Sunday, February 6, 2011

UTM, Mahasarakham meterai MoU


Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang (kanan) dan Prof. Dr. Supachai Samppito bertukar dokumen selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Mahasarakham dan UTM di Skudai, Johor Bahru kelmarin.


JOHOR BAHRU 1 Feb. – Universiti Mahasarakham, Thailand akan menghantar 10 penuntutnya untuk mengikuti program pertukaran pelajar di peringkat sarjana muda di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selama lima tahun mulai tahun ini.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Zaini Ujang berkata, langkah universiti berkenaan menghantar mahasiswanya ke sini merupakan satu pengiktirafan terhadap pencapaian UTM di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, UTM juga bercadang untuk menghantar penuntut menerusi program Global Outreach ke universiti berkenaan bagi menimba pengalaman pendidikan di peringkat antarabangsa.

“Program pertukaran pelajar adalah penting bagi pusat pengajian tinggi di seluruh dunia untuk memberikan pengalaman antarabangsa kepada mahasiswanya serta menyediakan graduan berfikiran global.

“Sejak tiga tahun lalu, Universiti Mahasarakham telah menghantar seramai 20 pelajarnya setiap tahun bagi mengikuti program khas dalam bidang perancangan bandar dan wilayah di UTM di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Sayed Zainal Abidin Syed Abdullah Idid,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan Universiti Mahasarakham di sini semalam.

Zaini menandatangani MoU itu bagi pihak UTM, manakala Universiti Mahasarakham diwakili oleh Presidennya, Prof. Madya Dr. Supachai Samappito.

Menerusi perjanjian berkenaan, kata Zaini, pelajar dari Universiti Mahasarakham bakal mengikuti pengajian selama dua semeter dan berpeluang melanjutkan pengajian di universiti ini sehingga dua tahun.

Dalam perkembangan lain, selaras dengan program transformasi ekonomi (ETP), UTM menubuhkan sebuah fakulti baru iaitu Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Kejuruteraan Diperbaharui (PFREE) merangkumi dua jabatan iaitu Jabatan Kejuruteraan Petroleum dan jabatan Kejuruteraan Gas Proses.

Menurut Zaini, sebelum penubuhan PFREE, kedua-dua jabatan tersebut berada di bawah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli (FKKKSA) yang dijenama semula kepada Fakulti Kejuruteraan Kimia.

“Sebuah lagi fakulti yang diberi nama baru ialah Fakulti Kejuruteraan Geoinformasi dan Harta Tanah yang dahulu dikenali sebagai Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi.

“Penubuhan dan penjenamaan semula fakulti berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi berkuatkuasa Januari lalu.

“Penukaran nama Fakulti Kejuruteraan Geoinformasi dan Harta Tanah adalah mengambil kira perkembangan terkini dalam bidang geomatik, sistem maklumat geografi (GIS), pengesan kawalan jauh, pengurusan harta tanah dan pembangunan tanah,” katanya lagi.

Tambah beliau, bidang berkenaan merujuk kepada dua disiplin ilmu iaitu harta tanah dan geoinformasi iaitu bidang ilmu yang berkaitan dengan pembangunan dan pengurusan maklumat geospatial.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: