Monday, February 14, 2011

Suntik lagi ke?




BINTANG yang baru bersinar, Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir dikatakan baru memperbaharui suntikan kolagen buat kali kedua di luar negara baru-baru ini.

Kesempatan bercuti di luar negara digunakan sepenuhnya untuk merawat mukanya itu agar lebih tirus dan menawan. Benarkah sebegitu? Sekali gus menguatkan lagi gosip mengatakan wanita berusia 18 tahun pernah membuat suntikan di muka. Biarpun bintang filem Karak itu berulang kali menafikan amalan tersebut tapi entah mengapa dia masih tetap dikaitkan ya!

Kekesalan Kilafairy bertambah apabila ada pihak sengaja menyamakan amalan tersebut dengan ibunya, Rohana Jalil. Walaupun sebelum ini, penyanyi Rayuanku itu menafikan dan wajahnya berubah disebabkan teknik solekan.

Justifikasi tersebut menyebabkan Kilafairy turut mendapat tempias yang sama. Buat kali terakhir, Kilafairy yang selesa membahasakan dirinya sebagai Kila itu menjelaskan isu suntikan kepada wartawan Pancaindera, Amirah Amaly Syafaat. Harapannya, lepas ini tiada persoalan sama dibangkit sebab dia sudah bersedia untuk mengunci mulut serapat-rapatnya.

Betul ke Kila ke luar negara?

Betul, Kila baru saja pulang bercuti bersama Mama dan kakak, Shakira Idora selama dua minggu di Eropah. Kami ke London, Paris, Liverpool dan Manchester.

Kila tahu tak orang bercerita Kila ke sana sebab nak memperbaharui suntikan kolegan Kila? Betul ke?

Ish.. mana ada... Pandai-

pandai aja cakap macam itu. Sebenarnya Kila dah malas nak ulas cerita macam ini. Kecewa pun sebab isu bibir masih disensasikan sampai ke hari ini.

Semacam je nada Kila?

Betullah sebab orang sekarang suka sangat cari kekurangan manusia lain. Apa lagi yang mereka nak Kila buktikan? Memang bibir Kila asli. Adik beradik Kila yang lain pun ada bibir macam Kila ada. Cuma mereka tak terdedah dengan media macam Kila.

Maknanya, Kila tak ubah apa-apa?

Sebenarnya, perubahan muka Kila berlaku selepas pakai pendakap gigi. Kesannya buat bentuk muka kita jadi lebih tajam. Begitu juga dengan kening Kila yang dahulunya bersambung dan tebal dinipiskan sedikit. Bila dah meningkat dewasa ni berat badan Kila pun menurun menyebabkan pipi Kila cengkung berbanding dulu.

Selain itu, ada guna teknik lain?

Muka Kila memang selalu senang berubah kalau disolek. Soleklah senipis mana pun tetap akan nampak tebal dan wajah Kila akan berubah, nak-nak lepas pakai pemerah pipi dan gincu. Sebab tu, Kila kecewa bila orang cakap muka Kila keras macam jantan. Padahal, semua itu anugerah Tuhan. Kila masih muda lagi, buat apa nak ubah-ubah ini.

Macam mana cerita suntik menyuntik ni boleh timbul?

Dulu kan heboh isu Mama pakai botox walaupun banyak kali Mama nafikan. Tup tap, bila Kila jadi artis, Kila pun dikaitkan guna formula sama dengan Mama. Terus terang Kila tak selesa. Biarpun ada orang cakap, kalau nak cepat dikenali dalam industri perlu ada kontroversi. Tapi bab botox memang salah sepenuhnya. Minta maaflah kalau rupa paras Kila tak memenuhi kriteria yang peminat nak. Kila tak boleh buat apa, dah dikurniakan macam ini. Kila tak minta pun rupa paras atau bentuk badan macam ini.

Betul ke Kila suka tonggek bila berjalan, kononnya nak seksi?

Hah, itu satu lagi dakwaan entah apa-apa. Mana ada Kila jalan tonggek. Biasa ajalah macam orang lain berjalan. Kila hairanlah kenapa orang asyik bercakap pasal badan Kila.

Betul ke Mama Kila yang ajar Kila cara berjalan macam itu kat tempat awam?

Ishhh..mana ada. Mama cuma mengajar Kila teknik menyanyi dan mana-mana pengajaran asas untuk seorang perempuan saja. Mana ada benda yang bukan-bukan ni. Sekali lagi Kila ulang, semua perubahan yang ada berlaku secara semula jadi.

Gosip dengan Yusry KRU? Betul ke tak?

Jawapannya tak. Kami kawan saja tak lebih dari itu. Berkenalan sebab dia adalah pengarah filem Karak, sementara Kila pelakonnya. Itu saja. Titik.

Habis itu, siapa kekasih Kila sekarang?

Kila tak ada teman lelaki. Dari zaman sekolah menengah sampai sekarang. Ada orang cakap Kila jual mahal. Tapi memang Kila tak suka dan tak bersedia nak ada kekasih. Kalau dah jumpa, lain cerita pula. Bahagian itu, Kila tak mahu ulas panjang.

Jadi Kila menyesal ke jadi artis bila timbul banyak gosip?

Sama sekali tidak. Mama pesan, apa yang Kila hadapi ini adalah adalah bahagian awal cubaan. Ada lagi yang besar menanti di kemudian hari. Kila cuba bertahan dan berharap lepas ini, tak ada cerita Kila yang bukan-bukan keluar di media.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: