Monday, March 26, 2012

Legenda F1 kekal di ingatan


AYRTON SENNA


DEMAM Formula 1 (F1) kembali lagi ke Litar Sepang Malaysia untuk siri ke-63 sejak bermula secara rasmi di litar Silverstone, United Kingdom pada 1950.

Sukan perlumbaan kereta bermula seawal 1920-an tetapi permulaan rasmi kalendar F1 direkodkan melalui kemenangan Nino Farina dari Itali selaku juara F1 pertama dunia.

Juan Manuel Fangio dari Argentina pula dianggap legenda F1 sepanjang zaman dengan memenangi lima kejuaraan dan dua kali naib juara, satu daripadanya akibat gagal menghabiskan musim kerana kecederaan.

Fangio juga bermula di petak hadapan dalam 48 daripada 51 perlumbaan F1 yang disertainya, memenangi 24 perlumbaan walaupun merupakan 'orang tua' dalam sukan tersebut ketika menang buat kali terakhir pada usia 46 tahun.

Kedudukan Fangio sebagai juara ulung F1 juga gagal dicabar beberapa nama besar seperti Jack Brabham (Australia), Jackie Stewart (Britain), Niki Lauda (Austria), Nelson Piquet (Brazil) dan Ayrton Senna (Brazil) yang kesemuanya memenangi tiga kejuaraan, mahupun oleh Alain Prost (Perancis) dengan empat kejuaraan.

Akhirnya, rekod yang bertahan selama 47 tahun itu dipecahkan pelumba muda, Michael Schumacher dari Jerman yang menyamai jumlah kejuaraan pada 2002 dan memotong rekod Fangio pada 2003 dan 2004.

Emerson Fittipaldi dari Brazil pula memegang rekod juara F1 paling muda pada usia 25 tahun selama 31 tahun sebelum dipotong Fernando Alonso dari Sepanyol (24 tahun), kemudian sekali lagi diatasi Lewis Hamilton dari Britain (23 tahun) dan terkini Sebastian Vettel dari Jerman, juga 23 tahun dengan jarak beberapa bulan berbanding Hamilton.

Beberapa nama besar F1 pula turut menjadi legenda walaupun hanya memenangi satu atau dua kejuaraan termasuklah imigran Amerika Syarikat, Mario Andretti; Keke Rosberg yang digelar 'The Flying Finn' (orang terbang Finland); mahupun pemandu kental Britain, Nigel Mansell yang menang 31 perlumbaan dan kemalangan dalam 32 perlumbaan.

Kematian tragik legenda F1, Senna pada 1 Mei 1994 dan pelumba baru, Roland Ratzenberger dari Austria sehari sebelumnya di Grand Prix San Marino menyebabkan musim ke-55 itu mengubah dunia F1 selama-lamanya dengan pengenalan pelbagai peraturan baru oleh pihak penganjur atas dasar 'keselamatan pelumba'.

Walaupun 1994 dianggap paling tragik kerana meragut nyawa dua pelumba, ia juga mencatatkan persaraan Prost di samping kemenangan sulung Schumacher selaku legenda baru F1.

Persaraan Prost dikatakan akibat musuh lamanya, Senna mengambil tempatnya selaku pelumba utama pasukan Williams walaupun kedua-duanya pernah menjadi rakan sepasukan pada 1988, dan kemuncak kerjaya beliau tamat dengan kematian musuhnya itu.

Musim terbaru F1 kini menampilkan banyak muka baru termasuk anak-anak kepada legenda F1 di samping juara bertahan, bekas juara dan legenda yang kian 'tua', Schumacher.

Memandangkan enam juara F1 akan bersaing musim ini, mungkinkah legenda baru bakal lahir atau mungkin juga legenda lama kembali menyinar?

Vettel selaku juara bertahan jelas terpaksa berjuang kerana laluan kejuaraan tahun ini pasti sukar memandangkan Button dan Hamilton sedang menghimpit, sementara Raikkonen, Alonso dan Schumacher mengekori laju di belakang.

Pemandu lain terutamanya waris-waris atau anak didik legenda F1 juga tidak boleh diambil mudah kerana seperti nama utama kejuaraan ini, semuanya bermula sebagai watak kecil dan tidak terkenal.

Litar Sepang akan menjadi titik penentu watak-watak utama mahupun picisan membuktikan mereka mampu memberi saingan terbaik untuk kemenangan mudah sebelum berakhirnya 20 perlumbaan atau mungkin terpaksa bergelut hingga persaingan akhir di Sao Paulo pada November nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: