KUALA LUMPUR - Restoran D'Tandoor bakal mengembangkan jenamanya ke Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu dengan pembukaan tujuh francais bermula Julai ini.
Pengasas dan juga Pengarah Urusannya Abdul Malik Abdullah berkata dengan anggaran kos pelaburan RM1.5 juta untuk sebuah francais, Abu Dhabi merupakan negara keempat yang berjaya ditembusi syarikat selepas Australia, New Zealand dan Arab Saudi.
"Kami baru sahaja menandatangani perjanjian Francais Induk dengan pihak di Abu Dhabi, dan mereka kini dalam peringkat ubah suai restoran dan dijangka membuka restoran pertama di sana pada Julai nanti," katanya.
"Mengikut perancangan, tujuh cawangan ini akan dibuka dua buah restoran setiap tahun untuk tempoh tiga tahun dari sekarang," kata beliau kepada Bernama.
Abdul Malik berkata bagi perancangan tahun ini, tumpuan perniagaan adalah dalam negara memandang keadaan ekonomi dunia yang kurang memberangsangkan.
"Setakat ini, restoran kami hanya berada di kawasan Lembah Klang dan Ipoh dan kami merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan kami," katanya.
Beliau berkata sasaran Restoran D'Tandoor pada tahun ini ialah untuk membuka enam francais baru, dan buat masa ini syarikat berjaya memperoleh empat francaisi dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Melaka.
"Bagi pembukaan dua francais lagi iaitu di Kuching dan Brunei, ia masih lagi di peringkat perbincangan," kata beliau.
Selain itu, Restoran D'Tandoor turut merancang mengembangkan operasi kiosknya yang dikenali sebagai Mr.Tandoor.
"Kami berhasrat membuka lima kiosk Mr.Tandoor pada tahun ini yang mana setiap satu terletak di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) dan KL Sentral, serta tiga lagi di pusat beli-belah di Subang, Johor dan Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata pembukaan kiosk Mr.Tandoor akan melibatkan kos pelaburan kira-kira RM100,000 setiap satu.
Abdul Malik berkata melalui pelbagai pelaburan di dalam dan luar negara, beliau menjangka Restoran D'Tandoor bakal mencatatkan pertumbuhan hasil kira-kira 10 hingga 15 peratus untuk tahun ini dan 25 peratus untuk tahun hadapan.
Pada 2011, Restoran D'Tandoor mencatatkan hasil pendapatan sebanyak RM20 juta, iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus dari tahun sebelumnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: