Sunday, November 13, 2011

Dating dengan mesin?

BIASANYA jika kita kenal seseorang tak kiralah sama ada rakan sekolah, kawan semasa kecil atau jiran tetangga, tentu kita sayangkan mereka, kita berusaha menjaga hatinya supaya persahabatan terus kekal hingga ke akhir hayat. Tetapi apa tindakan anda jika dapat tahu bahawa teman baik atau lebih teruk lagi suaminya mengkhianati mereka. Apa tindakan anda?

"Inilah masalah besar yang saya hadapi, dah lama saya bercadang untuk menceritakan apa yang saya lihat tentang kelakuan sebenar suami sahabat saya ini, Salmi namanya. Tetapi malangnya setiap kali saya berhadapan dengannya lidah saya jadi kelu, kerana saya terlalu kesian dengannya." Itu cerita Noramira dalam e-melnya.

"Saya dah lama berjiran dengan Salmi. Suami saya Amin pun berkawan rapat dengan Deen, suami Salmi. Saya sebaya dengan Salmi berusia lewat 30-an tahun sementara suami saya berusia 40-an, anak Salmi tiga orang yang tua dah tingkatan lima sebab dia kahwin muda.

"Pada mata kasar Salmi seorang isteri yang cukup sempurna. Dia bukan sahaja cantik, tetapi baik hati, lemah lembut, berbudi bahasa, penyabar dan mudah dibuat kawan serta tak banyak cerita. Pendek kata dia memang terbaik. Pasal bentuk badan pun memang terjaga, tidak gemuk, tidak kurus, tetapi berisi, kulit kuning langsat.

"Lebih istimewa lagi Salmi tak suka berbual pasal orang lain. Sebab dia sentiasa sibuk menguruskan anak dan waktunya pun kerja mengikut shif. Jadi kalau balik pagi dia sering tidur dahulu, jadi mana ada masa nak berbual panjang.

"Salmi kerja di hospital sementara suaminya sebagai penyelia di kilang. Oleh kerana kerja mengikut shif, maka mereka sentiasa sibuk dengan hal masing masing. Ada ketikanya Salmi kerja malam, Deen bercuti, namun Salmi akan pastikan salah seorang ada di rumah pada waktu malam untuk menjaga anak-anak. Bila tak dapat elak, barulah Salmi meminta bantuan saya.

"Namun lebih teruk lagi tugas mengurus anak dan rumahtangga terletak kepada Salmi, dia perlu memasak, berkemas rumah dan mencuci pakaian. Sementara Deen lebih banyak menguruskan dirinya sendiri, tambahan kalau tak bekerja, dia akan menghabiskan masanya di luar atau berlingkar tidur. Dia langsung tak pedulikan keselamatan anak-anaknya yang tinggal di rumah ketika isterinya bekerja. Ada kalanya dia balik rumah pukul dua pagi, pandai-pandai anak-anaklah nak makan, belajar atau sebagainya.

"Satu lagi keistimewaan Salmi, dia pandai memasak, kalau hari dia tak bekerja dia akan memasak pelbagai masakan. Dan sayalah orang pertama yang akan merasa masakannya. Memang saya puji, dia pun sering mengambil tempahan memasak kalau ada kawan-kawan yang menempah, tapi secara kecil-kecilan kerana kesibukan tugasnya. Pendek kata dia pandai cari duit tambahan.

Risiko

"Nak jadikan cerita saya ternampak Deen pergi shopping dengan wanita lain. Mulanya saya nak sergah Deen. Tetapi setelah memikirkan risikonya, saya elak dan ikut mereka. Tepat mereka bukan kawan makan sepejabat, dan saya bercadang beritahu pada Salmi supaya dia berhati-hati atau mengingatkan Deen.

"Malangnya Salmi bukan orang yang mudah percaya cerita orang lain. Mulutnya sentiasa memuji kebaikan Deen.

"Sebenarnya bukan saya saja ternampak Deen dengan kekasihnya. Amin pun tahu, jiran sebelah menyebelah pun sama, tapi tak ada siapa yang sanggup nak beritahu pada Salmi.

"Baru-baru ini saya nampak lagi. Kini sudah tiga kali saya nampak Deen berjalan dengan wanita yang sama. Ini yang membuatkan saya sedih, sebab tak boleh beritahu pada Salmi. Tapi kalau saya biarkan mungkin hubungan mereka jadi lebih serius dan apa akan jadi kalau Salmi dimadukan satu hari nanti. Ini bukan mustahil. Sebab dari gaya percakapan, gaya berjalan jelas ternampak hubungan mereka begitu serius.

"Akhir-akhir ini pun kami dah tak nampak Deen menyapu di halaman rumah. Hinggakan ada ketikanya mereka sama-sama cuti dan sepatutnya Deen ada di rumah, tetapi Deen beritahu dia ada kerja. Itu yang Salmi beritahu. Kata Salmi dia kesian tengok Deen terpaksa pergi kerja, mesin rosaklah, dan macam-macam lagi alasannya.

"Saya yang mendengar dan tahu siapa Deen sebenarnya jadi terlalu simpati pada Salmi dan tak pasal-pasal saya jadi benci yang teramat pada Deen kaki pembohong.

"Saya pernah berbincang dan minta supaya Amin nasihatkan Deen, kesiankan anak-anak dan isterinya yang baik itu. Tapi Amin tak mahu masuk campur urusan orang lain. Katanya, sampai masanya tentu ada jalan untuk mengatasi masalah tersebut. Dan Amin juga melarang saya bercerita pada Salmi.

"Kata Amin jika tersalah langkah mereka akan salahkan saya pula. Dan dia tak mahu lihat hubungan kami jiran tetangga jadi rosak kerana campur tangan saya dalam urusan keluarga orang lain.

"Tegahan Amin inilah membuatkan saya sering menangis tengah malam kerana kesiankan Salmi. Kerana saya punya pandangan berbeza, saya takut Salmi marahkan saya sebab tak mahu memberitahu kelakuan Deen lebih awal yang mana mungkin dia boleh atasi sebelum keadaan menjadi lebih serius.

"Masalah inilah membuatkan saya jadi serba salah, saya tak tahu yang mana satu saya perlu ikut. Semakin saya fikirkan perasaan saya jadi lebih sedih dan amat kesian pada Salmi." Itu cerita Noramira panjang lebar tentang jirannya. Keadaannya seperti perumpamaan Melayu hendak ditelan mati emak, diluahkan mati bapa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: