Wednesday, November 16, 2011

Ubi kayu paling laris musim tengkujuh

pix_gal0
CHUKAI: Menjelang musim tengkujuh, selera terhadap makanan penduduk juga berubah dan kini ubi kayu mula mendapat permintaan tinggi lantaran keenakannya untuk dijadikan pelbagai juadah seperti ubi rebus cicah ikan masin, pengat manis dan digoreng malah dibuat masak lemak.

Tinjauan Berita Harian mendapati, perubahan selera itu menyebabkan kalangan penjual ubi kayu di sekitar daerah ini mencatat jualan tinggi mencecah hingga 500 kilogram sehari, kerana hidangan yang pernah menjadi makanan ruji rakyat ketika penjajahan Jepun, adalah makanan ringan terbaik untuk hidangan sarapan pagi dan petang.
Penjual ubi kayu di kampung Pondok Limau di sini, Habshah Osman, 45, berkata beliau mula membuka gerai jualan ubi kayu di tepi jalan sejak akhir bulan lalu, sebaik saja hujan lebat menandakan permulaan musim tengkujuh mula melanda daerah itu, bagi memenuhi permintaan pelanggan.
"Memang jualan ubi kayu laris ketika musim tengkujuh. Sebab itu menjelang minggu ketiga Oktober saya sudah bersiap sedia membuka gerai menjual ubi kayu.

"Saya mampu menjual lebih 100 kilogram sehari, malah ada hari sehingga mencecah 500 kilogram sehari. Permintaan tinggi juga disebabkan harganya masih murah kira-kira RM2 saja sekilogram," katanya.

Seorang lagi penjual ubi kayu yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 50, mengakui jualan ubi kayu pada musim hujan sangat laris dan pada hari-hari tertentu, bekalan ubi kayu di gerainya habis dijual sebelum jam 2 petang.

Kakitangan swasta yang juga penggemar ubi kayu, Roslan Sanip, 49, berkata beliau gemar bersarapan pagi ubi kayu yang dimasak isterinya kerana makanan itu mempunyai khasiat sama seperti nasi.
"Bagi sarapan pagi, ubi kayu rebus boleh dimakan dengan ikan masin atau boleh juga dimakan bersama perencah kelapa parut yang digaul dengan garam atau gula manakala pada sebelah petang, pengat ubi kayu sungguh menyelerakan dan kadang-kadang diselang dengan ubi kayu goreng," katanya.

Kakitangan kerajaan, Wan Razali Wan Hassan, 52, berkata ubi kayu bukan saja sama khasiatnya seperti nasi, malah ia boleh dibuat pelbagai kuih, seperti belebab ubi kayu dan rasanya enak jauh lebih enam berbanding kuih yang dibuat daripada beras dan gandum.

"Bila makan ubi kayu, ada orang kata kita berbalik ke belakang kerana ia makanan ketika penjajahan Jepun. Ia tanggapan salah kerana ubi kayu memang enak dan tiada sebarang kekurangan padanya malah saya yakin ia mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: