KEDIAMAN pereka fesyen terkemuka Salikin Sidek yang terletak di pinggiran Kuala Lumpur menggamit ketenangan.
Tidak hairanlah Salikin gemar menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga di rumah.
Melangkah masuk sahaja dapat dirasakan suasana rumah tradisional lengkap dengan perabot dan panel-panel kayu di setiap gerbang pintu.
Hampir keseluruhan ruang kediaman dua tingkat itu berkonsepkan budaya Melayu tetapi diberi sentuhan moden.
"Sama seperti minat saya dalam rekaan fesyen tradisional Melayu, begitu juga dengan konsep rumah saya. Walaupun tinggal di kawasan sibuk seperti Setiawangsa, saya mahukan suasana kedesaan Melayu," kata anak kelahiran Kluang, Johor ini.
Bapa kepada tiga cahaya mata iaitu Ariq Siddiq Salikin, 10, Asila Sofea, 8, dan Ajwa Saliha, 5, ini begitu peka dengan hiasan dalaman dan susun atur perabot.
Misalnya, dinding di antara ruang makan dan ruang tamu ditebuk bagi memudahkan beliau dan isteri melihat anak-anak ketika melakukan kerja-kerja di ruang dapur atau menikmati hidangan.
"Kebanyakan material perabot yang saya pilih tahan lasak. Maklum sahaja, anak-anak saya sedang membesar dan mereka memerlukan ruang yang selesa untuk bermain," ujarnya.
Satu ruang yang menarik perhatian penulis, bahagian rehat di depan kediamannya.
Ruang yang dihiasi dengan elemen kayu jati ini menjadi tempat Salikin berehat atau meluangkan masa bersama anak-anak. Landskap kolam buatan menambah ketenangan ketika duduk bersantai di situ..
Bahagi masa
Bagi memastikan anak-anaknya mendapat kasih sayang yang secukupnya, Salikin cuba membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya dengan bijak.
Beliau menggunakan waktu senggang secara maksimum bersama keluarga.
"Kami akan bersarapan di beberapa restoran secara bergilir setiap Ahad. Nasi lemak di Taman Muhibah, Ampang antara menu kegemaran kami. Selepas pukul 9, saya dan isteri akan meluangkan masa bersama anak di rumah.
Selepas anak lelaki saya selesai mengikuti kelas taekwando pada sebelah petang, kami akan keluar untuk makan malam bersama," ujarnya yang akan meminimumkan waktu di butiknya pada hujung minggu.
Begitupun, Salikin bersyukur kerana urusan anak-anak banyak dibantu oleh isteri tersayang, Anita Anuar.
Tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak diserahkan kepada isterinya yang bijak menguruskan mereka sementara Salikin sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga.
"Kasih sayang akan hilang tanpa wang ringgit begitu juga sebaliknya. Kami berbincang akan peranan masing-masing dan kami setuju dengan tanggungjawab kami,'' kata Salikin yang tidak mengupah pembantu rumah untuk melakukan kerja-kerja rumah.
Rekaan tradisional
Bercerita tentang rekaan fesyen, Salikin memang terkenal dengan potongan klasik yang melambangkan budaya Melayu, Cina dan tradisional India. Nama beliau juga biasa disebut apabila membicarakan majlis-majlis perkahwinan selebriti tempatan yang banyak mengupah Salikin untuk rekaan pakaian pengantin.
"Hari ini orang sudah memandang tinggi kain songket, berbanding 20 tahun dahulu.
"Saya tidak pernah kering idea untuk mereka fesyen dengan menggunakan songket, jadi semakin meriahlah industri songket," tambah Salikin.
Walaupun mempunyai jadual kerja yang padat, Salikin jarang membawa balik kerjanya ke rumah. Baginya, kediaman adalah tempat untuk keluarga.
"Idea rekaan kadang-kadang datang secara tiba-tiba. Jika benar-benar memerlukan, saya hanya melakukan lakaran kemudian membawanya ke butik. Proses jahit dan menyiapkan pakaian semuanya saya lakukan di butik," kata penulis buku Busana Fesyen Tradisional dan Busana Pengantin ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: