Monday, March 5, 2012

Mahu Ekspo Buku Islam sehebat PBAKL


PEGAWAI pemasaran syarikat penerbit As Sohwah, Siti Norfatin Mesron gigih mempromosi buku-buku karya pakar motivasi Islam terkenal, Dr. Muhaya Muhammad.


"Cuba dapatkan buku ini di Ekspo itu, buku itu bagus sekali untuk rujukan mengenai Sirah Nabi, terbitan Must Read Sdn. Bhd.," kata pendakwah muda popular Ustaz Don Daniyal Don Biyajid suatu hari kepada penulis.

Buku yang dimaksudkan adalah Biografi Agung Rasulullah Sallallahu Alayhi Wassalam karya penulis tempatan, Rusydi Ramli Al Jauhari berkulit tebal dengan harga RM65.

Lalu pada hari ketiga, penulis mengunjungi Ekspo Buku Islam 2 yang sedang berlangsung di Dewan Cempaka Sari, Bangunan Perbadanan Putrajaya, Presint 3 Putrajaya bagi mencari buku tersebut.

Namun alangkah terkejutnya apabila mendapati tidak ada satu pun lagi buku tersebut dijual di gerai pameran Penerbit Must Read Sdn. Bhd.

Apabila ditanya jawatan yang diberikan ialah: "Buku itu telah habis atau lebih tepat begitu laris terjual."

Habis? Lantas penulis menghubungi pihak penerbit sendiri bagi 'melahirkan' rasa tidak puas hati yang menyebabkan tidak berpeluang memilikinya kerana tentulah buku tersebut diletak dalam jumlah yang sedikit.

Maka tidak menghairankan jika buku itu cepat habis!

"Minta maaf, buku tersebut benar-benar telah habis di pasaran. Bukan sahaja di ekspo tersebut malah di mana-mana gedung-gedung jualan buku. Kami kehabisan stok buku itu sekarang. Kami letak 500 naskhah, alhamdulillah dalam tempoh tiga hari ekspo, semuanya habis dijual," kata Pengarah Urusan Must Read Sdn. Bhd, Mohd. Sharudin Dawam.

Ayat terakhir dari Mohd. Sharudin membuatkan penulis tergamam, 500 naskhah, habis dalam tempoh tiga hari? Kulit tebal dengan harga RM65 senaskhah? Percayakah anda?

Malah dikatakan buku itu kini terpaksa diulang cetak dan pembaca perlu menunggu bagi mendapatkan buku tersebut.

Maka wajarlah kini kita menerima dengan penuh syukur kepada Allah bahawa buku-buku Islam kini berjaya mencetuskan fenomena besar dan berpengaruh serta mampu menguasai pasaran buku-buku tempatan.

Perlu diingat, bahawa bukan dimaksudkan fenomena tersebut hanya melibatkan buku-buku genre novel atau lebih tepat novel Islami yang dikatakan lebih dibeli oleh para pembaca.

Sebaliknya, buku-buku yang penuh dengan pelbagai maklumat mengenai Islam dalam pelbagai topik itulah yang kini menjadi pilihan pembaca.

Walaupun ada kebimbangan termasuk pendapat mengatakan ada buku membidaahkan sesetengah amalan zikir dan selawat yang sebenarnya menurut sebahagian besar ulama Islam tidak bercanggah, malah selari dengan perlembagaan al-Quran dan al-sunnah.

Malah ada yang bertanya adakah setiap penerbit buku-buku Islam itu mempunyai panel mereka sendiri bagi menentukan kesahihan dan ketetapan setiap inci bahan yang diterbitkan.

Walau apa pun persoalannya, kita telah menempa sejarah baru dalam dunia Islam bagi rantau sebelah sini apabila buat pertama kalinya berjaya mengumpulkan hampir 100 gerai pameran daripada hampir 40 penerbit buku-buku Islam dalam apa yang kita panggil sebagai Ekspo Buku Islam 2 yang disifatkan sebagai 'pesta buku' Islam yang terbesar pernah diadakan di negara ini.

Disifatkan satu kejayaan ekoran penganjuran yang sebelum ini iaitu Ekspo Buku Islam 1, 2011 di KL Sentral berjaya menarik perhatian 80,000 pengunjung yang ketika itu hanya melibatkan 20 gerai pameran.

Kali ini diadakan selama 10 hari yang bakal berakhir pada hari Ahad ini, pihak penganjur menyediakan pelbagai acara menarik sepanjang ekspo selain pameran dan jualan buku-buku itu sendiri.

Namun yang uniknya, penganjuran ekspo seperti itu dianggap sebagai satu langkah berani kerana ia bukan anjuran pihak kerajaan.

Tetapi ia dianjurkan pihak swasta yang menyahut seruan kerajaan bagi merancakkan lagi industri buku di negara ini.

Pihak swasta yang dimaksudkan adalah Syarikat Sinergi Ilmu Resources, 100 peratus milik bumiputera yang memulakan Ekspo Buku Islam di KL Sentral tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Mohd. Jaini Mohd. berkata, penganjuran ekspo buku itu dilihat oleh sesetengah pihak umpama pipit yang ingin terbang bersama enggang kerana cuba menyaingi kehebatan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang diadakan saban tahun.

Malah tidak lama lagi akan berlangsungnya PBAKL itu iaitu pada 27 April hingga 6 Mei 2012.

"Lazimnya, pastilah pipit itu akan kalah tetapi terkadang untuk berjaya itu kita perlu menongkah arus.

"Kami mengadakan juga Ekspo Buku Islam ini walaupun ia penuh dengan pelbagai rintangan dan cabaran yang boleh membuatkan kita kadangkala rasa berputus asa.

"Bayangkan bukan mudah untuk memanggil para penerbit buku-buku Islam untuk sama-sama menyertai Ekspo Buku Islam ini.

"Ini kerana mereka sendiri seolah-olah sudah berputus asa dan tidak pernah menaruh keyakinan akan sebarang kejayaan apabila menyertai pesta buku seumpama ini.

"Cuba namakan pesta buku mana sebelum ini yang memberi kesan yang kuat kepada pengunjung dan pembaca untuk membeli buku-buku?

"Hanya PBAKL dan Pesta Buku Selangor sahaja. Pesta-pesta buku lain jika tidak pun sampai tahap merugikan tetapi tidak memberi sebarang pulangan kepada penerbit," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: