Monday, November 7, 2011

Perlumbaan kenderaan elektrik di F1


KERETA SRZero dari pasukan Racing Green Endurance ciptaan para pelajar dari Imperial College of London berjaya mengharungi perjalanan sejauh 20,921 kilometer dalam masa 70 hari.


BEKALAN minyak dunia bagi memenuhi keperluan kenderaan di masa hadapan berada pada paras yang membimbangkan kerana simpanan minyak sekarang menyaksikan penurunan yang besar kerana permintaan melebihi bekalan.

Menurut ramalan sesetengah pihak, berdasarkan bekalan minyak sedia ada dengan kadar penggunaan semasa, bekalan minyak dunia hanya mampu bertahan sehingga tahun 2050 sahaja. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada pengguna kenderaan ketika itu?

Sehubungan itu, industri automobil dunia kini sibuk menjalankan kajian bagi melahirkan kenderaan yang tidak bergantung kepada minyak petrol atau diesel, sebaliknya boleh digerakkan oleh tenaga alternatif seperti elektrik sepenuhnya atau hibrid yang menggabungkan elektrik dan minyak.

Bagi merancakkan penyelidikan dan pembangunan kenderaan berteknologi hijau itu, Federation International Automobil (FIA), agensi pembangunan sukan bermotor dan kenderaan dunia sedang merancang untuk mengadakan siri kejohanan perlumbaan kereta elektrik berkuasa tinggi dikenali sebagai FIA Formula E Champioship mulai 2013.

Memandangkan tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai perlumbaan itu setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada perlumbaan kereta lumba elektrik itu akan diadakan di litar-litar yang sama digunakan dalam siri Formula One atau di litar baru.

Pengeluar kereta hibrid seperti Toyota, Peugeot, Audi dan Porsche sememangnya sedang berusaha keras untuk mengadakan perlumbaan kereta lumba hibrid dalam masa beberapa tahun ini sebagai bukti kehebatan kenderaan mereka apabila memasuki pasaran.

Siapa yang akan menyertainya?

Kereta lumba elektrik terlaju di dunia ketika ini ialah kereta EV-X11 dari KleenSpeed dan syarikat itu telah memberi gambaran yang mereka akan menyertai perlumbaan itu, selain itu beberapa syarikat pengeluar kenderaan elektrik terbesar juga menyatakan minat mereka. EV-X11 merupakan kereta lumba elektrik yang dibangunkan oleh KleenSpeed Technologies, syarikat dari Amerika Syarikat.

Kenderaan itu menggunakan asas casis kereta lumba West Race Cars American LeMans IMSA Lite L2 yang diubahsuai oleh KleenSpeed dan kemudiannya diletakkan Sistem EV KleenSpeed yang mempunyai sistem kawalan kuasa, pengecaj elektrik, pek bateri dan sistem sokongan.

Kereta itu menggunakan kuasa 200 kuasa kuda (HP) serta mampu memecut dengan kelajuan sehingga 240 kilometer sejam (km/j) dan juga berjaya mencatat rekod pusingan terbaik untuk kereta elektrik di litar lumba Laguna Seca California pada kelajuan 1 minit, 38.858 saat.

Matlamat KleenSpeed memperkenalkan teknologinya ke dalam kereta lumba adalah bertujuan menunjukkan kepada dunia yang jika mereka mampu melakukan perubahan dengan jayanya pada kereta lumba, sudah tentu teknologi yang sama boleh digunakan di jalan raya.

Syarikat Renault dan Nissan juga telah mengadakan kerjasama bagi membangunkan sistem kenderaan elektrik yang boleh digunakan di jalan raya dengan mengeluarkan kenderaan seperti Renault Twizy ZE, Renault Kangoo ZE, Renault Fluence ZE, Renault Zoe ZE dan Nissan LEAF.

Seperti yang kita ketahui, Renault merupakan syarikat yang telah membangunkan enjin kereta Formula 1 yang mencatatkan kejayaan memberangsangkan dalam perlumbaan itu sejak beberapa tahun lepas.

Selain itu, lain-lain pengeluar kereta terkenal yang dijangka akan menyertai perlumbaan F1 mesra alam itu ialah Tesla, Toyota, BMW, Mercedes/smart, BMW/MINI, Honda, Audi, Tata, Ford, General Motors dan Chrysler/Fiat.

Bagi para pelajar dari Imperial College of London pula, mereka berusaha membuktikan bahawa sebuah kereta elektrik sememangnya boleh digunakan untuk kereta lumba.

Mereka telah mencipta sebuah kereta elektrik berbentuk kereta lumba yang bukan sahaja mampu dipandu laju tetapi berjaya mengharungi perjalanan sejauh 20,921 kilometer (km) melalui 13 negara dalam perjalanan selama 70 hari pada tahun lepas.

Pasukan The Racing Green Endurance telah mencipta sebuah kereta lumba dengan dua tempat duduk yang dibina dari casis asal SR8 Radical Sportscars.

Kereta yang dikenali sebagai SRZero itu menggunakan bateri litium 56 kWh dan boleh bergerak sejauh 402 km bagi sekali caj selama enam jam.

Sementara itu, FIA kini sedang dalam peringkat akhir untuk meletakkan syarat dan terma teknikal untuk membolehkan syarikat untuk menyatakan minat mereka yang dijangka diselesaikan pada suku pertama tahun depan.

Setiap pengeluar diperlukan menghasilkan jumlah kereta yang minimum untuk memastikan jumlah penyertaan dan juga 'keseimbangan prestasi' bagi menjadikan pertandingan itu lebih menarik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: