PENGERUSI Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011, Hanizam Abdullah dan Zainuri Misfar bersama-sama pemenang dan finalis BIBH di Berjaya Megamall, Kuantan.
Kesedihannya bagaikan terubat apabila penyertaan julung kalinya itu membuahkan hasil sekali gus mencatat sejarah buat dirinya dan juga BIBH apabila menjadi peserta bukan Melayu pertama yang berjaya bergelar juara pada peringkat Mall.
"Berita kematian datuk yang saya terima semalam membuatkan saya sangat sedih.
Dia meninggal akibat sakit tua. Sebab itulah dalam pertandingan hari ini (semalam), saya cuba meluahkan perasaan itu menerusi lagu yang saya nyanyikan.
Kebetulan melodi dan lirik lagu itu ada persamaan," katanya yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Fasih berbahasa Melayu, dia berkata, kecenderungannya menyanyikan lagu Melayu banyak didorong keluarga angkatnya yang berbangsa Melayu.
"Saya banyak belajar daripada mereka bagaimana menyanyikan lagu Melayu dengan lenggok dan sebutan yang betul. Mereka banyak menggalakkan saya dan jika ada peluang, saya memang ingin menjadi penyanyi. Saya ingin menjadi seperti Stacy," katanya yang juga pembaca setia Berita Harian.
Walaupun sekadar menduduki tempat kedua, namun pencapaian itu sudah cukup membuatkan Muhammad Faizal Fadzil berpuas hati.
"Ini percubaan kali pertama saya menyertai BIBH dan alhamdulillah saya berjaya. Sebelum ini abang saya turut menyertai pertandingan ini, tapi nasib tak menyebelahinya. Saya menyertai BIBH kerana ia peluang terbaik saya untuk mencapai cita-cita menjadi penyanyi," ujarnya yang menyampaikan lagu Lamunan Terhenti.
Bagi pemenang ketiga, Muhammad Firdaus Muhammad Mustapha, perkataan putus asa tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Walaupun hasratnya menyertai BIBH sebelum ini tidak kesampaian kerana tidak melepasi syarat kelayakan, namun kerana minat, dia tetap terus mencuba.
"Sebelum ini saya pernah mencuba nasib dalam pertandingan ini tapi tak layak kerana tak cukup umur. Waktu itu saya berada di tingkatan 1. Kini selepas empat tahun, saya datang kembali untuk melunaskan impian itu dan syukur kerana akhirnya saya berjaya juga," kata pelajar berusia 17 tahun ini.
Tuah memihak kepada Firdaus apabila dia berjaya menyampaikan lagu Sampai Syurga yang dipopularkan oleh Faizal Tahir dengan cara dan gayanya yang tersendiri.
Finalis lain ialah Nur Syahirah Mustaffa (Tunggu Sekejap), Lily (Jangan Kau Pergi), Mohd Iqtisar Mohd Suhimi (Nadiku), Sharril Faizie Samsuddin (Kepadamu Kekasih), Mohd Adib Adamey Abd Rahman (Biarlah Bulan Bicara), Aini Syuhada Shahrom Fahmi (Cobalah Untuk Setia) dan Siti Fazanah Akul Zainal (Teratai Layu Di Tasik Madu).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: