Sunday, February 6, 2011

Persatuan mahasiswa OKU bela nasib 321 penuntut IPT


Saifuddin Abdullah menyampaikan beg dan peralatan sekolah kepada pelajar miskin bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Wisma Persekutuan, Temerloh, Pahang, kelmarin.


TEMERLOH 1 Feb. - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menubuhkan persatuan mahasiswa Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi membela nasib 321 penuntut yang kini sedang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini, hanya Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai persatuan mahasiswa OKU.

Menurutnya, golongan berkenaan memerlukan persatuan seumpama itu bagi menjadi medium sokongan kepada mereka sama ada di peringkat dalam atau luar kampus.

''Persatuan yang akan ditubuhkan itu nanti menjadi saluran untuk mereka mengemukakan hak dan mobiliti di persekitaran IPT serta memudahkan mereka berinteraksi dan berkomunikasi antara mahasiswa OKU dengan entiti lain.

''Ia juga menjadi medan perkongsian dan sokongan mahasiswa lain kepada rakan mahasiswa OKU," katanya.

Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan dan peralatan persekolahan '1Azam' Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 90 penduduk dan pelajar miskin kawasan Parlimen Temerloh di sini semalam.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, taraf golongan OKU adalah sama seperti mahasiswa lain yang perlu diberikan pembelaan kerana prestasi mereka dalam pendidikan adalah cemerlang.

Sehingga kini katanya, terdapat 51 penuntut OKU sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), 50 orang di UM, 38 pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan 35 orang di UKM.

Beliau memberitahu, pihaknya akan memberi bantuan sebanyak RM5,000 setahun atau RM20,000 sepanjang tempoh pengajian kepada setiap OKU yang berdaftar dengan JKM.

Saifuddin menambah, OKU yang cacat penglihatan turut diberikan wang tunai bagi memudahkan mereka membeli komputer riba 'braille' dan kemudahan lain yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: