Wednesday, November 2, 2011

Sukan rakyat taraf antarabangsa

BOT berhias pasukan peti undi Teluk Pasu-MARDI johan  Sukan Rakyat Mega di Sungai Nerus.
BOT berhias pasukan peti undi Teluk Pasu-MARDI johan Sukan Rakyat Mega di Sungai Nerus.
Pelbagai acara dapat sambutan penduduk setempat, pelancong

KUALA TERENGGANU: Bot berhias pasukan peti undi Teluk Pasu-MARDI bermotif ayam juara Pertandingan Bot Berhias sempena Sukan Rakyat Mega Teluk Pasu di sini, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.
Tempat kedua dimenangi pasukan peti undi Kebor Besar-Jabatan Perikanan Negeri dengan hadiah wang tunai RM3,000, manakala ketiga peti undi Jeram-Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan memperoleh RM2,000.
Pengerusi pertandingan bot berhias Peti Undi Teluk Pasu, Mohamad Zali Zakaria, 48, berkata kemenangan itu kebanggaan pasukan selepas memerah idea untuk dizahirkan pada bot berhias berkenaan dan antara bot yang menggunakan kos paling minimum.

Beliau berkata, pasukannya seramai 10 orang mengambil konsep bentuk ayam, sejajar dengan sejarah Teluk Pasu.
"Teluk Pasu dulu terkenal tempat menyabung ayam laga dan penduduk menggunakan air dalam pasu emas untuk memandikan ayam.

“Kita menzahirkan objek ayam tema bot dan tidak menyangka jadi juara pertandingan ini.
"Berbanding bot lain yang menitikberatkan soal keceriaan dan hiasan bot, kami lebih mementingkan aspek pencahayaan dan mungkin itu yang memberi tuah kepada kami kerana cahaya yang berwarna warni membuatkan bot berhias kami menyerlah serta berjaya menarik perhatian juri," katanya.

Mohamad Zali berkata, program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu yang disertai sembilan pasukan itu menarik minat penduduk menyertainya.

"Program ini adalah yang paling meriah dan unik pernah diadakan di negeri ini. Malah, jika kita lihat dari segi kehadiran penduduk cukup ramai. Sambutan dan kerjasama yang diberikan juga amat bagus dan kita patut bersyukur dengan kerjasama dan keprihatinan kerajaan negeri dan wakil rakyatnya menganjurkan program ini.

"Justeru, kita sangat berharap pertandingan dan program seumpama itu dijadikan acara tahunan,” katanya.

Hadiah disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sambil disaksikan ADUN Teluk Pasu selaku penganjur, Datuk Abd Rahin Mohd Said yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman; ADUN Tepuh, Muhammad Ramli Nuh dan Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa.

Penduduk setempat turut menyertai sukan rakyat pada sebelah siang membabitkan pelbagai acara termasuk tarik tali, boling kelapa, menganyam ketupat, baling telur, rakit darat, baling bola dalam jaring dan sepak raga bulat.

Sementara itu, pengunjung, Zaini Hamzah, 50, dari Kampung Masjid Buluh Gading berkata, beliau terkejut melihat kehadiran ramai penduduk seolah-olah ia program antarabangsa, sedangkan ia hanya membabitkan kawasan DUN Teluk Pasu dan sekitarnya.

Pengunjung, Rafazirah Remali, 19, dari Kampung Gong Badak, berkata dia mendengar mengenai program itu daripada rakan dan terpanggil untuk datang bagi melihat kemeriahan pertandingan bot berhias yang selalunya diadakan di Putrajaya.

"Selalu kita lihat pertandingan ini diadakan di Lembah Klang, tetapi kini ia berjaya dianjurkan di kawasan kampung kami,” katanya.

Sementara itu, Ahmad mengucapkan tahniah kepada Abd Rahin kerana berjaya menganjurkan program berkenaan yang mendapat sambutan luar biasa dan dilihat sebagai satu penambahbaikan daripada penganjuran sukan biasa dengan mengadakan pertandingan bot berhias.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: