Pasarkan kek secara online

Mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan hanya menjual produk kawan-kawan dijadikan platform mengumpul modal bagi memulakan perniagaan atas talian (online). Hanya bermodalkan RM300, Zurina M Yasin yang dahulunya suri rumah, nekad memulakan perniagaan secara online walaupun masih tidak mempunyai pelanggan.

Walaupun perolehannya hanya mencecah antara RM100 hingga RM200 sebulan pada peringkat awal tetapi dia tidak patah semangat meneruskan perniagaan. Berkat kesabarannya, perniagaannya kini mampu meraih RM1,200 sebulan.


Wordpress platform promosi

Zurina berkata, bagi melancarkan perniagaannya, dia membangunkan blog Wordpress sebagai medium promosi.

“Sekiranya perniagaan dilaksanakan semakin baik dan dana pembiayaan bagi tujuan tersebut mencukupi, saya berhasrat membangunkan laman sesawang sendiri. Selain Wordpress, laman sosial Facebook turut menjadi pilihan sebagai medan mempromosikan produk kerana ia dilihat mudah dan praktikal” katanya kepada Sinar Harian.


Pemasaran terhad

Katanya, berbeza dengan perniagaan lain, pemasaran bagi kek agak terhad kerana mudah terdedah dengan kerosakan dan cepat cair. Zurina berkata, berikutan faktor itu, maka dia hanya boleh memasarkan kek coklat bersalut dan kek puding karamel di sekitar Lembah Klang sahaja.

“Berbeza dengan serunding dan coklat yang mudah dipasarkan kerana pembungkusan digunakan dapat mengekalkan kualiti kedua produk itu sehingga diterima pelanggan. Sehingga kini, serunding dan coklat mampu menembusi pasaran Kelantan, Pulau Pinang dan Johor baik,” katanya.

Dia kata, penghantaran dilakukan dengan kaedah pos bergantung pada produk ditempah. Caj tambahan dikenakan bagi pelanggan sekitar Lembah Klang antara RM5 hingga RM15. Selain itu, bagi pelanggan berhampiran, dia akan menghantar terus ke destinasi tempahan.