tak senang hati dengan keputusan saya dan tuduh saya keras kepala. Kalau suami dah mengaku mahu berubah, terima sajalah tak payah bercerai.
''Semasa di Mahkamah Syariah, Wan berjanji akan beri nafkah anak-anak, nafkah idah untuk saya di samping membenarkan saya tinggal di rumah yang baru empat tahun kami beli. Katanya dia akan bayar ansuran rumah tersebut kerana satu hari nanti akan diberikan kepada anak-anaknya.
''Katanya lagi tak payahlah buat potongan nafkah dengan majikannya. Sebagai ayah dia sedar dan tahu tanggungjawabnya untuk membesarkan anak-anak. Lapang dada saya. Saya pegang pada janjinya kerana yang penting kami ada bumbung untuk berteduh. Kami telah berjanji bercerai secara baik demi anak-anak.
''Malangnya itu semua janji Wan hanya buat pemanis mulut di depan hakim. Hakikatnya lepas dua bulan bercerai, Wan minta tangguh bayar nafkah idah, nafkah anak-anak dia bayar setakat empat bulan sahaja sebanyak RM400, lepas itu dia cuma bayar RM200, itupun kadang bayar kadang tidak. Lepas itu dia hilang. Saya telefon dia tak angkat.
''Hanya wanita yang diceraikan seperti saya sahaja tahu penderitaan yang terpaksa saya lalui. Mana nak bayar duit upah jiran jaga tiga anak, susu dua anak lagi. Apabila terlewat ambil anak, kena pulak bayar lebih masa. Memang perit. Untungnya saya tak kena bayar sewa rumah.
''Dalam sibuk dengan anak-anak dan tugas, akhirnya kawan Wan beritahu Wan dah berhenti kerja dia dapat kerja baru dengan gaji lebih di negeri lain. Tapi dia langsung tak beritahu saya. Enam bulan lepas cerai, saya terima surat bank, Wan tak bayar ansuran rumah. Lepas tu orang bank tak henti cari Wan. Akhirnya saya terima surat bank minta keluar rumah.
''Keadaan saya ketika itu memang sakit, sebab segala-galanya terpaksa saya tanggung sedangkan pendapatan tak sebanyak mana. Lepas ditolak bil, tambang bas, pengasuh anak, makan minum dan susu anak, tak berapa sen yang tinggal. Kerana tak mahu pening kepala, saya cari rumah sewa. Beban hidup saya semakin bertambah. Namun saya bersabar. Untuk jimat belanja, saya terpaksa hentikan susu anak. Ketika menghadapi masalah beginilah, ramai rakan dan saudara nasihatkan saya kahwin lagi. Kononnya suami baru mungkin boleh bantu kurangkan masalah kewangan yang saya hadapi.
''Tapi pada saya, itu bukan jalan penyelesaian. Mungkin menambah masalah lebih besar. Secara logiknya, mana ada lelaki baik dan bujang mahu mengahwini ibu tunggal beranak tiga. Buat menyusahkan hidup saja. Lagipun mana ada ibu bapa yang hendak terima menantu janda anak tiga. Kalau duda pun, tentu dia ada masalah nak bagi nafkah anak-anaknya dan nak tanggung saya.
"Ujian Allah datang bersama rahmat-Nya. Dengan kuasa-Nya juga hidup saya bertambah senang tahun demi tahun. Jiran yang tolong jaga anak-anak tidak pernah lagi beri masalah pada saya, malah jaga anak-anak saya seperti anaknya sendiri. Saya tidak bimbang untuk kerja lebih masa atau bertugas di luar daerah meninggalkan anak di bawah jagaannya.
''Dengan pendapatan sendiri, saya dapat beli rumah. Anak sulung sudah masuk kolej manakala dua lagi belajar di sekolah berasrama penuh. Saya rasa hidup lebih selesa seperti sekarang. Insya-Allah hingga ke akhir hayat," ujar Norfarah yang berkorban untuk anak-anak setelah dianiaya bekas suami.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: