|
|
TAMPIN 15 Feb. - Sebanyak 12,420 logo 1Malaysia dipaparkan pada lima blok bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Indah di sini, sekali gus berjaya mencipta sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) selaku logo terbanyak di negara ini.
Aktiviti melukis dan mengecat logo 1Malaysia tersebut telah dimulakan pada tahun lalu sebagai salah satu inisiatif di bawah program 1Malaysia anjuran sekolah tersebut.
Logo 1Malaysia berkenaan juga terdapat pada makmal komputer, surau, astaka, bilik pengawal, pagar hadapan, kantin, kedai koperasi dan taman herba serta di dalam kelas.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia adalah pencapaian yang begitu cemerlang serta mampu menjadi pencetus semangat cintakan negara.
Beliau berkata, ia juga benar-benar menggambarkan sekolah yang berkonsep 1Malaysia apabila para pelajar Melayu, India dan Cina turut serta dalam menjayakannya.
''Inilah yang perlu dipastikan supaya semangat cintakan negara serta persefahaman di antara kaum yang telah lama terjalin dapat kita pastikan generasi baru akan terus menyambung perjuangan dan akan menyahut segala cabaran yang akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika selepas merasmikan majlis Pengiktirafan SMK Taman Indah dalam Malaysia Book of Records, di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Datuk Zainab Nasir; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd. Kamil Abd. Aziz; Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Halim Abdul Razak dan Pengetua SMK Taman Indah, Soon Loi Thai.
Sementara itu, Mohamad berkata, masyarakat pelbagai kaum dinasihatkan tidak terpengaruh dengan tindak-tanduk sekumpulan kecil individu berfahaman melampau yang ingin memusnahkan ketenteraman negara.
''Kerajaan sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan majoriti rakyat yang cintakan keamanan terus terpelihara," katanya.
Jelasnya, rakyat mahu melihat negara ini terus membangun dalam keadaan aman.
''Bagaimanapun, kerajaan sentiasa ambil pandangan semua pihak agar isu-isu masyarakat terus dipantau dan diambil tindakan sewajarnya.
''Kita tidak perlu risau dan ambil kira 'suara-suara kecil' kelompok ekstremis. Jika kita ambil kira sangat, tindakan itu dikhuatiri boleh menyebabkan negara terjerumus dalam keadaan tidak tenteram," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: