ZTE perkenal telefon pintar baru

ZTE Corporation (ZTE), syarikat peralatan telekomunikasi dan penyelesaian rangkaian, meluaskan lagi pasaran telefon pintar di Malaysia dengan memperkenalkan Skate, sebuah telefon pintar menggunakan operasi android dengan sasaran 22,000 hingga 30,000 unit dijual pada suku pertama tahun depan.

Ketua Terminal, Bahagian Terminal ZTE Malaysia Corporation Sdn Bhd, Jeremy Zhao berkata, pasaran Malaysia begitu pesat membangun buat ZTE bagi rantau Asia, justeru adalah tidak mustahil produk itu mendapat sambutan ramai kerana trend penggunaan telefon bimbit pintar kini berkembang sehingga 21.8 peratus berbanding 10 tahun lalu.

Menurutnya, bukan luar biasa bagi rakyat Malaysia untuk memiliki lebih daripada satu telefon bimbit dan semakin ramai yang menaik taraf kepada telefon pintar kerana ciri-ciri dan teknologi canggih yang mampu dimiliki seperti model Skate yang dijual dengan harga RM999.

“Kami percaya trend ini akan berterusan dan Skate mampu memenuhi permintaan pasaran setelah model ZTE Blade yang dilancarkan sebelum ini telah menjadi perhatian di lebih 50 negara dengan kadar permintaan yang mencecah enam juta unit sepanjang tempoh 12 bulan lalu,” katanya selepas majlis pelancaran telefon itu di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, kini model ZTE Blade muncul sebagai produk penting bagi syarikat dan telah menaikkan penguasaan pasaran sehingga menjadikan ZTE berada pada kedudukan empat teratas dalam kalangan pengeluar telefon bimbit dunia.

“Pelancaran produk baru ini juga sejajar langkah pengembangan jangka panjang kami untuk muncul sebagai antara tiga pengeluar telefon mudah alih terbesar di peringkat global dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya.

Katanya, pengenalan telefon pintar baru ZTE sehingga kini telah meningkat 33 peratus setiap tahun dan situasi itu jelas menggambarkan syarikat itu begitu komited dalam meneroka pasaran telefon pintar.

“Dijangkakan, 120,000 telefon pintar ZTE akan dijual di pasaran Malaysia manakala 30,000 tablet menjadi tumpuan ramai pada tahun depan.

“Pada setiap suku tahunan, kami akan memperkenalkan sekurang-kurangnya tiga jenis telefon pintar baru, dan pada ketika ini dua jenis tablet telah dikeluarkan,” katanya.