Monday, November 7, 2011

Ripcurl cabar remaja ekstrem


Kebolehan mengimbang badan diperlukan bagi memudahkan peserta atau peluncur mempamerkan aksi yang menarik.


Sebab itu, aktiviti sukan lasak sering menjadi pilihan golongan ini sama ada lelaki atau perempuan. Antaranya sukan ekstrem papan selaju (skateboard).

Bagi komuniti skateboard, aktiviti rekreasi ini digemari kerana helah (trick) yang dipamerkan menggunakan kebolehan mengimbang badan di atas peluncur seperti half paip dan pool yang pastinya nampak hebat.

Ketika mempamerkan aksi-aksi yang mendebarkan itu, setiap helah memerlukan komitmen dan tumpuan 100 peratus ketika beraksi terutamanya ketika meluncur di atas tanjakan (ramp) yang lebih tinggi.

Jika tersilap langkah, boleh jadi peluncur tersebut bakal berhadapan dengan situasi yang tidak diingini.

Selain itu, setiap keupayaan yang dipamerkan juga memerlukan fizikal dan mental yang kuat selain latihan bersungguh-sungguh bagi menjayakan helah tersebut.

Pencarian Skate Ripcurl bermula

Baru-baru ini, lokasi Sunway Piramid menjadi tumpuan remaja yang mengilai permainan tersebut ketika Kejohanan Pencarian Skate Ripcurl 2011 sedang berlangsung.

Melihat pelbagai aksi menarik yang dipamerkan 25 peserta (Malaysia) dan lima (Singapura) di atas ramp yang direka khas berdasarkan bentuk logo Ripcurl itu, ia amat mengujakan.

Para peserta nyata berusaha keras menunjukkan kebolehan dan kemahiran masing-masing dengan melakukan pelbagai gaya ekstrem dalam satu masa.

Ada yang menjadi, malah tidak kurang juga sekadar tersungkur jatuh akibat tersalah teknik lompatan mahupun kekurangan keyakinan kendiri.

Bagi yang boleh melakukan aksi tersebut pastinya tersenyum lebar dan berasa puas kerana cubaan berjaya selepas berlatih berulang-kali.

Namun bagi yang tidak mampu pastinya tertanya-tanya bagaimana mereka boleh melakukan aksi berkenaan dan pelbagai lagi persoalan yang sukar dijawab.

Memang sesetengah pergerakan nampak mudah tetapi sukar untuk dilakukan seperti aksi ollie.

Belajar bermain papan selaju boleh diibaratkan seperti sedang menunggang basikal tanpa roda latihan.

Lebih lama dan banyak anda berlatih, maka anda akan lebih selesa ketika berada di atas papan selaju.

Bagi yang berminat untuk mempelajari cara-cara meluncur bukannya sesukar yang disangkakan kerana secara asasnya sukan papan selaju hanya memerlukan peluncur menolak papan tersebut menggunakan sebelah kaki yang lain.

Sebaik sahaja berdiri di atas papan selaju, peluncur perlu mengimbangi badan agar papan itu stabil.

Jika anda boleh mengimbanginya maka helah ollie, pusingan 360 darjah kick flip dan pelbagai lagi aksi yang kelihatan seperti ahli akrobatik mahupun gaya penari hip-hop boleh dilakukan.

Dalam kejohanan tersebut, antara kategori yang dipertandingkan ialah pencarian helah terbaik.

Dalam masa tiga jam yang diberikan, setiap peserta bergilir-gilir mempamerkan pelbagai aksi.

Kategori tersebut dimenangi oleh Mohd. Nazer (Singapura), diikuti peserta tempatan, Mohd. Fikri Zulkifly di tempat kedua dan Faris Ahmad (Singapura) di tempat ketiga.

Menurut Pengurus Jenama Ripcurl, Vivian Chew, sukan papan selaju merupakan segmen permainan paling berpengaruh dalam generasi hari ini.

"Jenama Ripcurl memang sinonim dengan aktiviti luncur dan melihatkan populariti sukan ini semakin meningkat di kalangan golongan muda tempatan membuatkan kami berminat untuk mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan sukan tersebut.

"Kami berharap agar penganjuran sukan lasak seperti ini mampu mewujudkan kesedaran di kalangan anak muda untuk menceburi aktiviti berpotensi seperti sukan papan luncur," katanya.

Tambahnya, jika golongan ini diberi pendedahan dengan teliti maka bakat yang ada pada setiap peserta tersebut boleh dikembangkan lagi sehingga ke peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: