Tuesday, November 15, 2011

Buku Dan Logo Ubah Nasib Peniaga Buah

ADNAN LEE

SECARA ringkasnya, pemuda anak penjual buah ini mencipta kejayaannya hanya dari sebuah buku.

Ringkas judulnya, iaitu Matlamat Hidup Kita, namun perjalanan yang perlu dilaluinya tidaklah semudah dan seringkas menyebut judul buku yang menjadi inspirasinya untuk berjaya itu.

Sejak kecil, dia sudah memekik-mekik di pasar memanggil pelanggan supaya singgah di gerainya.

Di pasar malam, dia mungkin salah seorang budak yang sering kita lihat membantu si bapa menolak gerai kereta sorong buah-buahan.

Dan, ketika semangatnya untuk berjaya dalam bisnes berkobar-kobar kala meningkat dewasa, masalah dan dugaan pula menghampirinya.

Namun, pengalaman dan inspirasinya itulah yang telah ‘memandu’ dirinya keluar dari perniagaan buah-buahan secara kecil-kecilan yang diasaskan mendiang datuknya sejak era 60-an dulu.

“Masa umur saya 19 tahun, bapa beri tanggungjawab menguruskan gerai buah-buahan saya sendiri. Pengalaman membantu mereka masa kecil membuatkan saya langsung tak rasa kekok untuk berniaga,” kata Pengarah Urusan MBG Fruits Sdn Bhd, Adnan Lee Abdullah kepada Mingguan mStar.

Mengimbas zaman silamnya, kejayaan yang dicipta pemuda berusia 36 tahun ini agak berbeza dengan kejayaan usahawan ternama lain yang juga melakar kejayaan dari bawah.

Di sebalik kesibukan di gerai, penggemar anggur dan mangga ini masih sempat mencuri masa mencipta logo untuk gerai kereta sorong pertamanya di Pasar Bukit Bintang yang bermaksud ‘Money Back Guarantee’.

“Biasanya hanya syarikat besar sahaja yang ada logo. Tapi saya, dengan rasa tak malu telah menggantung logo itu di gerai yang selama ini tak pernah ada logo dan nama.

“Saya buat begitu kerana saya telah menetapkan matlamat untuk mempunyai lebih daripada satu outlet sebelum umur saya 25 tahun,” katanya yang memilih MBG kerana mahu membina hubungan dengan pelanggan.

Gerai buah dalam pasar raya

Adnan berjaya menjadikan perniagaannya sebagai perintis kepada outlet buah-buahan dalam pasar raya.

Tawaran membuka outlet buah-buahan di pasaraya Avenue-K, Jalan Ampang, oleh seorang kenalan pada 2004 disambut baik Adnan.

“Memang saya gembira, tapi pada masa yang sama saya ambil risiko kerana itulah outlet pertama saya di pasar raya. Sewanya berkali ganda mahal berbanding kedai buah saya di Selayang pada masa itu,” katanya.

Akhirnya, dia terpaksa menanggung kerugian pada enam bulan pertama membuka perniagaan.

“Strategi memekik panggil pelanggan seperti di pasar nyata tak berkesan dalam pasar raya. Hanya selepas enam bulan barulah saya dapat ‘bernafas’, tak untung tapi tak rugi,” ujarnya yang pada ketika itu bergantung rezeki dengan gerai buah di Selayang dan Pasar Bukit Bintang.

Berani menanggung risiko, setahun kemudian Adnan membuka sebuah lagi outlet di KL Sentral.

Di situ, dia mula menunjukkan kematangan dalam perniagaan dengan memperkenalkan jus buah-buahan, buah-buahan potong dan rojak buah.

Kini, Adnan bukan sahaja bergelar perintis gerai buah-buahan dengan 20 outletnya di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, tetapi juga berjaya membuka tiga outlet yang sama di luar negara.

“Menjelang 2016, saya mensasarkan menambah outlet termasuklah di Indonesia dan Asia Barat,” ucapnya optimis.

Tak sanggup hilang pelanggan

Suasana outlet yang bersih, luas dan bersistematik telah mengubah memberi 'wajah' baru terhadap gerai buah-buahan yang sebelum ini sering dikaitkan dengan gerai kecil.

Berbicara tentang kejayaannya, Adnan percaya logo dan jaminan pulangan wang kepada pelanggan banyak membantu melonjakkan perniagaannya.

Jelasnya, dalam sehari dia menerima kira-kita 10,000 transaksi pelanggan dan menerima secara purata satu komen dalam seminggu daripada pelanggan yang tidak puas hati dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Komen pelanggan adalah peluang untuk kita semakin maju.

“Saya sangat menghargai pelanggan, terutama pelanggan yang sanggup meluangkan masa berpatah balik atau menghubungi saya untuk memberi komen membina,” tegasnya yang sanggup membayar ganti rugi berbanding kehilangan pelanggan.

Sehingga kini, kira-kira 250 jenis buah-buahan tempatan dan import ditawarkan di sini.

Berdasarkan pengalaman, buah-buahan import yang menjadi kegemaran pelanggannya ialah buah ceri.

Tidak hairanlah dia perlu mengimport tidak kurang daripada 10,000 kilogram buah ceri setiap tahun bagi memenuhi permintaan ini.

Harga patut

Jus buah-buahan merupakan salah satu produk jenama ini yang digemari ramai.

Selain komen pelanggan, pada masa yang sama Adnan juga sentiasa memastikan produk dan perkhidmatannya berkualiti.

Apatah lagi bidang perniagaan yang diceburinya berkait rapat dengan alam semulajadi.

“Perniagaan ini terdedah dengan kesilapan semulajadi. Saya perlu mendapatkan buah dari pekebun terbaik untuk dijual kepada pelanggan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Adnan tetap menawarkan harga berpatutan walau buah-buahan di outletnya segar, berkualiti dan dijual secara komersial.

Tidak hanya menjual buah-buahan tempatan, dia juga mengimport buah-buahan dari California, Amerika Syarikat, New Zealand, India, China, Thailand dan negara-negara lain pengeksport buah di seluruh dunia.

Segar dan ‘evergreen’

Pembungkusan dan suhu yang sesuai penting bagi memastikan buah tidak cepat rosak.

Perubahan zaman dan kesedaran masyarakat tentang khasiat buah-buahan menyebabkan Adnan yakin perniagaannya mampu bertahan.

“Zaman datuk saya dulu semua orang anggap penting untuk makan nasi. Zaman sekarang situasi sudah terbalik,” katanya.

Justeru, dia menganggap perniagaan buah-buahan bukan sahaja sebagai perniagaan segar, tetapi juga bersifat ‘evergreen’.

“Bila permintaan pelanggan semakin tinggi, persaingan juga semakin banyak.

“Jika kita jujur berniaga, saya yakin pelanggan akan setia,” katanya yang turut menawarkan perkhidmatan penghantaran buah-buahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: