GOLONGAN hawa sentiasa menitikberatkan kecantikan dalam kehidupan seharian mereka. Oleh kerana itu, wanita amat berhati-hati dalam pemilihan produk kecantikan yang akan dioles pada kulit mereka.
Bagaimanapun, tidak semua kaum wanita mempunyai kepakaran tinggi dalam pemilihan produk kecantikan terutamanya mekap yang padan dengan diri mereka.
Masalah itu bagaimanapun dapat diatasi apabila mengunjungi Butik Kecantikan Avon di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor yang menawarkan perkhidmatan percuma penjagaan kulit dan kosmetik kepada pelanggan.
Pengarah Urusan Avon Malaysia, Carolyn Nur Amira Lee berkata, butik terbaharu itu merupakan butik kecantikan yang serba lengkap.
“Dengan mengetengahkan konsep pengalaman membeli-belah yang ceria, butik kecantikan Avon Bukit Jelutong menjadi butik pertama di negara ini mendedikasikan satu sudut khas untuk penjagaan kulit dan kosmetik kepada pelanggan.
“Ia dilengkapi dengan pelbagai produk mekap dan penjagaan kulit. Seorang penasihat kecantikan bertauliah turut ditugaskan khusus untuk memenuhi keperluan kecantikan secara percuma apabila berkunjung ke butik ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Butik Kecantikan Avon yang ke-192 di pusat beli-belah Space u8, Bukit Jelutong, Selangor baru-baru ini.
Avon tambah pendapatan
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah duta produk Avon, Soo Wincci, Noor Neelofa Mohd. Noor dan pemilik butik kecantikan Avon, Seri Juita Enterprise, Ahmad Saberi Mat Deli.
Carolyn memberitahu, butik terbaharu tersebut menjadi cawangan induk kepada 191 butik lain di seluruh negara dalam menampilkan perkhidmatan percuma kepada pelanggan.
Dalam pada itu, Ahmad Saberi menambah, perkhidmatan secara percuma yang bakal dinikmati pelanggan dijangka menjadi tarikan terbaharu pengunjung ke butik kecantikan Avon.
“Penasihat kecantikan bertauliah di sini bukan sahaja akan memberi tip-tip berguna kepada pelanggan tetapi, penerangan mengenai produk sesuai untuk dimiliki mereka.
“Ia diharap dapat membantu pelanggan dalam memahami produk yang ingin dibeli atau dipakai oleh mereka kelak,” katanya.
Sementara itu, Carolyn berkata, butik kecantikan Avon merupakan satu pusat penjana pendapatan kepada mereka yang bercita-cita ingin mengubah taraf hidup diri dan keluarga.
“Ia terbukti apabila terdapat seramai 480,000 wakil Avon dan 181 Avon Puteri bergantung pendapatan berjumlah RM50 juta menerusi butik-butik kecantikan Avon.
“Di samping itu, ia juga telah memberi peluang pekerjaan kepada 800 orang yang bertugas sebagai pembantu butik terlatih di seluruh negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: