Thursday, November 17, 2011

Rahsia bertahan tiga dekad



BAGI penduduk Jepun, saat menaiki kereta api adalah waktu yang sesuai untuk mereka ber mesra dan berbual bersama keluarga dan rakan-rakan sambil mengetahui perkembangan terbaharu.

Sebab itulah, menurut Motoko Ohno, perkhidmatan Blue Train atau dipanggil sebagai hotel bergerak itu benar-benar memberikan suatu perasaan nostalgiak kepada masyarakat Jepun sepertinya.

“Kami boleh bersantai dan berbual bersama rakan-rakan. Menikmati bekalan makanan yang dibawa sambil melihat pemandangan di sepanjang perjalanan,” katanya sambil menunjukkan meja kecil yang terdapat dalam gerabak Blue Train.

Di Jepun, perkhidmatan kereta api Blue Train sangat terkenal dan setiap kali waktu puncak seperti cuti sekolah atau musim panas, amat sukar untuk mendapatkan tiketnya.

Malah, wanita dalam lingkungan umur 30-an itu juga tidak pernah berasa pengalaman menaiki Blue Train di Jepun. Bagaimanapun, dia yang kini bertugas sebagai pengarang majalah bahasa Jepun, Coconut di Kuala Lumpur boleh menaikinya pada bila-bila masa sahaja.

Gerabak Blue Train pemberian kerajaan Jepun kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyusuri landasan kereta api dari Tumpat, Kelantan ke Woodland, Singapura mulai tahun hadapan.

Jalur pengangkutan KTM terbaharu itu diberi nama Kereta Api Malayan Tiger manakala koc pula dipanggil sebagai Koc Biru sempena panggilan kereta api itu di Jepun.

Meskipun gerabak-gerabak pemberian kerajaan Jepun itu sudah pun melangkau usia 30 tahun tetapi pandangan pertama tatkala menaikinya adalah ia masih kelihatan seperti baharu.

Penyelengaraan


KABIN yang selesa. Walaupun memiliki suasana lama tetapi peralatan fizikalnya masih berfungsi dengan baik.


Walaupun memiliki suasana lama tetapi peralatan fizikalnya masih berfungsi dengan baik. Menurut Pakar Operasi dan Penyelenggaraan Koc Japan International Cooperation Agency (Jica), Sadao Arai, faktor utama ia masih dalam keadaan baik adalah dengan menjalankan penyelenggaraan secara berkala.

“Terdapat tiga jenis penyelenggaraan yang dilakukan pihak Jica bagi memastikan ia berada dalam keadaan sempurna dan selamat untuk digunakan,” katanya pada majlis prapelancaran Malayan Tiger di Stesen Wakaf Baharu, Kelantan baru-baru ini.

Penyelenggaraan yang dibuat merupakan pemeriksaan setiap hari, sebulan pemeriksaan dan tiga bulan pemeriksaan yang memberi fokus pada bahagian yang berbeza serta tujuan pemeriksaan.

Terang Arai, jika sesebuah kereta api itu sudah lama tidak digunakan, kecekapannya akan merosot atau boleh menyebabkan berlaku kegagalan enjin secara serta-merta.

Jadi, ia perlu diperiksa setiap awal pagi sebelum memulakan operasi. Beberapa bahagian tertentu yang diperiksa adalah seperti enjin dan generator.

Bagi pemeriksaan berkala sebulan dan tiga bulan sekali pula, ia memfokuskan kepada penukaran minyak pelincir, penapis enjin, sistem penyejuk enjin, minyak gris dan banyak lagi terutama bahagian melibatkan enjin.

Untuk bahagian dalaman pula seperti sistem pendingin, bekalan air, sistem pengurusan tandas dan peralatan brek turut perlu diberi perhatian.

Bagi memastikan Malayan Tiger mampu beroperasi lebih lama, Arai mencadangkan supaya setiap empat tahun sekali, bahagian-bahagian penting kereta api dibaikpulih.


AMINUDDIN (empat dari kiri) bersalaman dengan Arai pada majlis prapelancaran KTMB Blue Coach Malayan Tiger Train di Stesen Wakaf Baru, Tumpat, Kelantan baru-baru ini.


“Bahagian yang perlu diambil perhatian adalah enjin, generator, pemampat dan sistem brek manakala badannya pula seperti pendingin hawa, kawalan elektronik dan bogi perlu ditukar di antara empat hingga lapan tahun atau mengikut peraturan KTMB,” ulas Arai lagi.

Menurut Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan, pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM6.5 juta untuk membawa 14 unit koc ke Malaysia termasuk belanja mengubah suai kereta api itu mengikut laluan landasan di negara ini.

“Antara ubah suai yang dilakukan ialah pada bahagian bogi kereta api dengan mengecilkannya daripada 1,067 ke 1,000 milimeter,” ujarnya kepada Kosmo!.

Selain itu, beberapa orang jurutera dan pemandu kereta api telah dihantar ke Jepun bagi menjalani latihan menyelenggara dan operasi koc biru.

Sistem elektrik seperti plug, pendingin hawa turut diubah suai mengikut sistem di Malaysia. Aminuddin meletakkan keyakinan bahawa jika koc biru diselenggara secara berkala, ia mampu bertahan untuk 10 hingga 15 tahun lagi.

Ubah suai

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai kerelaan KTMB menerima koc biru walaupun telah berusia lebih 30 tahun, Aminuddin berkata, ia bukan tindakan melulu.

“Kami telah menghantar beberapa orang jurutera untuk menilai keadaan gerabak dan terbukti ia masih baik serta mampu beroperasi dengan sempurna,” ujarnya menepis semua salah sangka.

Beliau meletakkan sasaran keuntungan sebanyak RM5.6 juta setahun dengan penumpang yang menggunakan perkhidmatan tersebut seramai 185,000 orang.

Rekaan dalaman kereta api dari Jepun itu sangat berbeza dengan gerabak-gerabak KTMB lain. Ia jelas kelihatan pada perincian yang diberikan supaya penumpang merasa selesa.

Paling istimewa adalah sistem tandasnya. Menurut Arai, koc biru itu direka mesra alam dan tidak mencemar alam sekitar.

“Apabila flush tandas digunakan, air yang berwarna biru akan keluar. Air tersebut mempunyai sejenis bahan kimia dan najis akan meragi.

“Najis tidak akan dibuang ke landasan tetapi disimpan dalam satu simpanan khas dan akan dikutip setiap enam bulan sekali,” terang Arai lagi.


KERETA API yang berusia 30 tahun ini masih kelihatan baharu dan masih mengekalkan keselesaan penumpang.


Setiap gerabak mempunyai generatornya sendiri. Ia berbeza dengan koc KTMB sedia ada yang memiliki sebuah generator dan membekalkan tenaga elektrik kepada semua gerabak.

Apabila berlaku kegagalan generator pada salah satu gerabak, koc-koc yang lain masih lagi boleh berfungsi seperti sediakala.

Selain itu, rekaan dalaman koc biru sangat terperinci seperti tangga pada kelas kedua boleh dilipat untuk menjimatkan ruang.

Ruang pejalan kaki terpisah dengan ruang bilik walaupun memiliki luas bukaan yang tidak terlalu besar. Pengguna singki air pula sentiasa mendapat ruang privasi kerana disediakan tirai malah pili air berfungsi menggunakan sensor.

Bagi ruang kelas tiga pula, kerusi penumpang boleh dipusing untuk menghadap penumpang di belakang. Jadi, kepada mereka yang gemar berbual, koc biru adalah pilihan sesuai.

Keselamatan individu yang membeli tiket kelas pertama pula terjamin kerana walaupun direka sejak 30 tahun lalu, kunci pintunya dilengkapi dengan sistem kata laluan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah wakil kerajaan Jepun, Dr. Hiroki Yajima dan Pengarah Pelancongan Kelantan, Zurina Abdul Samad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: