PEGAWAI RELA memeriksa kenderaan yang mengisi minyak di stesen minyak sekitar Padang Besar bagi mencegah penyeludupan minyak ke negara jiran.
PADANG BESAR: Kumpulan penyeludup yang bergiat aktif di sekitar sempadan Malaysia-Thailand, di sini dikesan semakin kecut perut untuk 'mencuri' diesel serta petrol subsidi negara, selepas empat stesen minyak yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan mereka dikawal rapi anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA).
Tambah merisaukan penyeludup, dua anggota terbabit dilihat begitu tekun merekodkan nombor pendaftaran kenderaan serta jumlah bahan api yang diisi setiap kenderaan yang memasuki stesen minyak, sekali gus memungkinkan tindakan mereka terbongkar.
Pemangku Pengarah RELA negeri, Abdul Halim Abdullah, berkata tindakan menempatkan anggotanya di stesen minyak terpilih sekitar sempadan adalah antara inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pihaknya susulan kejayaan dicapai melalui tindakan sama di Kelantan bermula Mei lalu.
Bagi Perlis, katanya, seramai 18 anggota termasuk dua penyelia akan ditempatkan di semua empat stesen minyak terpilih setiap hari untuk merekodkan jumlah pengisian minyak bagi setiap kenderaan, sekali gus membantu pihak berkuasa mengenal pasti kenderaan yang terbabit dalam penyeludupan.
Katanya, empat pam minyak terbabit sengaja dipilih kerana ia disyaki berpotensi menjadi tumpuan penyeludup berikutan kedudukannya yang hampir dengan sempadan.
“Dua anggota akan ditempatkan di setiap stesen minyak secara giliran selama dua syif sehari. Hari ini (semalam) kita dapat lihat sedikit kesan apabila ada antara kenderaan yang sering digunakan untuk tujuan penyeludupan seolah-olah takut untuk memasuki premis, sebelum terus berlalu sejurus melihat kehadiran kami," katanya ketika ditemui meninjau empat pam minyak terbabit, semalam.
Terdahulu, beliau mengiringi Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) KPDNKK, Ahmad Dahuri Mahmood, melancarkan penempatan anggota RELA di stesen minyak terpilih di Stesen Caltex Batu 20 Jalan Kaki bukit, di sini.
Difahamkan, ada lebih 22,000 anggota RELA berdaftar di seluruh Perlis, bagaimanapun hanya sejumlah kecil daripada mereka akan terbabit dalam penempatan terbabit secara giliran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: