Awek DVD tak serik premis kena serbu

ALOR SETAR - Tindakan seorang wanita mengubah lokasi premis bagi mengelak kegiatan mengedar cakera video digital (DVD) cetak rompak kepada peniaga pasar malam dikesan penguatkuasa sekali lagi terbongkar.

Ketua Cawangan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kedah/Perlis, Zainal Abidin Othman berkata, suspek berusia 20-an bersama seorang pembantu kedai itu pernah ditahan pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, mereka tidak serik menjalankan aktiviti berkenaan apabila bertindak menggunakan premis kedai di Mergong sebagai tempat operasi dipercayai dua bulan lalu setelah premis asal di rumah teres setingkat diserbu dalam operasi sebelum ini.

“Dalam serbuan yang dilakukan kelmarin, sekitar 4.50 petang, empat pegawai penguatkuasa berjaya merampas 5,669 keping DVD yang tidak mempunyai sijil perakuan B pada salinan kedua bagi tujuan pengedaran dengan nilai pasaran keseluruhan bernilai RM28,345. Kita juga turut merampas beberapa ratus keping DVD original tidak memiliki sijil perakuan B yang digunakan sebagai umpan untuk mengaburi mata penguatkuasa bagi melindungi DVD tidak original,” katanya kepada media di pejabat Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Anak Bukit, di sini, semalam.

Zainal Abidin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 (1) Akta Penapisan Filem 2002 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (5) akta yang sama dengan denda tidak kurang RM5000 dan tidak lebih RM30,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya.

“Semasa serbuan berkenaan, suspek dan pekerjanya sedang membungkus DVD untuk dimasukkan ke dalam kotak serta sebahagian DVD lain berada di atas rak manakala bahagian luar premis tidak diletakkan sebarang papan tanda perniagaan. Kita percaya tujuan suspek menjual DVD original tanpa sijil perakuan B untuk menjimatkan kos modal setiap keping DVD yang dijual walaupun tindakan berkenaan salah,” katanya.

Beliau berkata, hanya seorang suspek ditahan dan sudah dilepaskan dengan jaminan polis kelmarin.

“Kebanyakan DVD dirampas adalah filem baru, ada yang masih ditayangkan di pawagam dan belum sempat disusun dengan teratur. Kita memohon kepada mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat kepada suspek kerana kesalahan yang dilakukan berulang serta perlu menjadi pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, penguatkuasa merampas 22,626 keping DVD yang tidak mempunyai kelulusan perakuan atau sijil B pada salinan kedua bagi tujuan pengedaran, dengan nilai pasaran keseluruhan berjumlah RM113,130 yang didalangi seorang wanita tempatan berusia 21 tahun.