Wednesday, November 9, 2011

FFM24 dapat tajaan tertinggi RM6.7j


Wakil Amee Philips menunjukkan antara barangan kemas yang bakal diraih para pemenang FFM24 kepada dua pelakon iaitu Lisa Surihani (kiri) dan Eja yang turut dicalonkan dalam festival itu pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 8 Nov. - Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 20 November ini mencatat sejarah apabila menerima tajaan berjumlah RM6.7 juta iaitu terbesar pernah diterima penganjur setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Promosi dan Penajaan FFM24, Wani Wendy Wong Abdullah berkata, selain wang tunai, tajaan tersebut merangkumi barangan kemas, promosi waktu siaran di televisyen dan radio.

"Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) misalnya, telah menyumbangkan dana sebanyak RM650,000 yang mana RM350,000 sebagai hadiah wang tunai dan trofi kepada para pemenang FFM24," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, festival tersebut mempertandingkan 10 Anugerah Gemilang Cipta, 15 Anugerah Gemilang Perdana, tiga Anugerah Gemilang Perdana Khas dan empat Anugerah Gemilang Perdana Khas Juri.

Wani Wendy berkata, antara penaja hadiah ialah Amee Philips, Asia Media, Maxx Rewards Global Sdn. Bhd., VL Skincare Boutique, Cotra Enterprise Sdn. Bhd., dan Fusion Excell International Sdn. Bhd.

"Selain hadiah wang tunai para pemenang FFM24 bagi beberapa kategori Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik bakal menerima barangan kemas Amee Philips mencecah sehingga RM40,000," ujarnya.

FFM24 anjuran Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) turut memecah rekod penyertaan terbanyak dalam tempoh 24 tahun penganjurannya apabila mempertandingkan 41 buah filem cereka, 30 filem pendek, sembilan filem animasi dan enam filem bukan bahasa Melayu di mana ia diadili seramai 14 juri profesional.

Sementara itu, filem Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios menerima pencalonan paling banyak iaitu 12 pencalonan termasuk Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik untuk Yusry Abdul Halim.

Pengarah muda, Syamsul Yusof juga mencipta rekod peribadi apabila menerima 10 pencalonan menerusi dua buah filemnya, KL Gangster dan Khurafat.

Beliau juga turut dicalonkan untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan Pengarah Terbaik.

FFM24 dianjurkan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) itu merupakan yang terbesar pernah diperoleh oleh pihak penganjur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: