
DI MANA bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Itu yang diamalkan oleh Batalion Malaysia Keempat (Malbatt 4) yang kini bertugas di Thibnin, Lebanon.
Sempena dengan kehadiran Hari Raya Aidiladha baru-baru ini semua anggota Malbatt 4 menyambutnya bersama-sama penduduk tempatan di bumi Lebanon yang bergolak.
Aktiviti sambutan bermula dengan takbir raya seawal pukul 6 pagidiikuti dengan solat sunat Aidiladha di Masjid Al Mujahadah, Kem Tibnin.
Seterusnya para anggota bergotong-royong melaksanakan ibadah korban yang disumbangkan sebahagiannya oleh anggota Malbatt 4.
Sebanyak 74 ekor kambing telah disumbangkan untuk ibadat korban termasuk 11 ekor untuk ibadah Aqiqah.
Sebanyak 150 bahagian daripada daging korban tersebut telah diserahkan kepada fakir miskin dan penduduk sekitar bandar Tibnin, Harrees dan Barashit.
Walaupun ramai anggota yang berkumpul untuk menyambut Aidiladha, namun terdapat anggota yang terpaksa bertugas dan meneruskan rondaan 24 jam dalam kawasan tanggungjawab Malbatt.
Bagi Komander Malbatt 4, Kolonel Badrul Hisham Muhammad, sambutan perayaan seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan.
Tambah beliau, aktiviti seperti itu mampu memupuk semangat muhibah dan harmoni di kalangan anggota,
"Malah ia merupakan satu kegiatan yang dapat mengubat kerinduan kepada keluarga masing-masing yang berada jauh di Malaysia," katanya.
Sementara Timbalan Komander Malbatt 4, Lt. Kol. E.D. Mustafa Bakar berkata, majlis sambutan perayaan yang dilaksanakan seperti itu akan diteruskan bagi semua perayaan bagi agama lain.
"Ia merupakan satu kaedah yang dapat merapat dan memperkukuhkan hubungan di kalangan warga Malbatt 4," katanya.
Bagi Ketua Kompeni B, Mejar Sagiman Azis, itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan seorang anggota tentera.
Tambah beliau, sebagai seorang tentera, mereka kena sanggup berkhidmat dan berkorban bagi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan serta sanggup meninggalkan keluarga yang tersayang bagi mengharungi cabaran yang diamanahkan.
Bagi Pegawai Waran 2 Kandan Saminathan, sambutan itu membolehkan beliau berkongsi rasa kemeriahan Aidiladha bersama rakan-rakan yang lain.
Sambutan Aidiladha Malbatt 4 telah diakhiri dengan majlis makan tengahari di Rubbhall, Kem Tibnin yang turut dihadiri oleh pembesar dan penduduk sekitar bandar Tibnin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: