Mengusik jiwa, 7 Petala Cinta bawa kelainan

Sejak awal kemunculan teaser filem ini lagi, hati penulis sudah membayangkan filem ini sehebat Ayat-Ayat Cinta. Menggunakan skrip-skrip dengan lontaran kata yang puitis, 7 Petala Cinta, boleh dikatakan antara filem bernafas baru di Malaysia.

Mengetengahkan konsep Islamik dan dakwah dalam filem ke-57 terbitan Metrowealth Production (MIG) ini, bakal mengubah pandangan stereotaip penonton terhadap pengarahnya, Azhari Zain yang sebelum ini terkenal dengan karya seram seperti Keramat, Santau dan lain-lain.

Istimewanya, filem ini mengangkat sebuah kisah cinta agung antara golongan Adam dan Hawa berlandaskan nilai murni, persahabatan dan pengorbanan. Apatah lagi dengan gabungan pelakon muda seperti Aeril Zafrel, Fizo Omar, Diana Amir, Shima Anuar, Epy Raja Lawak dan Zalif Sidek, tidak mustahil mengatakan filem ini akan mendapat sambutan di kalangan penonton.

Biarpun baru, namun lakonan yang ditonjolkan oleh semua pelakon yang terlibat tidak mengecewakan. Banyak babak-babak yang menyentuh jiwa, mampu menimbulkan deraian air mata dengan lakonan berkesan yang diberikan oleh Aeril, Shima, Diana dan Fizo.

Malah sekalung pujian juga harus diberikan kepada Shima yang berjaya menimbulkan rasa kasihan penonton terhadap kesengsaraan yang terjadi kepadanya setelah kehilangan bakal suami. Namun naratif penceritaan yang sedikit perlahan (ada kalanya) mungkin menjejaskan mood penonton. Tetapi sinematografi yang cantik, bagai menutup kekurangan pada jalan cerita yang ditampilkan.

Penyusunan jalan cerita ini juga berjalan dengan baik. Penonton pasti tidak akan menyangka pengakhiran jalan cerita ini setelah di'twist' ketika hampir ke penghujung jalan cerita. Kesimpulannya, tidak rugi mengeluarkan wang untuk menonton filem ini di pawagam yang mula ditayangkan semenjak semalam.

Filem ini mengisahkan Hamka, seorang graduan syariah dari Universiti Al-Azhar ditunangkan dengan anak kepada guru di madrasah tempatnya menuntut ilmu, Saidatul Nafisa dan kemudiannya berhijrah ke Yemen. Namun tidak berapa lama kemudian, berita mengenai Hamka terbunuh di Yemen tersebar selepas negara itu dilanda perang saudara dan konflik politik. Saidatul Nafisa menanti dengan setia, bagaimanapun muncul pula Attar yang sudah lama memendam perasaan terhadapnya.


7 Petala Cinta
PENGARAH : Azahari Zain
PELAKON : Fizo Omar, Shima Anuar, Aeril Zafril, Diana Amir, dan Puteri Mardiana.
GENRE : Romantik
KLASIFIKASI : U
DURASI : 1jam 30minit
TAYANGAN : 15 Mac 2012
KESELURUHAN : 3.5/5