Monday, March 26, 2012

Formula 1 dekat di hati Malaysia


KEHADIRAN pemandu Mercedes AMG Petronas, Michael Schumacher (duduk kanan) dan Nico Rosberg menarik kehadiran ribuan peminat Formula Satu ke KLCC, Rabu lalu.


SECARA tiba-tiba, rakyat negara ini menunjukkan kegilaan yang luar biasa kepada dua kelab bola sepak Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) dan Cardiff City selepas kedua-dua pasukan ini mendapat 'sentuhan' daripada warga Malaysia.

Taikun penerbangan, Tan Sri Tony Fernandes menjadi orang Malaysia pertama memiliki kelab Liga Perdana Inggeris dengan membeli QPR tahun lalu, manakala Datuk Chan Tien Ghee pula dengan bangganya memampangkan nama Malaysia di bahagian depan jersi Cardiff, pasukan Liga Kejuaraan dari Wales yang melakar kejutan mara ke final Piala Liga baru-baru ini.

Pengaruh QPR dan Cardiff di Malaysia cukup hebat. Di mana-mana saja kita boleh melihat peminat dengan bangganya memakai jersi QPR atau Cardiff, walaupun tiada pemain negara yang bermain di salah sebuah kelab berkenaan. Bagi mereka, QPR dan Cardiff mewakili Malaysia dalam liga bola sepak Inggeris.

Fenomena hebat seperti ini jugalah yang kita mahu saksikan daripada peminat sukan tanah air dalam Formula Satu (F1), kerana Malaysia juga mempunyai penglibatan istimewa dalam perlumbaan kereta paling berprestij di dunia itu.

Sebelum mengambil keputusan membeli QPR, Fernandes sudah pun memiliki sebuah pasukan F1 iaitu Lotus Racing yang memulakan perjalanan pertama pada 2010. Biarpun gagal mencatat keputusan memberangsangkan, ia tidak menghalang beliau untuk meneruskan perjuangan dan pasukan ini berlumba atas nama Team Lotus pada 2011, sebelum ditukar kepada Caterham pada 2012.

Satu lagi pasukan yang memiliki kepentingan Malaysia adalah Lotus F1, yang punya kaitan langsung dengan syarikat pengeluar kereta nasional kebanggaan negara, Proton. Lotus menampilkan bekas juara dunia, Kimi Raikkonen dari Finland musim ini.

Ini bukan kali pertama, Raikkonen memilih untuk memandu buat pasukan yang mempunyai kepentingan Malaysia. Juara dunia 2007 itu memulakan karier F1 bersama Sauber-Petronas pada 2001, sebelum melebarkan sayap dengan menyertai pasukan gergasi, McLaren pada 2002. Pada 2007 dia menyertai Ferrari dan muncul juara dunia.

Sementara itu legenda F1 Jerman, Michael Schumacher mengetuai cabaran Mercedes yang ditaja gergasi petrolium Malaysia, Petronas. Schumacher belum menunjukkan impak sejak mengambil keputusan untuk keluar daripada persaraan tahun lalu tetapi kehadirannya di atas litar sentiasa mendapat sokongan dari peminat sukan lumba kereta itu.

Bagi peminat sukan permotoran tempatan, sudah tiba masanya mereka menunjukkan 'kegilaan' kepada pasukan-pasukan F1 Malaysia seperti yang ditunjukkan kepada QPR dan Cardiff. Jika penglibatan Fernandes dan Tien Ghee dalam kelab bola sepak Inggeris dianggap sesuatu yang membanggakan, penglibatan Malaysia dalam F1 juga amat membanggakan.

F1 memiliki pasaran yangluas, bayangkan terdapat 20 perlumbaan dalam kalendar dunia yang meliputi penjelajahan ke Asia, Eropah, Amerika Syarikat dan Amerika Selatan. Ini bermakna, jenama Malaysia yang dibawa Caterham, Lotus dan Mercedes telah mengelilingi dunia serta mendapat liputan yang amat luar biasa.

Keputusan syarikat korporat Malaysia untuk melabur dalam F1 merupakan tindakan yang bijak. Mereka bukan saja mengukuhkan nama syarikat di pentas antarabangsa, malah menaikkan imej Malaysia di mata dunia. Ini secara tidak langsung mampu membawa lebih ramai pelabur asing ke negara ini, selain memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia.

Bagaimanapun antara tiga pasukan, hanya Lotus berjaya mengutip mata setakat ini. Pemandu berusia 33 tahun, Raikkonen menamatkan Grand Prix Australia di Melbourne minggu lalu di tangga ketujuh biarpun memulakan aksi dari petak ke-16. Dia meraih enam mata.

Mercedes pula tidak bernasib baik di Melbourne ekoran masalah kotak gear Schumacher tetapi bersedia untuk membuktikan kemampuan di Sepang, manakala Caterham mencari kedudukan lebih baik selepas menamatkan musim lalu di tangga ke-10.

Apa pun jua keputusan yang bakal dicatat Caterham, Lotus atau Mercedes AMG Petronas pada perlumbaan esok, mereka tetap membanggakan rakyat Malaysia kerana membawa jenama kita berada ke pentas dunia. Buat ketiga-tiga pasukan, selamat berjaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: