Hasrat tembusi pasaran global

Syarikat pengeluar produk kecantikan dan kesihatan, Uniquepatra Body Care, berhasrat memasuki pasaran global didahului Indonesia, Dubai dan Eropah, Mei ini.

Pengarah Urusannya, Sheryna Mohamed Iftenie, berkata, kopi Tongkat Ali Double Power dan Unique White Cofffe menerima sambutan menggalakkan sejak dua minggu dilancarkan.

“Kami berjaya menjual sehingga 10,000 paket bagi kopi Tongkat Ali dan 7,000 paket bagi Uniq White Coffee. Sehingga kini, kami menerima permintaan dan dijangka meningkat pada masa akan datang,’ katanya, ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya, di Klang.

Menurutnya, buat masa kini, kopi pra campur itu hanya ditumpukan untuk pasaran tempatan dan boleh diperoleh di restoran-restoran terpilih. Katanya, sebagai perancangan masa hadapan, UniquePatra berhasrat mengeluarkan produk berasaskan kecantikan dan kesihatan.

Sheryna berkata, bagi memperluaskan lagi pasaran, UniquePatra mengalu-alukan mana-mana individu yang berminat menjadi pengedar bagi semua produk syarikat terutamanya Sabah dan Sarawak.

“Bermula Mac sehingga Mei ini, kami menawarkan harga terendah bagi pengedar berbanding harga asal pengedar tersedia sehingga 100 peratus pulangan keuntungan,” katanya, yang telah beroperasi sejak 2006.