![]() |
| Suen Jewellers boleh dimiliki dengan kesesuaian bajet sendiri. |
BERLIAN selalu dikaitkan sebagai tanda cinta abadi. Maka tidak hairanlah mengapa ada sesetengah individu sanggup mengeluarkan ribuan ringgit semata-mata untuk memilikinya sama ada dari jenama mewah ataupun sekadar jenama biasa.
Setiap reka bentuk dan potongan berlian pula mampu menggambarkan kelas dan status pemilik melalui kualiti produk-produk yang dikeluarkan secara eksklusif untuk menggambarkan keperibadian pemilik itu sendiri.
Malah fenomena fesyen yang dihasilkan dari sebiji berlian turut mempengaruhi gaya rekaan yang bakal menjadi pilihan di hati wanita untuk tahun 2011.
Antara jenama terbaru di negara ini, Suen Jewellers Sdn. Bhd. yang memberikan kelainan terhadap peminat barang kemas berasaskan intan berlian, mutiara, batu permata seperti jed, delima dan nilam.
Setiap rekaan daripada Suen menampilkan reka bentuk yang terkini dengan pemilihan berlian yang pelbagai warna seperti putih, merah jambu, kuning dan lain-lain untuk mewarnai tahun 2011.
Ketika majlis pratonton yang diadakan di Suen Jewellers baru-baru ini menyaksikan pelbagai koleksi berkelipan berasaskan konsep masa sebelum, masa kini dan masa hadapan.
Suen yang terletak di Jalan Maarof itu merupakan evolusi jenama dari The Carat Club.
Oleh itu, kini Suen bakal memenuhi gaya hidup pelanggan dengan konsep kontemporari di ketiga-tiga banglo mewah yang mempamerkan jenama Suen, The Love Diamond serta jenama klasik Lalique and Daum.
Pengasas dan Pengarah Urusannya, Lee Sze Suen berkata, Suen Jewellers bakal memberikan pilihan yang terbaik kepada pelanggan dari segi kualiti potongan, kreativiti dan rekaan terbaru.
“Saya berharap agar Suen Jewellers dapat dikenali sebagai pengeluar barangan kemas terkenal dengan hasil yang luar biasa di Malaysia,” katanya.
Suen berkata, sebagai pengeluar barangan kemas beliau perlu memberikan keutamaan kepada keselesaan pengunjung oleh itu, Galeri Suen telah direka bagi memberikan perasaan seperti berada di rumah ketika pengunjung sedang melihat-lihat barangan yang dipamerkan dalam satu persekitaran penuh bergaya.
Butik Love Diamond yang terletak disebelah galeri Suen sesuai dikunjungi oleh pasangan yang ingin berkahwin.
Ia menawarkan pelbagai pemilihan produk menurut kesukaan pelanggan bagi memenuhi keperluan mereka.
Di ruangan tersebut juga, pelanggan dijamu dengan pilihan yang luas meliputi pelbagai aksesori cincin, gelang dan rantai.
Bahagian kedua butik itu pula menawarkan pelbagai pilihan hablur-hablur kristal yang berkelipan dari jenama terkenal Perancis, Lalique dan Daum.
Tambah Suen, Suen Jewellers juga menyediakan perkhidmatan menempah barang kemas yang boleh disesuaikan mengikut bajet pengunjung itu sendiri.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: