Tuesday, November 15, 2011

Nasib Insan Kreatif, Fatah Ngah

Sohaimi Shahadan memperkatakan sesuatu kepada Fatah Ngah.

FATAH Ngah suatu ketika dahulu dikenali melalui karakter kartun lukisannya, A Mamud di dalam majalah humor Gila-Gila.

Sebelum itu, beliau merupakan seorang pelukis dari sebuah kampung di Dungun, Terengganu yang bersemangat tinggi.

Semangat dan cintanya yang berkobar-kobar dalam seni lukisan itu membuatkannya nekad mengadakan pameran solo 30 tahun dahulu berhampiran tiang menunggu bas di sebuah kawasan terpencil.

Fatah kemudian mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur bagi meneruskan cita-citanya dan akhirnya ditawarkan kerja sebagai pelukis ilustrasi.

Karakter A Mamud yang berjambul di hadapan, memiliki Vespa dan berasal dari kampung mencipta fenomena dan dinanti-nanti peminat pada zamannya.

Kemuncaknya, beliau berjaya mencapai impiannya membuat pameran solo yang mendapat sambutan pada tahun 2000 di PusatDagangan Dunia Putra (PWTC).

Namun kini pencapaiannya itu hanya tinggal kenangan kerana beliau kini sedang menderita sakit saraf dan hanya mampu duduk di atas kerusi roda.

Siang dan malam tiada bezanya kerana pergerakan hanya bergantung kepada kerusi roda malahan waktu tidurnya juga terpaksa berada di atas alat bantuan itu bagi memudahkan pergerakan.

Kini kepayahan beliau mengharungi hidup sentiasa ditemani bonda tercinta, Kelsom Ibrahim yang bersusah payah menjaganya meniti waktu-waktu sukar ini.

Prihatin dan sedar insan kreatif itu perlu dibantu, Konsortium CAW (Cartoonist At Work) Sdn Bhd dan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia serta Perkampungan Pelukis Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada minggu lalu mengadakan Majlis Pelancaran Pameran dan Jualan Amal Koleksi Kartunis Fatah Ngah.

Program amal tersebut dianjurkan untuk membantu kartunis dan pelukis pelopor mendapatkan sumbangan bagi menampung kos rawatan penyakit saraf yang dihadapinya.

Antara lukisan oleh 28 pelukis lain dijual untuk membantu Fatah Ngah punya nilai komersil.

“Acara ini dianjurkan buat julung kalinya untuk membantu kartunis Fatah Ngah dan wang hasil jualan lukisan dari Fatah akan digunakan untuk menampung kos rawatan dan sara hidupnya.

“Individu dan syarikat boleh membantu Fatah dengan membeli hasil karya beliau yang mempunyai nilai seni yang tersendiri,” kata Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan ketika merasmikan pameran tersebut di Kompleks Kraf.

Bagi seorang pelukis dan kartunis, Adeputra Masri, acara amal tersebut merupakan langkah awal bagi persatuan terbabit membantu dan mengetengahkan semula karyawan lama yang kini seakan terpinggir.

“Ini juga adalah inisiatif awal bagi menyeru badan-badan korporat untuk mengambil bahagaian dalam menghargai dan membantu pelukis berbakat yang kurang diberi perhatian,” kata Adeputra.

Sementara itu, Pelukis dan juga Presiden Pekatun, Tazidi Yusof berkata, Fatah adalah antara pelukis awal di Malaysia dan seangkatan dengan kartunis terkenal negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.

“Karya beliau merupakan antara hasil seni tempatan yang mempunyai stroke asli terbaik dalam kartun yang bercirikan Malaysia.“Kami hanya dapat membantu apa yang terdaya dan bantuan dari luar yang dapat membantu Fatah mengharungi penyakitnya amatlah dihargai,” kata Tazidi.

Sebanyak tujuh lukisan karya Fatah yang dihasilkan sejak tahun 1994 dijual dari harga RM5,000 hingga RM15,000.

Watak Kartun ciptaan Fatah yang mengangkat namanya, A Mamud.

Selain hasil lukisan Fatah, lebih 28 buah lukisan yang disumbangkan oleh beberapa kartunis dan pelukis tempatan turut dijual untuk menjayakan program amal tersebut.

Mereka yang prihatin dan ingin memberi sumbangan boleh hubungi bahagian komunikasi korporat Kraftangan Malaysia di talian 03-21627533 atau layari www.kraftangan.gov.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: