Sunday, November 13, 2011

Harapan pesakit ritma jantung abnormal


Hamidun bersama anaknya Hazlinda, 40 dan Muhammad Rizaldean, 36.


Pernah menghidap batuk kering ketika usia mudanya, Hamidun Abdul Hamid, 74 tidak pernah terfikir untuk berhenti merokok.

Sehinggalah beliau disahkan sakit jantung kira-kira 15 tahun dahulu, doktor menyarankan dia berhenti merokok.

"Dahulu saya boleh menghabiskan dua kotak rokok (50 batang) sehari. Saya juga tidak ada pantang dan makanan yang paling saya suka ialah sup ekor (bahagian lemak). Semuanya berubah apabila saya disahkan sakit jantung dan tiga tahun kemudian menghidap ritma jantung abnormal atau fabrilasi atrial.

''Saya segera berhenti merokok dan menjaga pemakanan," ujarnya di sidang media penyakit ritma jantung abnormal (AF) anjuran Bayer HealthCare Malaysia baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman sebagai penghidap AF, Hamidun terpaksa terpaksa bergantung kepada ubat, warfarin.

Sebelum disahkan menghidap AF pada 2003, Hamidun tidak mengalami apa-apa simptom.

"Saya kecewa apabila doktor memberitahu bahawa saya mempunyai risiko tinggi diserang strok disebabkan AF.

"Kemudian saya telah diberi warfarin. Namun saya perlu kerap menjalani ujian darah dan doktor perlu menyesuaikan ubat saya untuk mengelak darah menjadi terlalu cair serta risiko pendarahan.

"Saya juga perlu berhati-hati dengan pemakanan kerana warfarin bertindak balas dengan banyak jenis makanan dan ubat-ubatan yang saya ambil sekarang. Ini amat menyusahkan, terutamanya ketika Ramadan," ujarnya.

Keresahan tersebut menyebabkan Hamidun menanti hari dia boleh mendapat perlindungan daripada strok tetapi tidak perlu lagi ke hospital dengan kerap untuk memantau rawatannya.

Dia juga teringin untuk menikmati sup bayam kegemarannya serta sayuran hijau lain, yang tidak boleh dinikmati sejak menjalani rawatan dengan warfarin.

"Lama-kelamaan saya sudah biasa. Saya cuba berfikiran positif. Untuk menjadi sihat atau mengelak penyakit, ubat bukan penyelesaian segalanya. Prinsip yang saya amalkan, tidak perlu risau dan stres. Itulah penawar saya," ujarnya ketika ditanya petua dia kelihatan awet muda.

Berhati-hati

Pengalaman yang sama turut dirasai Patrick Tee, 79, yang bergantung kepada warfarin sejak 2006. Ketika pemeriksaan rutin pada jantungnya, Patrick memberitahu doktor bahawa dia merasakan denyutan jantungnya tidak tetap.

"Apabila doktor mengesahkan saya menghidap AF dan memberitahu saya harus mengambil warfarin disebabkan darah terlalu pekat, saya bertanya berapa lama saya perlu mengambil ubat ini.

''Saya terkejut apabila diberitahu ubat itu perlu diambil seumur hidup kerana saya juga memerlukannya untuk perlindungan terhadap risiko strok atau serangan jantung.

''Saya juga berhati-hati dengan pemakanan dan terutamanya mengelakkan kebanyakan sayuran hijau kerana ia menjejaskan keberkesanan warfarin," ujarnya.

Dalam pada itu, Patrick perlu mengambil ujian darah setiap tiga minggu. Demi mengelak jangka masa menunggu yang lama, Patrick berusaha menjadi antara pesakit yang pertama dalam barisan.

Ini bermakna dia akan bertolak ke hospital daripada rumahnya seawal 5.30 pagi dengan menaiki bas. Dia juga menantikan hari di mana dia tidak perlu pergi ke hospital dengan kerap dan masih mendapatkan perlindungan risiko strok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: