Wednesday, November 9, 2011

Ikhlas bela nasib peniaga tempatan


Arked di Jalan TAR yang menjadi tumpuan ramai pembeli kain ela.


LEBIH 50 peratus perniagaan kecil dan sederhana di sekitar ibu negara contohnya di Chow Kit, Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dikuasai oleh warga asing seperti Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Afghanistan, India, Iran, Iraq dan sebagainya.

Situasi ini berlaku ekoran tiada pengawasan dan sikap lepas tangan pihak yang mengeluarkan permit berniaga kepada warga asing.

Menurut Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah, sebagai pihak berkuasa tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seharusnya turun padang membuat kajian seramai mana warga asing yang memonopoli perniagaan di kawasan tertentu di ibu negara.

''Mengikut pengamatan Ikhlas, warga Indonesia paling ramai berniaga di ibu negara terutamanya di Masjid India selain warga Bangladesh. Perkara ini perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana kawasan terbabit seolah-olah menjadi milik mereka.

''Walaupun pada peringkat awal kaum bumiputera yang memohon permit perniagaan akhirnya permit tersebut disewakan kepada warga asing. Justeru DBKL perlu memainkan peranan menguruskan hal tersebut,'' katanya.

Ditanya berapa ramaikah peniaga asing yang berniaga di sekitar ibu negara, kata Mohd. Ridzuan, pihak Ikhlas pernah mengedarkan borang kaji selidik daripada kedai ke kedai bagi mengetahui jumlah mereka.

Bagaimanapun sambutan yang diterima tidak berapa bagus malah terdapat peniaga yang menghalau dan tidak mahu melayan Ikhlas.

Antara jenis-jenis perniagaan yang dilakukan oleh warga asing ialah menjual tudung, baju kurung, kain ela dan makanan. Tudung dan baju kurung yang dijahit adalah dalam jumlah banyak seperti dikeluarkan oleh sebuah kilang kecil.

"Tudung dan baju kurung ini juga adalah untuk pasaran orang Melayu namun yang menjahit dan menjualnya adalah warga asing. Orang Melayu mempunyai kebolehan berniaga tetapi mengapa warga asing pula yang berniaga pakaian orang Melayu.

"Sekarang terdapat pula warga Iran yang membuat bermacam-macam perniagaan. Antaranya ialah restoran," katanya.

Ujarnya, kehadiran peniaga asing itu boleh menyebabkan keselamatan negara terancam. Ini kerana katanya, mereka tidak takut kepada sesiapa atau sebarang keadaan disebabkan telah biasa dengan keadaan di negara mereka yang mengalami peperangan.

''Jika kita berjalan di kedai-kedai sekitar Kuala Lumpur, terlalu ramai warga asing sehinggakan kita berasa seakan-akan berada di negara orang. Daripada rupa, pakaian dan loghat mereka, kita sudah tahu mereka warga asing.

''Ada yang berkahwin dengan warga tempatan kerana kemudahan yang boleh didapati di sini. Kita tidak mahu maruah orang Melayu menjadi begitu murah. Kita kena kaji, untuk jangka panjang mungkin dalam tahun 2020 tidak ada lagi orang Melayu yang berniaga di Kuala Lumpur,'' ujar Mohd. Ridzuan lagi.

Untuk itu, ujarnya, Ikhlas akan menghantar memorandum kepada Datuk Bandar untuk cadangan pemantauan supaya peniaga warga asing tidak bermaharajalela di Kuala Lumpur.

Katanya, ada peniaga Melayu yang mengeluh jika mereka silap sedikit pihak tertentu akan mengambil tindakan. Banyak juga peniaga warga asing yang melakukan kesalahan seperti tidak memiliki pasport namun mereka tidak pula dikenakan tindakan.

Menurutnya lagi, kerajaan mengambil berat mengenai peniaga-peniaga tempatan namun sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) kadang-kadang menyusahkan peniaga.

''Apa yang saya nampak, kerajaan harus mewujudkan badan khas termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Imigresen, Polis, DBKL dan Kementerian Pelancongan bagi menyelesaikan masalah ini.

''Mungkin selepas ini kerajaan tidak lagi memberi peluang kepada warga asing berniaga di sini sebaliknya mengutamakan peniaga tempatan,'' ujarnya.

Mohd. Ridzuan berkata, Ikhlas yang mewakili peniaga di seluruh negara kini mempunyai seramai 5,000 orang ahli di seluruh Malaysia termasuk peniaga-peniaga yang berniaga di tepi jalan, warung kecil, arked dan sebagainya.

Pertubuhan ini tidak memaksa sesiapa pun menjadi ahli dan akan membantu walaupun bukan kepada ahli. Bayaran yang dikenakan untuk menjadi ahli ialah RM72 setahun.

Kebanyakan masalah yang diutarakan oleh ahli ialah kes-kes melibatkan PBT, kena pindah, kena ikut pelbagai prosedur, gerai dirobohkan, barangan perniagaan dirampas dan pelbagai lagi.

Ikhlas sekarang mengambil pendekatan berhubung rapat dengan para peniaga kecil yang terdiri daripada anak-anak muda atau wanita yang berniaga contohnya peniaga burger, goreng pisang, air, buah-buahan, rojak dan sebagainya. Mereka ini akan dikumpulkan dan diterangkan mengenai peluang-peluang perniagaan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Ikhlas juga katanya, akan mula turun padang ke negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kedah kerana ramai peniaga Melayu di negeri-negeri ini yang ditindas.

''Ikhlas tidak mengira parti politik dan bergerak sebagai badan bebas yang menjaga kebajikan ahli dan peniaga amnya,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: