Thursday, November 17, 2011

Pelancongan peribumi asli


BEBERAPA negara seperti Britain dan Kanada sudah sekian lama memajukan pelancongan Orang Asli mereka.


BEBERAPA penari Orang Asli Kanada yang memakai topeng berwarna-warni menaiki pentas sambil mempersembahkan sebuah tarian ritual purba yang memuja beruang grizzly.

Beruang grizzly merupakan makhluk yang menakutkan bagi kebanyakan masyarakat Orang Asli di kawasan hulu sungai Amerika Utara.

Persembahan tersebut ditonton oleh 15 Orang Asli dari Taiwan yang datang ke sana untuk menimba ilmu bagi mewujudkan sumber pelancongan yang berdaya maju di tempat asal mereka kelak.

Pelancong-pelancong Taiwan itu merupakan sebahagian daripada sebuah program pertukaran unik dalam usaha mempelajari kesenian dan potensi pelancongan Orang Asli daripada penduduk pribumi Kanada.

Majlis Hal Ehwal Orang Asli Taiwan yang merupakan sebuah badan bertaraf kementerian telah menghantar beberapa orang muda negara itu ke Kanada untuk belajar tentang pelancongan. Fokusnya adalah kepada usaha yang dikendalikan oleh masyarakat peribumi Kanada selain melihat beberapa aspek perniagaan yang berpotensi untuk dibawa pulang ke Taiwan.

“Saya datang ke sini untuk belajar kerana semua perkara yang dijalankan di sini boleh juga direalisasikan di Taiwan,” ujar salah seorang pelancong, Ibu daripada puak Bunnun di Taiwan.

Ibu merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan ke-13 program pertukaran pelajar yang diberi peluang menyertai aktiviti mengenal budaya.

Di Taiwan, penduduk Orang Asli mewakili 2.1 peratus daripada populasi penduduk negara itu. Jumlah itu kira-kira setengah juta daripada populasi penduduk Taiwan yang berjumlah 23 juta orang.

Asimilasi budaya moden

Penduduk peribumi Taiwan selama ini telah berusaha keras untuk menaikkan identiti budaya mereka. Seperti kebanyakan Orang Asli di beberapa bahagian lain di dunia, mereka telah dipaksa oleh budaya yang lebih dominan dan kerajaan untuk mengasimilasi, sekali gus menjadikan keunikan bahasa dan budaya mereka itu diancam kepupusan.

Namun sejak 1987, setelah pemansuhan undang-undang ketenteraan di Taiwan, telah wujud sebuah polisi yang lebih toleran terhadap masyarakat Orang Asli.

Pada tahun 1996, sebuah Kementerian Hal Ehwal Orang Asli telah ditubuhkan. Ia bertanggungjawab memulih dan memelihara budaya masyarakat Orang Asli di Taiwan.

Program pertukaran budaya yang sedang berlangsung itu telah dilancarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Orang Asli Taiwan pada tahun 1998. Terkini, kementerian itu menerima sokongan daripada Institut Ricci Taipei bagi mempromosi pertukaran budaya dan perniagaan dalam kalangan komuniti Orang Asli di Asia dan rantau Pasifik.

Semasa lawatan seminggu mereka di barat Kanada, pelajar-pelajar Taiwan itu berharap dapat menjalin hubungan yang erat dengan pelbagai suku kaum dari Vancouver.

Pada masa yang sama, mereka disambut sebagai tetamu kehormat semasa lawatan ke Jabatan Antropologi di Universiti British Columbia.


TAIWAN memiliki hampir dua juta warga peribumi asli.


Ekoran prospek ekonomi yang terhad dalam komuniti mereka, para pelawat dari Taiwan itu melihat masa depan yang cerah dan lebih luas untuk memasarkan budaya masyarakat Orang Asli kepada pelancong yang berminat.

Sementara itu, masyarakat Orang Asli Kanada telah lama mengetahui bahawa pelancongan Orang Asli merupakan satu perniagaan yang besar.

Setiap tahun, berjuta-juta wang pelancong dibelanjakan oleh mereka yang berminat untuk mengetahui mengenai kehidupan sebenar komuniti peribumi dengan bermalam di dalam teepee (khemah berbentuk kon) atau menikmati keindahan alam di dalam sweatlodge (khemah ringkas).

ATBC bukti kejayaan

Persatuan Pelancongan Orang Asli Britain Columbia (ATBC) menyatakan peningkatan pelancongan Orang Asli di Kanada semakin berkembang pesat.

Pertubuhan bukan berasaskan keuntungan itu menaungi 60 buah syarikat Orang Asli yang turut menjana pendapatan tahunan sebanyak RM109 juta dan mengalu-alukan 3.8 juta pelancong.

Pertubuhan ATBC berharap untuk mengajar cara mencari potensi pelancongan Orang Asli bagi menambah pendapatan dan mempertahankan industri pelancongan Orang Asli yang kaya kebudayaannya. Usaha itu bukan sahaja dilakukan di Kanada tetapi juga disemua tempat yang mampu dijelajahi.

Kumpulan itu telah menjalankan pelbagai perkongsian maklumat, rangkaian dan usahasama pemasaran. Ia direka untuk membantu mempromosikan keusahawanan masyarakat Orang Asli sekaligus menolong menjadikan komuniti tersebut kuat dan berdaya saing.

“Dapat berhubung dengan usahawan masyarakat asli yang berjaya seperti ATBC dapat menyemai rasa bangga dalam diri pelajar kami kerana menjadi Orang Asli,” kata Pensyarah Kebudayaan dan Adat Resam Masyarakat Asli di sebuah universiti di Taiwan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: