Wednesday, November 16, 2011

Telaga minyak baru ditemui di Sabah

pix_gal0
Penemuan tambah rizab 227 juta tong, buka prospek pertumbuhan pengeluaran PETRONAS

MALAYSIA memperoleh rizab minyak tambahan sebanyak kira-kira 227 juta tong susulan penemuan terbaru PETRONAS di kawasan luar pantai Sabah.
Setakat 1 Januari tahun ini, negara dianggarkan memiliki rizab minyak berjumlah 5.8 bilion tong yang hanya mampu bertahan untuk tempoh antara 18 hingga 20 tahun lagi.
Dengan penemuan terbaru oleh PETRONAS itu, ia mencadangkan kemungkinan wujudnya prospek bagi pertumbuhan pengeluaran di telaga minyak barunya yang mana syarikat minyak nasional itu kini turut membuat pelaburan yang besar bagi menyelesaikan masalah penyusutan pengeluaran di telaga minyak lamanya.

PETRONAS dalam kenyataannya semalam berkata, penemuan itu dibuat anak syarikat milik penuhnya, iaitu Petronas Carigali Sdn Bhd di telaga Wakid-1 dalam Blok 2G-2J, terletak kira-kira 100 kilometer di timur laut Kota Kinabalu.

Simpanan minyak itu ditemui ketika pasukan cari gali melakukan kerja pencarian dan penggerudian yang bermula pada 30 Mei hingga 4 Julai lalu.

Katanya, penggerudian secara menegak yang mencapai kedalaman 3,330 meter itu mengesahkan kehadiran simpanan minyak yang banyak selain kewujudan takungan gas.
“Tiga ujian pengeluaran telah dijalankan dalam tiga takungan berbeza yang mengalir minyak pada kadar maksimum membabitkan jumlah terkumpul sebanyak 8,200 tong sehari.

“Berdasarkan anggaran awal, jumlah hidro karbon yang boleh dikeluarkan di kawasan penemuan ini adalah berjumlah 227 juta tong bersamaan minyak (mmboe) dengan potensi lebih banyak,” katanya.

PETRONAS berkata, Petronas Carigali merancang untuk terus menilai potensi penemuan berkenaan dalam tempoh terdekat ini.

Wakid-1 adalah telaga kedua di Blok 2G-2J sejak Kontrak Perkongsian Pengeluarannya (PSC) diberikan pada Oktober 2010.

Telaga pertama blok itu, Tambuku-1, telah digerudi awal tahun ini tetapi hanya menunjukkan kehadiran penemuan gas yang kecil jumlahnya.

Petronas Carigali adalah pemegang ekuiti tunggal PSC bagi blok itu.

Dalam usaha menambahkan jumlah rizab minyak negara, PETRONAS, minggu lalu, turut mengumumkan kerjasama dengan Royal Dutch Shell membabitkan pelaburan bersama berjumlah AS$12 bilion (RM37.68 bilion) bagi membangunkan dua projek penemuan minyak dipertingkatkan (EOR) di luar pesisir Sarawak dan Sabah.

Kedua-dua projek dikenali sebagai Baram Delta dan North Sabah itu dijangka mampu menyumbang pertambahan pengeluaran antara 90,000 hingga 100,000 tong minyak sehari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: