Monday, March 5, 2012

Dain menaruh harapan tinggi

DAIN (paling kiri) bersama-sama pelakon Bunohan yang akan menemui penonton pada 8 Mac.
DAIN (paling kiri) bersama-sama pelakon Bunohan yang akan menemui penonton pada 8 Mac.
Yakin filem Bunohan diterima baik penonton tempatan

PENGARAH filem Bunohan, Dain Said, enggan menarik nafas lega selagi tidak melihat sendiri sambutan penonton tempatan terhadap filem berkenaan, sekali pun ia diterima baik di luar negara.
Bagi Dain, yang pernah mengarahkan filem kontroversi, Dukun, mempertontonkan filem itu kepada penonton di sini dirasa lebih mencabar kerana kesukaran untuk meramal genre filem diminati mereka.
Bagaimanapun dia agak yakin filem drama aksi yang akan menjengah pawagam pada 8 Mac ini dapat diterima ramai kerana menerusi pengamatannya, penonton negara ini kian terbuka serta tidak lagi terikat kepada genre komedi dan seram semata-mata.

“Filem KL Gangster dan Ombak Rindu mendapat kutipan membanggakan walaupun genre aksi dan drama tidak begitu popular di negara ini. Ia menunjukkan penonton kita sudah semakin terbuka. Sedikit sebanyak ia memberikan harapan kepada Bunohan untuk diterima.

“Walaupun mendapat sokongan baik di luar negara, filem ini sangat menebal ciri kemelayuannya. Saya harap nilai tempatan yang ada di dalamnya akan menjadi tarikan untuk orang ramai ke panggung.

“Bunohan bukan memaparkan aksi semata-mata, tetapi ia turut mempunyai elemen misteri dan dongeng. Pelbagai gabungan itulah yang menjadi keistimewaan filem ini.
“Namun saya tidak mampu meramalkan sama ada filem ini dapat mencapai kutipan pecah panggung atau sebaliknya. Sebagai pengarah, tentulah saya tidak mahu menghampakan harapan penerbit. Tetapi fikiran penonton di sini sukar untuk dibaca,” katanya yang berharap Bunohan akan memberi impak kepada industri perfileman tanah air.

Sejak ditayangkan pada Festival Filem Antarabangsa Toronto, September tahun lalu, filem terbitan Nandita Solomon itu turut berjaya menembusi beberapa festival lain termasuk Festival Filem Taipei Golden Horse 2011, Festival Filem Antarabangsa Sao Paolo 2011, Festival Filem Antarabangsa Palm Spring, Festival Filem Asia 2011 di Bali, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam 2012 dan Fantastic Fest 2011 di Amerika Syarikat.

Selain itu, kehebatan jalan cerita Bunohan yang dibintangi Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim, Bront Palarae, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Sofi Jikan dan ramai lagi itu berjaya dipasarkan di hampir 30 negara termasuk United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

Nandita juga tidak meletakkan sebarang sasaran untuk filem berkenaan, namun dia mengharapkan filem itu diterima baik oleh masyarakat negara ini.

“Saya cuma mengharapkan penonton akan sukakan ceritanya dan juga lakonan mantap setiap pelakon. Memang saya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana bagi saya, jika filem ini diterima dan digemari, ia sudah cukup menggembirakan buat kami,” katanya yang mengaku filem itu dihasilkan untuk penonton tempatan.

Bunohan berkisar mengenai Adil yang terbabit dalam pertarungan tomoi maut di Thailand, namun dia diselamatkan rakan baiknya, Muski. Kerana melanggar peraturan, Adil diburu oleh Ilham, pembunuh yang diupah oleh penganjur pertandingan haram itu.

Muski membawa Adi pulang ke kampung mereka, Bunohan. Tanpa disedari, Ilham ialah abang tirinya yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman sejak melarikan diri ketika remaja, selepas ibu bapanya bercerai. Ilham menjejaki Adil hingga ke Bunohan.

Di sana, abang Adil, Bakar turut pulang ke kampung atas alasan menjaga bapa mereka yang sakit. Sebenarnya dia mempunyai agenda jahatnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: