Wednesday, November 9, 2011

Delima peniaga Melayu Jalan TAR


Abbas Zaghnan (kanan) bersama rakan-rakan lain yang juga warga Pakistan di sepanjang arked Jalan TAR.


Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) merupakan lokasi membeli-belah yang cukup terkenal bukan sahaja di kalangan penduduk Kuala Lumpur malah mereka yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura.

Semuanya bertumpu di situ menyebabkan Jalan TAR tidak pernah sunyi. Sentiasa dikunjungi orang. Baik semasa hari biasa apatah lagi hujung minggu. Jumlah orang ramai bertambah berkali ganda semasa cuti umum atau musim perayaan.

Masyarakat Melayu paling suka membeli-belah di Jalan TAR kerana terdapat bermacam-macam barangan khusus untuk mereka seperti kain ela bagi dibuat baju kurung, baju kurung yang telah siap, tudung, barangan untuk menunaikan haji, ubat-ubat tradisional dan sebagainya.

Selain kedai-kedai yang menjual barangan tersebut, di situ juga terdapat kawasan membeli-belah yang berupa petak kedai kecil, terletak sebelah-menyebelah di lorong-lorong sempit.

Pemilik kedai atau jurujual berdiri di luar kedai memanggil serta mempelawa sesiapa sahaja yang lalu-lalang untuk singgah melihat barangan yang ditawarkan. Ada ketikanya terasa rimas kerana terlalu ramai yang menyapa supaya singgah di kedai mereka.

Jika anda perasan, beberapa tahun dahulu, selain peniaga-peniaga tempatan, mungkin kebanyakan peniaga dan jurujual di arked-arked dan kedai di sekitar Jalan TAR terdiri daripada wanita yang berasal dari negara jiran, Indonesia kerana slanga mereka yang 'pekat'. Namun pada masa kini mereka semakin 'pupus' dan digantikan dengan bangsa lain pula.

Hari ini, wajah peniaga-peniaga warga asing sudah menjadi biasa jika anda mengunjungi kedai dan arked di sekitar Jalan TAR. Mereka yang terdiri daripada lelaki sudah boleh bertutur bahasa Melayu untuk memanggil pelanggan.

Jarang sekali dapat dilihat jurujual wanita atau pemilik kedai warga tempatan, menjadikan ketika berada di persekitaran itu seolah-olah berada di negara asing dan bukan di negara sendiri.

Ramai peniaga tempatan mengeluh dan tidak berpuas hati dengan kebanjiran peniaga asing yang memonopoli perniagaan di Jalan TAR. Keadaan ini menjejaskan perniagaan mereka kerana peniaga-peniaga asing kebanyakannya warga Pakistan berani melabur dalam jumlah yang besar untuk mendapatkan tempat berniaga.

Selain Pakistan, terdapat juga peniaga dari Afghanistan, India, Iran dan Iraq. Kebanyakan mereka berniaga pakaian dan tudung. Ada juga yang berniaga makanan, permaidani dan barangan perhiasan rumah.

Beberapa 'kerat' peniaga tempatan di situ sudah banyak kali menyuarakan kebimbangan terhadap situasi tersebut. Namun keluhan dan aduan mereka lenyap bagai angin lalu.

Dawiah Othman, 44, yang telah 15 tahun berniaga kain ela dan tudung di salah sebuah arked di Jalan TAR mengakui semakin ramai peniaga dan jurujual warga Pakistan di arked tersebut.

Katanya yang berasal dari Kelantan, peniaga dan jurujual Pakistan itu telah berniaga dan bekerja di situ sejak lima atau enam tahun lalu. Jumlah mereka semakin ramai dari semasa ke semasa.

Menurutnya, arked tersebut yang dimiliki oleh ahli perniagaan dari negara jiran boleh disewa oleh sesiapa sahaja.

Justeru, ramai peniaga Pakistan yang menyewa dan mereka tidak kisah membayar harga tinggi asalkan memiliki tempat untuk berniaga.

Sementara itu, Sansiwar Mogek yang telah 40 tahun berniaga tudung secara borong dan runcit di Gerai Berkunci DBKL terus-terang menyatakan rasa geram dan tidak senang dengan kehadiran warga Pakistan di sekitar Jalan TAR.

"Dari pangkal Jalan TAR hingga ke hujung dipenuhi dengan peniaga Pakistan. Jika dibiarkan, habislah orang Melayu. Nanti orang Pakistan yang mengambil alih semua perniagaan di sini dan orang Melayu pula yang menjadi pekerja,'' katanya yang mewarisi gerai tersebut daripada bapa dan abangnya.

Gerainya yang dinamakan E One Collection yang disewa daripada DBKL RM100 sebulan diletakkan syarat tidak boleh disewakan pada orang lain.

Namun, apa yang dikesalkan ada juga pemilik gerai yang menyewakan kepada orang lain kerana harga tinggi yang ditawarkan.

"Banyak peniaga warga asing yang menawarkan pada saya harga sewa RM10,000 sebulan dan sanggup membayar sekali gus enam bulan namun saya tolak kerana tidak mahu menggadaikan hak gerai milik Melayu ini kepada orang asing.

"Saya lihat pula peniaga Pakistan ini dapat keistimewaan. Kalau peniaga bukan Pakistan yang buat salah, tindakan cepat dilakukan tetapi jika peniaga Pakistan mereka (pihak berkuasa) seakan tutup mata,'' jelasnya yang berasal dari Kuang, Selangor.

Menurut Sansiwar, kebanjiran peniaga Pakistan itu bermula sejak 2004 dan tidak salah jika dikatakan kehadiran mereka membunuh peniaga Melayu.

Sementara itu salah seorang peniaga yang berasal dari Pakistan yang ditemui, Mohd. Ali Hazrat Ali yang berniaga kain ela, batik sarung dan pelikat berkata, telah lebih 50 tahun dia berniaga di Jalan TAR dan akan terus berniaga di situ.

Katanya, sebelum berniaga di arked Jalan TAR, dia telah berniaga di beberapa lokasi namun paling lama di tempat sekarang, iaitu 10 tahun.

Mohd. Ali berkata, dahulu senang berniaga di Kuala Lumpur kerana kedai tidak banyak dan mempunyai ramai pelanggan. Bagaimanapun kini kedai semakin banyak dan pelanggan juga telah berkurangan.

Dalam pada itu, Abbas Zaghnan, 26, jurujual warga Pakistan yang bekerja di kedai menjual kain dan tudung di arked Jalan TAR berkata, di Malaysia mudah mendapat wang sebab itu ramai yang datang untuk bekerja di negara ini.

"Kebanyakan orang Pakistan yang datang ke Malaysia berniaga atau bekerja di kedai pakaian dan tudung. Walaupun mula-mula tidak tahu cakap Melayu, lama-kelamaan mereka semakin fasih kerana bahasa Melayu senang hendak faham dan dipelajari,'' katanya yang baru dua tahun berada di sini.

Kata Abbas, dia seronok bekerja di Jalan TAR kerana mempunyai ramai kenalan yang senegara dengannya. Lagipun di sini senang mendapat makanan Pakistan yang dijual oleh orang Pakistan sendiri.

1 comment:

  1. Siapa kata Jalan TAR sahaja........mereka dah menjadi majoriti disemua shopping complex......yang malangnya mereka berebut market yg sama dgn peniaga peniaga melayu. Amalan perniaagaan mereka buruk....mereka cuba pelbagai cara untuk membunuh persaingan dgn menurunkan harga keperingkat yg rugi utk suatu jangka masa dgn niat membunuh persaingan. Mereka ada CARTEL peniaga Pakistan yg besar back by millionaires dari negara mereka jadi boleh dan melakukan demikian

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: