Wednesday, November 9, 2011

KitaKita legasi Endon Mahmood


PRODUK kraf tangan yang terdapat di KitaKita memberi sentuhan seni yang mendalam.


SEJAK dari kecil, Nori Abdullah sering diingatkan oleh ibunya, Allahyarham Tun Endon Mahmood supaya menghargai dan menyayangi kraf tempatan dan jangan hanya menyanjung barangan import.

Menurut Allahyarham, kraf tempatan begitu indah dan unik serta seharusnya mendapat pengiktirafan masyarakat di negara ini sebelum diangkat martabatnya ke persada antarabangsa.

Demikian cerita anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ini semasa pertemuan dengan media pada majlis memperkenalkan KitaKita, sebuah butik cenderamata kraftangan tempatan dan hasil seni.

Terletak di Bukit Damansara, butik kraf yang ditubuhkan dengan semangat dan minat mendalam terhadap kraf tangan dan seni bersama tiga wanita lain, iaitu Mona Jamaludin, Hana Jamaludin dan Pam Shahril adalah untuk meningkatkan minat masyarakat terhadap hasil kraf tempatan.

Kerjasama keempat-empat wanita itu bermula daripada minat serta visi untuk menyediakan sebuah ekosistem kepada para penggiat seni tempatan mengecapi kejayaan yang lebih besar.

KitaKita mempamerkan pelbagai hasil kraf yang melambangkan keunikan Malaysia. Antara koleksi kraf yang terdapat di sini termasuklah batik, songket dan pewter serta lain-lain bahan kraf seperti pua kumbu, hasil tenun dan barangan tembikar Nori kebaya. Setiap produk mempunyai keunikan dan cerita tersendiri.

Menurut Nori, seperti manusia, hasil kraf juga ada cerita masing-masing justeru pihaknya ingin menambah keunikan produk mereka dengan berkongsi setiap cerita di sebalik barangan dan hasil seni di KitaKita.

"KitaKita menyediakan ruang baru kepada pengusaha-pengusaha kraf tempatan selain menyimpan harapan mengubah pandangan umum terhadap kraf tempatan.

"Dengan model perniagaan dan objektif yang mudah tetapi cukup efektif, KitaKita menyediakan landasan baru kepada pengusaha kraf tangan untuk menjual hasil kraf dan seni mereka ke pasaran baru.

"Sebagai sebuah entiti perniagaan berasaskan sosial, KitaKita memperuntukkan 10 peratus daripada keuntungan yang diterima bagi membantu pengusaha-pengusaha seni,'' ujar Nori.

Sementara itu, Mona, Hana dan Pam sepakat menyatakan minat mereka di dalam kerja kraf tempatan menjadi pendorong untuk memulakan KitaKita.

Mereka berharap apabila orang ramai ingin membeli hadiah atau cenderahati, barangan kraf tempatan akan menjadi pilihan utama mereka.

Mereka yang berminat dengan hasil seni dan kraf tangan tempatan untuk dijadikan cenderahati, boleh melayari laman web KitaKita di www.kitakita.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: