Thursday, November 17, 2011

Anjakan keusahawanan wanita Muslim

NORRAESAH ketika menyampaikan ucapan beliau kepada para peserta.


ASAS yang kukuh mampu membuahkan hasil yang terbaik. Begitu juga dengan cita-cita. Bermula dengan semangat, jika ia dipimpin dengan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya, mampu mengubahnya menjadi realiti.

Salbiah Jaafar, 56 walaupun kelihatan seperti ramai wanita Melayu lain, beliau sebenarnya mempunyai semangat berniaga yang tinggi. Justeru, beliau yang sudah menjangkau usia separuh abad, tidak berkira-kira untuk menyertai dan menelaah ilmu bagi mengembangkan perniagaannya. Dia mahu menjadi seorang usahawan wanita Melayu yang berjaya.

Beliau ialah salah seorang daripada lima wanita Islam Melayu dari Malaysia yang ditemui pada Bengkel Wanita Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ketiga yang diadakan pada 2 hingga 10 Oktober yang lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

“Saya berkecimpung dalam perniagaan membuat rempah dan makanan segera tradisional seperti sambal goreng ikan bilis dan perencah rendang.

“Namun, selepas menyertai bengkel ini, saya sedar kekurangan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk mengembangkan lagi perniagaan,” ujar Salbiah.

Antara intipati utama yang menarik perhatian Salbiah ialah kepentingan penjenamaan produk.

“Saya sudah ada cadangan jenama tetapi belum diputuskan lagi. Selain itu, saya juga dapat mengembangkan ilmu dan rangkaian perhubungan niaga apabila berpeluang mendekati ahli perniagaan wanita dari negara lain,” ujar Salbiah, pemilik SMY Frozen Food.

Respons baik

Sepanjang bengkel itu, Salbiah memperkenalkan produk makanan beliau kepada peserta bengkel yang lain dan mengakui mendapat respons baik.

“Saya perlu buat penyelidikan sebelum membuat apa-apa keputusan kerana rata-rata negara yang menyertai bengkel ini mempunyai kekuatan pasaran rempah tersendiri,” katanya.

Bengkel tersebut disertai 32 orang wanita dari negara-negara Islam seperti Bangladesh, Yemen, Indonesia dan negara bukan Islam seperti Myanmar.

“Ia seperti sebuah percutian yang bermanfaat. Wanita-wanita dari segenap negara Islam menghadiri bengkel ini dan mereka diraikan bukan sahaja dengan budaya Malaysia malah diberikan pelbagai input untuk memulakan atau menjayakan perniagaan. Mereka juga menyertai aktiviti lawatan ke lokasi terpilih,” ujar Pengerusi Rangkaian Perniagaan Wanita WIEF, Datuk Dr. Norraesah Mohamad.


WAJAH-WAJAH yang gembira dapat menimba ilmu pada penganjuran WIEF di ibu negara baru-baru ini.


Beliau menambah, bengkel kali ketiga yang diadakan itu adalah rentetan kejayaan usaha yang sama dua kali sebelum ini. Penganjurannya akan diteruskan demi mempertahan dan memperkayakan kelestarian wanita Islam dalam dunia keusahawanan.

Tambah beliau, bengkel itu akan menjadi platform kepada wanita Islam di Malaysia untuk mendedahkan diri, berjumpa dan bertukar fikiran selain membuka minda khususnya bagi golongan yang masih dikekang oleh tradisi.

Diperkembangkan

Norraesah juga membezakan kedudukan wanita Islam di Malaysia, misalnya 20 tahun yang dulu dan sekarang, yang sudah banyak berbeza dan cara imej tersebut diperkembangkan lagi pada masa-masa akan datang.

“Demi matlamat itu, kami mahu lebih banyak wanita berkecimpung dalam dunia perniagaan memandangkan mereka mewakili 80 peratus pembuat keputusan kosumerisme,” ujar beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta tempatan yang memanfaatkan bengkel itu ialah, Nor Amija Miskon, 43, yang juga pengusaha masakan untuk industri komersial makanan.

Pemilik Premix Spices yang menyediakan bahan rempah yang memudahkan proses masakan dalam industri besar makanan itu berkata, banyak perkara yang dibimbing sepanjang berlangsungnya bengkel 10 hari itu.

“Saya pernah terlibat dalam perniagaan keluarga iaitu berkaitan kenderaan dan ini merupakan satu lagi percubaan,” kata Amija.

Amija mengakui, dirinya berasa sangat bertuah kerana menerusi rangkaian yang dibina, beliau mendapat beberapa respons yang baik untuk memperkenal dan mengembang produknya di luar negara.

Antara pendedahan berguna yang menarik perhatian Amija adalah seperti aspek akaun, kewangan dan perancangan perniagaan.

“Hasil pembentangan yang diadakan mengikut kumpulan, perniagaan saya telah dipilih sebagai antara yang terbaik dan ia membuka banyak ruang positif.

“Saya juga dapat menyediakan pelan pemasaran untuk dua tahun akan datang melalui pembentangan dalam kumpulan,” katanya merujuk kepada salah satu aktiviti yang dikendalikan dalam bengkel tersebut.

Dalam bengkel tersebut, para peserta dibawa melawat Selangor Pewter sebagai salah satu pengisian aktiviti selain lawatan ke pusat beli-belah dan Putrajaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: