BAGAI isi dengan kuku, ilmu persilatan cukup terkenal dan tidak dapat dipisahkan daripada adat budaya masyarakat Melayu.
Berdasarkan bukti penemuan tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobodur dan Candi Prambanan di pulau Jawa, Indonesia, seni mempertahankan diri ini telah sebati dengan orang Melayu sejak abad ke-8 lagi.
Sehingga kini, pencak silat dijadikan platform penyatuan masyarakat Melayu untuk membentuk jati diri dan disiplin terhadap pengamalnya.
Oleh itu, tidak hairanlah mengapa ramai daripada kalangan kita menjadi pesilat dan tidak kurang pula ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk mendalami seni warisan itu.
Biarpun wujud beratus-ratus perguruan silat yang setiap daripadanya mempunyai gaya dan caranya yang tersendiri, secara umum asas silat dibahagikan kepada dua iaitu 'bunga' dan 'buah'.
Seni bunga adalah gerak tari yang lembut dan gemalai sebagai gerak untuk mengelirukan lawan. Manakala buah pula adalah gerak langkah yang keras, padu dan padat untuk menumpaskan lawan.
Salah satu pertubuhan silat yang cukup terkenal di negara ini ialah Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM).
Diasaskan oleh Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Mohd. Hashim yang merupakan cucu kepada Daeng Kuning, PSSGM semakin berkembang sehingga dikenali sebagai perguruan Gayong paling utama oleh penuntut silat Gayong.
Hal ini dapat dibuktikan dengan penyertaan kira-kira 8,000 peserta yang menyertai Sambutan Perayaan Jubli Emas PSSGM dan Perdana Gayong Malaysia Sedunia 2012 baru-baru ini di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS).
Sebagai warisan yang cukup unik, seni mempertahankan diri itu bukan sekadar alat persembahan pada sesebuah majlis mahupun untuk tujuan mempertahankan diri kerana ia mencerminkan identiti masyarakat Melayu.
Selaras dengan tuntutan ajaran Islam, seni ini juga mendisiplinkan pengamalnya secara langsung untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Dalam persilatan, ia sebenarnya mempamerkan adat dan cara menghormati lawan ataupun kawan, guru dan pemimpin itu sendiri selain perantaraan untuk mengeratkan perpaduan di kalangan orang-orang Melayu.
Semangat perpaduan
Melihat akan kepentingan perpaduan di kalangan umat Islam, PSSGM mengajak anak-anak Gayong untuk mengeratkan silaturrahim di kalangan saudara seagama melalui ilmu persilatan Gayong.
Yang Dipertua PSSGM, Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, masyarakat Melayu perlu disatukan bersandarkan kekuatan perpaduan untuk mencapai kedudukan tertinggi dan semulia-mulianya.
"Perpaduan Melayu dalam wadah perjuangan untuk agama, bangsa dan negara amat penting kerana ia adalah sendi utama kepada perpaduan nasional berbilang kaum di negara ini," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, perjuangan Gayong bermula sejak zaman Allahyarham Datuk Onn Jaafar ketika beliau menyandang jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Tubuh PSSGM.
"UMNO dan Gayong amat berkait rapat kerana ia didaftarkan oleh Datuk Onn Jaafar pada masa yang sama.
"Maka tidak hairanlah mengapa nombor pendaftaran UMNO (360) dan PSSGM (361) berdekatan antara satu sama lain sehingga wadah perjuangan mendaulatkan bangsa Melayu dan negara diperjuangkan berdasarkan perpaduan di kalangan ahli-ahlinya," katanya.
Adiwijaya berkata, seni silat Gayong merupakan kesinambungan perjuangan untuk menyatupadukan orang Melayu sejajar dengan kehendak pengasas seni silat itu.
"Perjuangan bangsa Melayu yang diperjuangkan orang Melayu melalui seni silat Gayong ini adalah sebahagian daripada perpaduan.
"Oleh itu, pengamal silat sejati perlu menginsafi perjuangan sejak turun-temurun yang menuntut keluhuran akhlak berdasarkan kepada ilmu dan kesungguhan mengotakan janji untuk mempertahankan negara tercinta," ujarnya.
Menurutnya, perpaduan di kalangan pengamal silat perlu dipertahankan agar ia tidak hilang ditelan zaman.
"Bangsa lain amat berbangga dengan ilmu mempertahankan diri mereka. Seperti yang kita ketahui, orang Korea bangga dengan taekwando, orang Cina bangga dengan kung-fu dan orang India berbangga dengan silambam.
"Biarpun orang kita berbangga dengan silat, tetapi untuk menyatupadukan semua pesilat dibawa satu perguruan amatlah sukar," jelasnya.
Daripada pecahan Gayong, timbul pelbagai perguruan silat yang ada di negara ini malah ada di kalangan pengamal Gayong yang keluar membawa diri turut menubuhkan pelbagai persatuan pesilat lain.
"Kalau kita sayangkan perpaduan dan ingin mewujudkan perpaduan di kalangan pengamal Gayong mengapa perlu anak-anak Gayong ini mewujudkan persatuan lain.
"Pengasas Gayong, Meor Abdul Rahman ingin menguatkan perpaduan tetapi dalam masa yang sama ada yang cuba untuk memecahkan perpaduan di kalangan pengamal silat Gayong sendiri.
"Sebab itu, kalau kita ingin berbicara jangan guna emosi, kalau tidak berpuas hati kenapa perlu mewujudkan badan lain. Kalau betul hendakkan perpaduan, mengapa tidak bersatu di bawah Gayong Malaysia sahaja" katanya.
Selaku Yang Dipertua PSSGM, Adiwijaya mengingati rakan-rakan yang terlupa dengan janji yang telah dikotakan.
"Sebelum kita belajar silat gayong, kita telah diperlimaukan oleh tok guru kita dan pada masa yang sama kita berjanji bersaksikan al-Quran sebagai ikutan dan garis panduan ahli Gayong.
"Tetapi bila kita sudah pandai bersilat, ikrar untuk taat setia menjadi ahli Gayong dilupai sehingga ada yang mengingkari janji yang dilafazkan.
"Ironinya, guru tersebut pula memperlimaukan anak murid baru dan beliau ingin anak didiknya itu mengotakan janji untuk taat setia namun pada masa yang sama guru tersebut sendiri tidak melaksanakan janji itu.
" Adakah dia merupakan seorang guru yang baik sedangkan dia bercakap tidak serupa bikin," ujarnya.
Kata orang dahulu kala, amanat guru perlu dijaga dan sejak Adiwijaya menyertai silat Gayong pada usia 14 tahun, beliau masih kekal bersama PSSGM biarpun kini berusia hampir 60 tahun.
Baginya, amanat tersebut perlu dijaga dan janji perlu dilaksanakan barulah ilmu yang dipelajari direstui guru terdahulu.
Sehingga kini, PSSGM mempunyai ahli yang aktif seramai 70,000 orang dan secara keseluruhan yang berdaftar sebanyak hampir tiga juta pesilat.
PSSGM berharap untuk menambah bilangan keahlian aktif sehingga 100,000 orang pada pertengahan tahun ini.
"Anak Gayong tidak ada yang menjadi samseng kerana dalam ilmu persilatan Gayong kami terapkan mereka dengan amalan mulia.
"Kalau nak jadi pendekar biarlah kena dengan caranya seperti contoh Laksamana Hang Tuah. Mereka yang suka menunjuk-nunjuk kehebatan bukan pendekar sejati.
"Pengamal ilmu persilatan perlu ada keperibadian yang baik dan kesabaran dalam hati. Bagi yang mempunyai sifat bongkak dan hipokrit tidak perlulah belajar ilmu persilatan agar tidak memalukan bangsa sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: