Wednesday, November 16, 2011

Semua agensi sedia bantu 1.4 juta mangsa

MUHYIDDIN melancarkan Portal Banjir MKN selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Persiapan Banjir, di Putrajaya, semalam.
MUHYIDDIN melancarkan Portal Banjir MKN selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Persiapan Banjir, di Putrajaya, semalam.
Portal maklumat berpusat situasi banjir dilancar: TPM

PUTRAJAYA: Lebih 28,000 anggota keselamatan selain polis, tentera dan sukarelawan sudah bersiap sedia menghadapi banjir, termasuk memindah serta membantu kira-kira 1.4 juta mangsa di 5,156 pusat pemindahan di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah mewujudkan depot bekalan keperluan bencana di lima wilayah dan 477 pangkalan hadapan, lengkap dengan bekalan stok makanan bagi memenuhi keperluan mangsa banjir.
Malah, katanya, semua agensi terbabit sudah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dan semua peralatan seperti bot penyelamat, kenderaan pacuan empat roda, helikopter, pam air dan set jana kuasa elektrik juga diselenggara dengan baik serta disimpan di lokasi strategik bagi memudahkan pergerakan sewaktu banjir.

“Persiapan menghadapi banjir tahun ini lebih baik daripada tahun lalu dan kerajaan sudah bersedia jika banjir berlaku berikutan laporan Jabatan Meteorologi bahawa beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dijangka menerima lebihan hujan antara bulan ini hingga Mac 2012.

“Selain itu, jabatan terbabit turut meramalkan fenomena air pasang besar pada 25 Disember dan 23 Januari depan. Jadi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diminta menyelenggara sungai dan longkang tersumbat khususnya di kawasan berisiko banjir,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Persiapan Banjir di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.
Turut diadakan, majlis pelancaran Portal Banjir MKN yang berperanan sebagai portal maklumat berpusat mengenai situasi banjir untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat ramalan cuaca, amaran paras sungai, jalan ditutup dan pautan kepada agensi berkaitan.

Portal itu boleh dilayari menerusi http://portalbanjir.mkn.gov.my atau www.facebook.com/informasibencana atau www.twitter.com/@portalbanjir.

Sementara itu, Muhyiddin juga meminta semua media elektronik menyediakan kapsul maklumat bencana dan slot khas bagi memudahkan pihak berkuasa menyalurkan maklumat banjir, termasuk amaran awal kepada orang ramai.

Mengulas persiapan Kementerian Pelajaran menghadapi banjir, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian sudah mengaktifkan persediaan sewajarnya khususnya di 510 sekolah rendah dan menengah yang berisiko tinggi dilanda banjir di seluruh negara.

Beliau berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) turut melancarkan Ops Payung bagi menghadapi banjir, selain menempatkan dewan peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di aras satu bangunan sekolah, terutama di kawasan berisiko banjir.

Selain itu, katanya, 2,459 sekolah di 120 daerah dan kawasan juga sudah dikenal pasti sebagai pusat penempatan mangsa banjir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: