Lisa Surihani

Figura cantik manis, bernama Lisa Surihani ini, memang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang lakonan. Malah ada sesetengah pihak melabelkan Lisa sebagai Primadona Filem Melayu masa kini.

Namun, ia belum cukup memberi keyakinan buat Lisa berdamping mesra bersama pasangannya di dalam filem, mahupun drama lakonannya. Apatah lagi, pelakon lelaki itu adalah suami orang.

Lisa mengakui gementar setiap kali perlu menjayakan aksi romantis dengan pelakon lelaki, lebih-lebih lagi yang telah berkahwin. Perasaan itu telah membuatkan dirinya mengambil masa menjiwai sesuatu watak sebelum dapat memberikan lakonan terbaik.

"Biarpun telah membintangi pelbagai filem dan drama, ia belum cukup memberikan keyakinan kepada saya sekali gus mengurangkan rasa gementar.

“Saya terlalu memikirkan perasaan isteri mereka, apabila melihat lakonan kami terutamanya melibatkan adegan romantik,” ujarnya ketika ditemui pada majlis tamat penggambaran filem Istanbul Aku Datang, baru-baru ini.

Bagaimanapun, bagi mengurangkan rasa gementar dan perasaan tidak selesa, Lisa akan berkenalan dengan isteri heronya terlebih dahulu, agar masing-masing berasa selesa di set penggambaran.

“Sebelum ini, semasa bergandingan dengan Aaron Aziz dalam Ombak Rindu, saya mengambil masa lama untuk menjayakan babak romantik. Malah perkara itu beberapa kali saya luahkan kepada Aaron.

"Sehinggalah Aaron membawa isterinya ke set dan alhamdulillah, selepas berkenalan, perasaan saya tenang dan saya dapat menyelesaikan babak bersama Aaron.

“Begitu juga semasa berlakon dalam filem Istanbul Aku Datang, isteri pelakon Beto Khusyairi sangat memahami dan membuatkan saya rasa selesa berlakon bersama suaminya. Malah sepanjang penggambaran di Turki dia sering menemani ibu saya sehingga saya sungguh terharu,” ujarnya.

Impian terlaksana

Berkongsi tentang pengalamannya menjalani penggambaran di Istanbul bagi filem Istanbul Aku Datang, aktres berusia 25 tahun ini, mengakui menyimpan angan-angan untuk mengunjungi negara Turki suatu hari nanti kerana tertarik mendengar cerita temannya.

Oleh itu, apabila ditawar ke sana selama 30 hari oleh pengarah Pisau Cukur, Bernard Chauly untuk penggambaran filem terbarunya, Istanbul Aku Datang, Lisa terus bersetuju tanpa melihat skrip filem.

“Apabila Lina Tan memberitahu barisan pelakon dan lokasi penggambaran, saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang kerana pada tahun lalu selepas melihat gambar seorang kenalan di Facebook yang bercuti di Turki.

“Tidak sangka ALLAH memakbulkan doa saya. Paling menyeronokkan dapat bekerja sambil melawat negara itu,” jelasnya.

Memegang watak Dian, Lisa turut melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menjayakan watak tersebut, walaupun pada mulanya dia ditawarkan kepada aktres Nur Fazura. Namun oleh kerana terikat dengan komitmen lain, rezeki telah berpihak kepada Lisa, apabila watak tersebut ditawarkan kepadanya.

“Watak Lisa berbeza dengan watak yang pernah saya bawa selama ini. Bernard sendiri memberi tunjuk ajar agar tidak melakonkan watak tersebut, sebaliknya cuba menjadi Dian agar boleh menghayati watak dengan lebih baik," katanya.

Selain Beto, Lisa juga mengakui seronok dan teruja kerana pertama kali berpeluang bekerjasama dengan penyanyi Tomok dan Aizat.

"Jika anda meragui kemampuan Tomok sebagai seorang pelakon, anda harus buang perasaan itu ketepi. Bagi saya, Tomok pelakon hebat dan dia memang mempunyai bakat, " katanya.
Akui semakin intim
Diajukan tentang perkembangan terbaru bersama kekasih, Yusry Abdul Halim, Lisa mengakui mereka masih lagi dalam proses mengenali hati budi.

Namun Lisa berkata, belum ada perancangan mendirikan rumah tangga memandangkan Yusry sibuk dengan penggambaran filem terbarunya.

“Masih awal lagi untuk menjangka hubungan kami, tetapi sememangnya mempunyai perancangan untuk mempunyai ikatan serius. Sebagai wanita, saya tidak dapat berbuat apa-apa selain daripada menunggu,” katanya.

Malah Lisa menyatakan kesediaannya turun ke set penggambaran bagi menemani buah hatinya itu.

Istanbul Aku Datang mengisahkan Dian yang ingin membuktikan, dia mampu menjadi isteri idaman kepada tunangnya, Azad seorang pelajar jurusan medik di Istanbul. Namun di sana dia telah bertemu Beto, seorang pelukis berperwatakan pelik tetapi artistik.

Filem berkenaan ditulis oleh Rafidah Abdullah, dan dijadualkan untuk tayangan pada tahun 2012.