Thursday, November 17, 2011

Badak Javan pupus di Vietnam


KINI hanya terdapat dua subspesies badak Javan di dunia selepas bangkai badak Javan Vietnam terakhir ditemui baru-baru ini.


BULAN lalu, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan International Rhino Foundation mengesahkan bahawa spesies badak Javan daripada subspesies Rhinoceros sondaicus annamiticus di Vietnam akhirnya pupus untuk selama-lamanya.

Ia berdasarkan kepada penemuan tulang-temulang haiwan tersebut dan dipercayai telah dibunuh oleh pemburu haram kerana tidak bersumbu ketika ditemui.

Pakar-pakar dalam bidang tersebut kebanyakannya tidak terkejut dengan berita terbaharu itu kerana dari tahun 2008, hanya seekor badak direkodkan wujud di Vietnam.

Menurut laporan Kepupusan Badak Javan dari Vietnam, analisis genetik terhadap sampel-sampel najis yang dikumpul di antara tahun 2009 hingga 2010 di Taman Negara Cat Tien menunjukkan kesemuanya adalah kepunyaan seekor badak sahaja.

Melalui pemeriksaan lengkap yang dilakukan oleh penyokong-penyokong pemuliharaan, badak tersebut telah dibunuh. Tambah mereka, itu mungkin dilakukan oleh pemburu kerana kaki badak tersebut ditembak selain sumbunya dipotong.

"Ia amat menyakitkan. Walaupun banyak pelaburan telah dilakukan dalam pemuliharaan badak Vietnam namun, usaha menyelamatkan haiwan unik ini gagal.

"Vietnam sudah pun kehilangan warisan semula jadinya," kata Pengarah WWF Vietnam, Tran Thi Minh.

Sehingga kini dianggarkan kurang 50 ekor badak jenis Javan daripada dua subspesies lain berada dalam di hutan.


DANA Hidupan Liar Sedunia (WWF) pada bulan lalu mengesahkan badak Javan Rhinoceros sondaicus annamiticus di Vietnam telah pupus buat selama-lamanya.


Tiga jenis

Populasi badak Javan terbahagi kepada tiga kumpulan dan di Vietnam merupakan subspesies terakhir daripada jenis Rhinoceros sondaicus annamiticus.

Dua subspesies lain ialah Rhinoceros sondaicus inermis yang biasanya dijumpai di timur laut India, Bangladesh dan Myanmar, manakala Rhinoceros sondaicus sondaicus boleh dijumpai di Pulau Jawa, Indonesia. Subspesies lain sudah pun mengalami kepupusan.

Pengerusi Kumpulan Pakar Badak Asia IUCN, Bibhab Kumar Talukdar berkata, kematian badak Javan di Vietnam merupakan suatu tamparan yang hebat.

"Kita harus berusaha supaya kehidupan badak Javan lain (di Indonesia) pada masa hadapan tidak senasib dengan di Cat Tien," katanya kepada pemberita.

Tambahnya, ancaman terhadap badak untuk mendapatkan tanduk adalah masalah yang besar. Tetapi disebabkan oleh kerja keras unit pelindung dan pihak berkuasa taman negara Indonesia, tiada aktiviti memburu direkodkan pada dekad yang lepas.

Pemeliharaan


KESAN tembakan peluru hidup ditemui pada tulang kaki badak itu.


Talukdar menjelaskan, kejayaan menyelamatkan spesies itu bergantung kepada pengurusan habitat yang betul. Badak Javan gemar meragut dan memerlukan hutan sekunder untuk itu.

Tegasnya, taman negara di Pulau Jawa menyediakan antara habitat terakhir untuk spesies tersebut kerana berlaku peningkatan pokok palma.

"Jadi, pengawalan terhadap palma arenga dan pengurusan habitat bagi badak Javan di Taman Negara Ujung Kulon sangat penting untuk masa depan spesies itu," ujarnya.

Di seluruh dunia berlaku peningkatan bilangan kes pemburuan badak secara drastik. Pada awal tahun ini, laporan Persekutuan Pemuliharaan Antarabangsa (IUCN) berkata, populasi badak di Afrika berdepan dengan krisis paling teruk dalam dekad ini.

Mengikut rekod WWF, sebanyak 341 ekor badak menjadi mangsa pemburu haram, meningkat daripada 333 ekor pada tahun lalu.

Ia berlaku kerana permintaan terhadap sumbu badak dalam pasaran gelap meningkat dari pasaran perubatan Asia. Sumbunya dipercayai mampu mengubati pelbagai penyakit termasuk kanser.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: