Friday, February 4, 2011

Rekaan mewah Tahun Baru Cina


Cheongsam biru daripada renda Perancis nampak elegan dan seksi.


KEMERIAHAN Tahun Baru Cina semakin terasa dan sebagaimana dengan setiap sambutan perayaan, pakaian baru pastinya menjadi tarikan utama.

Bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina kali ini, Shanghai Tang menyajikan pelbagai rekaan eksklusif berkolaborasikan moden dan tradisional untuk digayakan pada hari tersebut.

Gabungan kedua-dua elemen ini menjadikan setiap satu rekaan nampak mewah seiring dengan jenama yang berasal dari Tanah Besar China itu.

Gaun-gaun moden diserasikan dengan begitu terperinci dengan elemen-elemen cheongsam atau qiapo, dua pakaian tradisional kebanggan wanita Cina sejak berkurun lamanya.

Lebih menyerlah dengan penggunaan fabrik mewah dan selesa dipakai.

Bertemu dengan Pengurus Tukang Jahit Imperial Tailoring Shanghai Tang, Sam Roseman semasa kunjungannya ke Malaysia baru-baru ini, beliau sempat berkongsi keunikan dan keistimewaan rekaan-rekaan Shanghai Tang.

Sam yang memikul tugas sebagai Tukang Jahit Imperial jenama tersebut sejak 2009 berkata, uniknya setiap helai pakaian dijahit dan direka mengikut keperibadian pelanggan.

Setiap pelanggan akan dilayan secara berasingan dan yang pasti apa jua kehendak mereka akan cuba dipenuhi.

Ulas beliau lagi, selain menggunakan jenis fabrik yang bermutu tinggi seperti kain renda Perancis, kain renda Sepanyol, broked Sepanyol, broked Perancis, sifon dan sutera dalam setiap rekaannya, dia turut meminjam elemen-elemen tradisional wanita Shanghai untuk mengekalkan keunikan baju-baju tersebut.

Selain itu, pemilihan warna merah masih lagi diberikan keutamaan kerana orang Cina menyukai warna tersebut.

Tetapi pada masa sama Roseman turut memberi kelainan dalam rekaannya dengan menampilkan warna-warna ceria seperti putih, hitam, merah jambu, ungu dan biru.

''Dalam setiap rekaan, kami akan cuba menampilkan kelainan dari segi fabrik yang digunakan selain menggabungkan rekaan-rekaan moden dari Timur dan Barat.

''Elemen-elemen tradisionalnya masih lagi dikekalkan. Bagaimanapun, rekaan yang dihasilkan kali ini boleh dipakai di mana-mana jua majlis rasmi dan ia juga sesuai bagi remaja-remaja,'' katanya.

Hari ini, butik Shanghai Tang terdapat di seluruh dunia termasuk Shanghai, New York, Paris, London, Hong Kong, Singapura dan Malaysia.

Kehadirannya ke Malaysia pastinya dinantikan-nantikan kerana menurut graduan dari Universiti New South Wales, Australia, itu, kunjungannya ke Malaysia hanya dua kali setahun.

Sam yang telah bermastautin selama tiga setengah tahun di Hong Kong berkata untuk menyiapkan satu-satu rekaan, dia memerlukan sekurang-kurangnya antara sebulan hingga tiga bulan.

''Yang pasti, saya akan menyiapkan dahulu contohnya. Sekiranya pelanggan suka dengan rekaan tersebut, saya akan teruskan. Jika sebaliknya, saya akan membuatnya semula,'' tambahnya.

Harga minimum yang pernah ditempah oleh pelanggannya sekitar RM5,000 dan pernah juga rekaannya mencecah sehingga RM20,000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: