Thursday, November 17, 2011

Keselesaan skrin sentuh


PAPARAN skrin sentuh yang besar memudahkan pengendalian Torch 9860.


DEWASA ini, penggunaan telefon pintar semakin mendapat tempat di hati penggemar peranti berteknologi tingggi. Bagaimanapun, pengguna mempunyai cita rasa berbeza - ada yang gemar menggunakan peranti dilengkapi papan kekunci QWERTY dan ada pula berasa selesa hanya menggunakan skrin sentuh.

Syarikat di belakang jenama BlackBerry, Research In Motion (RIM) baru-baru ini telah memperkenalkan Torch 9860 yang beroperasi sepenuhnya menggunakan skrin sentuh berbanding jenama yang cukup sinonim dengan papan kekunci QWERTY.

Model terbaharu yang menggunakan sistem operasi generasi terbaharu BlackBerry 7 itu menawarkan paparan skrin sentuh berukuran 9.4 sentimeter (sm) demi memberi kepuasan kepada pengguna.

Dengan paparan skrin besar, dijana pelayar BlackBerry yang lebih pantas dan dilengkapi butang kawalan serta trackpad optikal, ia akan memberikan pengalaman baharu kepada pengguna apabila melayari alam maya.

Pengguna juga akan merasai pengalaman kendalian menakjubkan lantaran paparan skrin yang jelas selain keselesaan menaip dengan lebih tepat.

BlackBerry Torch 9860 turut dilengkapi teknologi Liquid Graphics dalam memberikan kualiti paparan skrin jelas dan terbaik kepada pengguna. Melalui teknologi itu, mereka yang gemar menonton video atau bermain permainan video akan merasai kelainan kerana ia dilengkapi sokongan video HTML5.

Dalam pada itu, telefon pintar dilengkapi pemproses 1.2 gigahertz (GHz) membolehkan pengguna bermain permainan video, melayari Internet dan menonton video dengan baik serta pantas.

Model itu turut didatangkan bersama beberapa aplikasi menarik seperti Wikitude, Facebook dan Amazon MP3. Melalui aplikasi BlackBerry Messenger 6.0, telefon pintar itu dapat mengemas kini maklumat dengan segera manakala fungsi Social Feeds 2.0 dan Facebook For BlackBerry membenarkan pengguna mengetahui perkembangan semasa lebih pantas.

Pengguna yang ingin menyerlahkan kreativiti mereka dalam merakam imej pegun, ia didatangkan bersama kamera beresolusi lima megapiksel CMOS dalam memberikan imej berkualiti tinggi. Maklumat lanjut mengenai BlackBerry Torch 9860 boleh dilayari di laman web www.rim.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: