Wednesday, November 16, 2011

Pejuang seni tari dipinggirkan

ZULKIFLI berkongsi kegembiraan dengan anaknya, Norzizie (kanan) dan Norzaza selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Kesenian, baru-baru ini.
ZULKIFLI berkongsi kegembiraan dengan anaknya, Norzizie (kanan) dan Norzaza selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Kesenian, baru-baru ini.
Sumbangan empat dekad Zulkifli Zain diiktiraf

SIAPA sangka pada usia 65 tahun aktivis tarian dan pelakon, Zulkifli Zain, menerima Ijazah Sarjana Muda Kesenian. Lebih manis segulung skrol berharga daripada Universiti Antarabangsa Berkeley itu dianugerahkan kepadanya di atas sumbangan yang dicurahkan sepanjang hampir empat dekad di arena seni.
Memulakan kerjaya sebagai penari sekitar awal 70-an di Kementerian Kebudayaan dan Kesenian sebelum dilantik sebagai jurulatih, anak jati Alor Setar, Kedah itu sebenarnya belum puas menabur bakti memperkenalkan tarian tradisional ke mata dunia.
Hanya sempat mengukuhkan ilmu tarian pada peringkat sijil, namun dua gedung ilmu yang menjadi pilihan iaitu Akademi Seni Karawitan Indonesia (AKSI) pada 1976 disusuli Universiti Sains Malaysia (USM) sekitar 1985, hasrat menyambung pengajian terus membara, cuma komitmen terhadap tugas membataskan niatnya.

Di AKSI yang berpusat di Padang, Zulkifli mengambil jurusan Minangkabau sebagai teras selain silat, malah turut menghasilkan tarian yang dijadikan subjek utama di akademi berkenaan, manakala di USM dia mempelajari seni lakon dan pengarahan.

Justeru, pengiktirafan itu secara tidak langsung membakar iltizamnya untuk menggenggam ijazah Sarjana pula yang diharap mampu meluaskan peluang berkongsi ilmu tarian kepada generasi masa kini.

“Pengalaman membawa saya menjelajah ke seluruh pelosok dunia. Waktu itu kami umpama duta kecil yang memperkenalkan nama Malaysia malah peluang selepas setahun bersama kementerian mengambil sijil seni tari di AKSI membuka dimensi baru kepada diri saya.
“Di sana saya belajar asas gerak tari, sesuatu yang tidak lagi dipraktikkan kerana ketika ini apabila belajar tarian, pelajar terus didedahkan dengan bunga tari. Ilmu itu yang mahu saya kongsi tetapi hingga kini tiada pusat pengajian yang berani mengambil tenaga pengajar tanpa ijazah.

“Bersama Ijazah Sarjana Muda yang saya peroleh hari ini, saya berharap dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sekurang-kurangnya sebelum menutup mata pengetahuan serta pengalaman di bidang ini diperturunkan kepada generasi seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian, Ahad lalu.

Walau lelah pulang dari Kota Kinabalu, Sabah, menghadiri majlis perkahwinan anak temannya sehari sebelum acara konvokesyen berlangsung masih bersisa, bapa kepada lima cahaya mata itu tidak mampu menyembunyikan rasa gembira dan terharu.

Hanya ditemani dua permata hati, Norzizie Zulkifli, 34, dan Norzaza Zulkifli, 31, manakala isteri tercinta yang juga dramatis dan penari, Normala Omar, 53, tidak dapat turut serta kerana masih di Negeri Di Bawah Bayu, Zulkifli, berulang kali dia mengucapkan rasa syukur.

Perkahwinan yang dilayari bersama Normala sejak 1975 semakin utuh dengan kehadiran tiga lagi cahaya mata, Norzazila Zulkifli, 27 (pelakon/penyanyi), Norzazleen Zulkifli, 24 (pelakon/penyanyi), dan Muhammad Noor Zabaiq, 21 (pelakon drama/teater).

Akuinya lagi, pengiktirafan seumpama itu bukan hanya untuk dirinya, sebaliknya ia sebagai penghargaan kepada golongan penari yang selama ini kurang mendapat perhatian berbanding penggiat seni lakon atau nyanyian.

“Kami bukan mengharapkan pangkat, tetapi jangan anak tirikan golongan penari kerana kami juga menyumbang dalam industri. Lihat saja di dalam filem, drama, teater malah apa juga aktiviti kebudayaan kerana tarian tetap menjadi teraju utama. Sayangnya sumbangan kami bagai kurang penting.

“Saya sendiri sebenarnya mencintai tarian sepenuh hati walau sebaik saja berhenti daripada berkhidmat dengan kerajaan pada pertengahan 90-an terus aktif berlakon. Jauh di sudut hati seni tari masih di tempat teratas,” jelasnya yang mengakui kecewa berhadapan situasi itu.

Tanpa berselindung, dedahnya, atas dasar kecewa juga dia melepaskan jawatan di kementerian apabila waktu itu tiada sebarang penawaran bekerja secara tetap sekali pun sudah 30 tahun berkhidmat sedangkan jurulatih sukan serta teman sejawat dari unit lain diserap dari kontrak ke jawatan tetap.

“Saya harap pihak berkaitan membuka mata kerana hingga kini pejuang seni tari masih didiskriminasi. Justeru saya bersama rakan seangkatan mengambil inisiatif menubuhkan Pertubuhan Warisan Seni Tari dan Muzik Melayu Kuala Lumpur Selangor (Mawarku) sejak tiga tahun lalu.

“Dalam perancangan kami adalah penerbitan buku yang memuatkan segala asas tarian Melayu tradisional kerana kami tidak mahu nanti ia hilang ditelan zaman,” kata aktivis ini dengan penuh semangat.

Sementara itu, Presiden IBC Higher Studies Malaysia, Datuk Dr Muhamad Rosli Che Wan, berkata setiap kali majlis graduasi pusat pengajian yang berpusat di California itu turut mengiktiraf tokoh dalam pelbagai bidang sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan mereka.

“Ramai tidak menyedari Zulkifli mempunyai ilmu tarian dan pengalaman luas yang membawanya ke seluruh dunia kerana generasi kini lebih mengenalinya sebagai pelakon. Bagi tokoh seni, Teguh Karya pernah menerima ijazah sama pada 2005,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: