Friday, February 4, 2011

Wanita pengusaha batu nisan


Army Karmila turut terbabit dalam kerja-kerja mengukir nama pada batu nisan.


KUBUR, nisan dan kematian memang tidak dapat dipisahkan. Apabila ada kematian maka kubur diperlukan. Nisan pula adalah tanda ingatan kepada mereka yang telah pergi meninggalkan kita.

Nisan yang digunakan pula terdapat dalam pelbagai bentuk dan rupa bergantung kepada kemampuan waris si mati.

Walaupun ia membabitkan budaya dan adat orang Melayu yang beragama Islam, ironinya perniagaan batu nisan di negara ini sebenarnya dikuasai kaum Cina.

Ini sama seperti perniagaan dan perusahaan yang membabitkan budaya Melayu yang lain yang mana kaum Cina lebih menguasainya.

Namun, kini kesedaran semakin timbul di kalangan pengusaha Melayu untuk menceburkan diri dalam perniagaan membekalkan batu nisan.

Lebih membanggakan, kaum Hawa turut sedia menyahut cabaran melibatkan diri dalam perniagaan membabitkan kematian itu.

Army Karmila Zakaria, 28, merupakan antara yang berjaya memecah tradisi dengan membuktikan golongan Hawa berani mengusahakan perniagaan batu nisan.

Berpeluang bertemu dengan pengusaha muda batu nisan itu di Kendong Kraf yang terletak di Lot 29, Jalan Besar Selayang Baru, Batu Caves, Gombak, Selangor, baru-baru ini membuktikan perniagaan tersebut mula mendapat perhatian di kalangan orang Melayu.

Walaupun dilabelkan sebagai peniagaan yang 'mengharapkan kematian bagi membolehkan terus mendapat rezeki', namun pada dasarnya ia merupakan satu cabang perniagaan yang diharuskan dalam Islam.

Siapa sangka, perniagaan yang diusahakan secara bersama dengan adik beradiknya sejak 2007 kini mendapat permintaan dari seluruh semenanjung.

Tidak cukup dengan itu, hasil kerja yang diwarisi daripada arwah bapanya, Zakaria Ali turut dibeli oleh golongan orang-orang kenamaan.

Menurut Army Karmila, pelanggan hari ini bukan sahaja mahukan kepelbagaian dan aneka pilihan malah mereka juga inginkan yang berkualiti dan cantik.

''Di Kendong Kraf, saya menyediakan pelbagai jenis saiz, batu dan corak batu nisan. Pelanggan hanya perlu membuat pilihan mana satu yang mereka suka.

''Kebanyakan batu nisan yang dihasilkan di sini diperbuat daripada beberapa jenis batu seperti marmar dan granit. Malah ada juga batu nisan yang menggunakan batu kapur dengan campuran simen yang dikenali sebagai terazo.

''Kami menjalankan perniagaan dari A hingga Z. Kami bukan sahaja menawarkan perkhidmatan membuat batu nisan, kami turut memasangnya (pembinaan pusara),'' jelasnya.

Ujar anak sulung daripada empat beradik itu lagi, untuk batu nisan, bengkelnya menawarkan pelbagai jenis corak dan bentuk sama ada berbentuk bulat, leper, kecil ataupun besar.

Ia dijual pada harga serendah RM1,000 dan paling tinggi ada yang mencecah sehingga RM10,000.

Katanya, apa yang menjadikan produk keluarannya unik dan istimewa ialah, selain setiap bentuk dibezakan dengan corak tulisan dan warna, Kendong Kraf turut menggunakan teknik tujahan pasir pada setiap ukiran.

Selain itu, Army Karmila turut menjalankan perniagaannya secara dalam talian di www.kendongkraf.com.

Ia bukan sekadar menjual batu nisan, tetapi turut menawarkan ukiran serta hiasan dinding berasaskan kaca.

Army Karmila yang merupakan pemegang Ijazah Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berkata, apa yang dipelajarinya tidak sia-sia apabila dia berjaya mempraktikkannya dalam perniagaannya hari ini.

Tambah anak jati Selayang Baru itu, tempoh untuk menyiapkan sesebuah batu nisan bergantung kepada corak dan saiz yang dipilih.

Bagaimanapun katanya, tumpuan utama diberikan ketika proses mengukir nama dan butiran mengenai 'pemilik' batu nisan tersebut bagi mengelak kesilapan.

Army Karmila memberitahu, walaupun segala kerja dilakukan dengan teliti, tetapi sebagai seorang manusia, dia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan.

''Sekiranya kesilapan daripada pihak kami, kami akan menggantikannya semula. Tetapi sekiranya kesilapan itu datangnya daripada pelanggan, mereka yang harus menanggung kos membuatnya semula," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: