SEBUT sahaja Mickey Mouse, Donald Duck, Goofy atau Cinderella, tentu ramai yang terkenang zaman kanak-kanak dengan watak-watak animasi yang menghiburkan di kaca televisyen.
Watak yang menghiburkan ini memenuhi dunia hiburan kanak-kanak yang begitu menyeronokkan.
Selepas empat tahun berada di bumi asing di kotaraya Montreal, Quebec, baru-baru ini kami berpeluang melawat sebuah daerah terkenal di negara yang berjiran dengan Kanada iaitu Amerika Syarikat (AS).
Daerah yang dimaksudkan adalah salah satu destinasi pelancongan yang menjadi tarikan dunia iaitu Disneyworld dan juga Universal Studio, Florida.
Disneyworld juga dikenali sebagai Walt Disney World Resort terletak di Orlando, Florida, di kawasan Tenggara AS.
Dibuka pada 1971, ia menempatkan empat taman tema utama iaitu The Magic Kingdom, Epcot, Animal Kingdom dan Studio Disney Hollywood.
Ia juga memiliki dua taman tema air terkenal dikenali sebagai Typhoon Lagoon dan Blizzard Beach.
Menikmati udara nyaman yang agak panas di Florida, membolehkan kami melarikan diri seketika daripada kesejukan musim dingin yang mencecah -20 Celsius di Montreal.
Bagi isteri saya, percutian ini memberi peluang untuk merehatkan minda selepas bergelumang dengan buku dan ulangkaji pengajiannya di universiti.
Paling gembira tentunya puteri tunggal kami yang kerap menonton rancangan Walt Disney di kaca televisyen atau Youtube dan teruja untuk menemui watak-watak fantasi kegemarannya.
Kami berlepas dari Lapangan Terbang Trudeau Montreal kira-kira pukul 5 petang.
Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum tiba di lapangan terbang Orlando, Florida.
Selepas selesai urusan penempatan dan berehat pada waktu malam, keesokan hari bermulalah aktiviti hari pertama kami di sana.
Di hotel, bas sedia menunggu pelancong menuju ke destinasi pertama iaitu The Magic Kingdom Disneyworld.
Sepanjang perjalanan, dapat dirasakan suasana yang begitu berlainan berbanding apa yang kami alami sewaktu berada di Montreal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: