Friday, February 4, 2011

Kempen membaca dalam tren


Orang ramai mengambil kesempatan membaca bahan-bahan bacaan yang disediakan dalam kereta api.


STATISTIK menunjukkan purata rakyat Malaysia yang membaca hanya pada kadar dua naskah buku setahun. Cuba kita bayangkan, akan tercapaikah gagasan untuk menjadi negara maju jika tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia masih rendah?

Perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana membaca ada kaitan dengan budaya ilmu. Masyarakat yang malas membaca bermakna masyarakat yang tidak berilmu.

Menyedari minat membaca di kalangan rakyat Malaysia yang masih rendah, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah melancarkan program membaca 1Malaysia bertemakan Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan siri kedua bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Ia yang merupakan kesinambungan daripada program pertama yang diadakan pada 2009, merupakan inisiatif daripada PNM untuk menanam budaya membaca di mana sahaja terutama kepada penumpang kereta api bagi mengisi masa mereka yang terluang ketika dalam perjalanan ke sesuatu destinasi.

Program itu juga bertujuan memberi peluang kepada pengguna keretapi mendapatkan pengetahuan melalui bahan bacaan yang disediakan di samping meningkatkan kesedaran membaca .

Pelancaran siri kedua itu adalah untuk menyediakan bank buku kepada orang ramai yang ingin menderma buku.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’cruz berkata, ia merupakan satu langkah proaktif bagi memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.

“Kita tidak mahu melihat rakyat Malaysia menjadi seperti belia di sesetengah negara Eropah yang hanya membaca secara online, kerana sebahagian bahan bacaan dalam internet banyak menggunakan perkataan singkatan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, bank buku yang dilancarkan di Ipoh itu akan turut dilancarkan di dua negeri lagi menjelang pertengahan Mei tahun ini.

“Pada pertengahan Mei ini , dua lagi bank buku akan dilancarkan di Butterworth. Pulau Pinang dan Johor Bahru,” katanya.

Jelasnya, legasi pembacaan itu akan diteruskan pada semua peringkat umur dan masyarakat.

“Pelbagai jenis buku dan bahan bacaan ini akan disediakan kepada semua peringkat umur kanak-kanak, remaja mahupun dewasa termasuk juga bacaan umum,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar menjelaskan, program membaca 1Malaysia ini juga platform terbaik untuk memupuk semangat dan minat membaca kepada semua golongan.

Menurutnya, buku-buku yang akan menjadi bacaan orang ramai ketika di dalam kereta api akan dibekalkan oleh PNM dan beberapa syarikat penerbitan lain seperti Kumpulan Karangkraf, Galeri Ilmu dan Reader’s Digest.

Bagaimanapun, beliau menyarankan orang ramai yang ingin menderma buku-buku mereka kini boleh menggunakan bank buku yang baru dilancarkan.

“Bank buku yang dilancarkan ini memudahkan orang ramai untuk menderma buku terpakai atau baru kepada bank ini agar buku-buku tersebut dapat dijadikan bahan bacaan di dalam kereta api,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Keretapi Tanah Melayu Antarabandar, Mohd. Zain Mat Taha,menjelaskan bahawa hampir 10,000 naskah buku dibekalkan setahun untuk menjadi bahan bacaan umum.

“Orang ramai yang ingin menyumbangkan buku mereka kepada KTM, boleh memasukkan buku-buku berkenaan di dalam Bank Buku yang telah disediakan,” katanya.

Jelasnya lagi, buku-buku yang disumbangkan itu akan ditapis terlebih dahulu sebelum diberikan kepada KTM untuk diletakkan dalam keretapi.

Seterusnya, Maglin berharap semoga kesemua enam gerabak KTMB akan berjaya dipenuhi dengan bahan bacaan di masa akan datang.

Semoga inisiatif itu mendapat sambutan baik oleh semua pihak, seterusnya dapat membudayakan tabiat membaca di kalangan masyarakat walau dimana sahaja berada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: