Wajahnya sering kali menghiasi kaca televisyen satu ketika dahulu. Bagaimanapun, sejak mendirikan rumah tangga tujuh tahun lalu, dia lebih banyak beri perhatian kepada keluarga.
Berpeluang mengadakan sesi fotografi bersama Anita Baharom bersama kedua-dua anaknya, Syifa Dhia Nurina, 5, Mohamad Dhia Iskandar, 8 bulan serta suaminya, Mohd Ismadi Ismail di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini, memberi kesempatan kepada Zass mendalami lebih jauh mengenai kehidupan wanita manis ini.
Bahkan pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Dunia Baru ini mengakui, mula mengehadkan aktiviti seni sejak kelahiran anak keduanya, Iskandar.
“Buat masa sekarang saya lebih senang berada di rumah di samping anak-anak dan suami tercinta. Bukan sengaja menyisihkan diri daripada dunia seni, sebaliknya hanya berehat seketika sementara menantikan anak lebih dewasa. Lagi pun, Iskandar memerlukan lebih perhatian daripada saya. Dalam usianya kini, dia masih menyusu badan dan agak sukar bagi saya untuk meninggalkan dia,” katanya ramah.
Anita berkata, perhatiannya lebih kepada anak kecilnya, Iskandar. Lebih-lebih lagi suaminya tidak betah menjaga bayi.
“Memang lain menjaga Iskandar sebab semuanya dilakukan sendiri oleh saya. Berbeza ketika melahirkan Syifa dahulu, lebih mudah kerana saya mempunyai orang gaji,” katanya.
Ditanya sampai bila dia akan bercuti dari bidang lakonan, Anita berkata, hanya masa menentukan.
“Saya tidak meletakan jangka masa sesuai. Rasanya apabila Iskandar sudah boleh menyusu botol dan selesa di bawa ke set penggambaran, saya akan kembali berlakon, Insya-Allah,” kata pelakon yang lebih mesra disapa Ita ini.
Rahsia kebahagiaan
Mengakui kehidupan rumah tangganya semakin bahagia, Anita berkata, dia bersyukur dikurniakan suami yang memahami. Menurutnya, walaupun sedar beristerikan seorang pelakon mempunyai pelbagai risiko dan terpaksa berhadapan pelbagai gosip, namun suaminya akur dugaan yang terpaksa dihadapi.
“Alhamdulillah, keluarga kami semakin baik kini. Diserikan dengan dua cahaya mata selain suami penyayang membuatkan saya benar-benar bahagia. Bagi saya, kebahagiaan rumah tangga mempunyai resipinya sendiri. Seperti saya dan suami, kami saling berpegang kepada prinsip setia dan percaya kepada pasangan.
“Tanpa prinsip ini, agak sukar rumah tangga untuk bertahan. Misalnya, saya sendiri sentiasa mengingatkan diri supaya setia kepada suami. Dan suami pula perlu percaya kepada saya. Insya-Allah, rumah tangga kami berjaya bertahan ke hari ini,” katanya.
Ujarnya lagi, meski pun telah berkahwin, namun suaminya tidak menghalang dia meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon.
“Dia tidak menghalang, sebalik sentiasa memberi sokongan. Yang penting saya pandai menjaga diri dan maruah sebagai isteri,” katanya.
Tidak galak anak ceburi bidang seni
Menurut bekas duta produk Johnson & Johnson ini, meski pun anaknya membesar dalam suasana seni, namun dia berharap anak-anaknya tidak memilih bidang itu sebagai karier mereka apabila dewasa nanti. Pun begitu, Anita berkata, dia tidak menghalang jika anak-anak berminat menceburi bidang seni sekadar suka-suka dan mengisi masa lapang.
“Sebagai anak seni, saya tahu susah senang berada dalam industri ini. Saya tidak menggalakkan mereka menceburinya seperti saya, tetapi saya tidak menghalang. Syifa misalnya daripada kecil lagi sudah mula menunjukkan minat dalam bidang ini, namun saya akan cuba mengelaknya kalau boleh.
“Pun begitu, biarlah bidang profesional menjadi pilihan mereka. Buat masa sekarang saya hanya mahu memberikan didikan agama yang terbaik buat anak-anak,” katanya.
Diusik pertanyaan adakah mahu menambah bilangan anak lagi, Anita hanya ketawa. Jelasnya, dia memang mahu menambah anak, tetapi biarlah kedua-dua anaknya besar dahulu.
“Trauma melahirkan kedua anak saya masih ada. Bagaimanapun, saya tidak menolak jika ada rezeki,” katanya.
Rindu berlakon
Hampir setahun bercuti daripada dunia lakonan demi memberikan perhatian kepada anak, Anita mengakui dia rindu kembali berlakon.
“Saya memang rindu nak berlakon, tetapi terpaksa memendamkan hasrat tersebut demi anak-anak. Bagaimanapun, memang ada tawaran diberikan kepada saya, cuma terpaksa ditolak atas alasan tidak mempunyai masa dan tanggungjawab terhadap keluarga. Tapi kalau ada watak-watak kecil atau pun untuk penggambaran iklan yang tidak memerlukan saya menghabiskan banyak masa di luar, saya masih boleh menerimanya.
“Pun begitu, ada beberapa drama yang saya nantikan tawaran daripada pihak penerbit. Misalnya, drama yang mempunyai kesinambungan cerita. Saya takkan tolak sekiranya tawaran ini datang kepada saya,” katanya.
Menurutnya, walaupun berehat agak lama daripada dunia seni, dia bersyukur kerana rezeki dia sekeluarga tidak pernah putus.
“Alhamdulillahlah, buat masa ini cukuplah untuk makan, pakai saya sekeluarga. Kalau dulu setiap bulan terpaksa keluarkan duit untuk bayar orang gaji, tetapi sekarang tak perlulah nak buat macam tu lagi,” katanya yang serik mengambil orang gaji kerana pernah berdepan masalah sebelum ini.
Ceburi bidang perniagaan
Walaupun bercuti daripada bidang lakonan, ternyata Anita tidak mensia-siakan masa lapangnya. Selain memberi perhatian kepada keluarga, dia juga menceburi cabang perniagaan beg tangan jenama Sophie Paris.
“Sebenarnya, saya baru sahaja menceburi bidang perniagaan beg ini. Ia berkonsepkan pemasaran multi-level. Menariknya, saya artis pertama diberi kepercayaan sebagai agen Sophie Paris. Alhamdulillah, walaupun baru beberapa bulan, sambutan diterima baik dan memberangsangkan,” katanya.
Jelasnya, biarpun hanya sekadar suka-suka pada mulanya, namun dia tidak menyangka perniagaan itu berkembang dengan baik.
Sunday, March 18, 2012
Demi anak, Anita tinggalkan dunia lakonan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: