|
|
PENGLIBATAN Nurhafiza Mohd. Nafi dalam dunia fesyen mungkin masih baru kerana dia baru sahaja menamatkan pengajiannya di bidang rekaan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Begitu pun, apa yang membanggakan anak kelahiran Besut, Terengganu itu, rekaan pertamanya berjaya 'memukau' penonton pada Minggu Fesyen Graduan London pertengahan Disember tahun lalu.
Ternyata, fesyen yang mengetengahkan elemen seni mempertahankan diri Melayu - silat - merupakan satu elemen tradisional yang berjaya dimartabatkan di mata dunia.
Nurhafiza sendiri tidak menyangka akan terpilih untuk memperagakan fesyennya di kota London.
Namun, dia bersyukur dan berbangga kerana hasil rekaannya mampu mengharumkan nama Malaysia sekali gus UiTM.
Berbicara lebih lanjut mengenai rekaannya, walaupun sudah dikontemporarikan ia masih mengekalkan elemen-elemen tradisional.
Antaranya penggunaan warna-warna gelap yang merupakan warna-warna Melayu.
''Kesemua rekaan yang saya hasilkan merupakan rekaan yang longgar dan boleh di suai laras. Konsep ini saya ambil daripada pakaian para pesilat yang kita sedia maklum sememangnya ia merupakan satu pakaian yang longgar.
''Yang penting dalam setiap rekaan yang dihasilkan, saya masukkan teknik-teknik lipatan dan ikatan dalam usaha mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya,'' ujarnya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.
Jelas anak ketujuh daripada lapan beradik itu lagi, rekaan yang dihasilkan memerlukan dia membuat kajian selama 14 minggu.
Selain itu, Nurhafiza turut mengunjungi gelanggang-gelanggang silat untuk mendalami lagi mengenai seni mempertahankan diri untuk digarap bersama dalam rekaannya.
Katanya, ia bukanlah satu tugas yang mudah kerana karakter seni tersebut perlu difahami betul-betul sebelum 'diterjemahkan' ke dalam fesyen.
Jika diikutkan, menurut Nurhafiza lagi, ia merupakan satu tugasan yang 'renyah' tetapi perlu difahami dengan betul agar setiap rekaan masih dapat mengekalkan ciri-cirinya.
Sesuai dengan konsep yang dibawa, corak hiasan pada setiap busana tidak keterlaluan dan memberi keselesaan kepada si pemakai.
Nurhafiza menggabungkan fabrik moden seperti broked foil dan satin yang mendapat sentuhan tradisional tetapi masih menyerlahkan gaya elegan pemakai.
Secara keseluruhannya, rekaan kontemporari ini menampilkan gaya menawan dan anggun sesuai untuk sesiapa sahaja yang meminati ciri sopan tetapi moden.
Yang jelas, kehadiran Nurhafiza bukan sahaja memeriahkan lagi dunia fesyen tanah air malah ia juga dilihat berpengaruh dan keindahan seni reka mereka semakin meninggalkan kesan.
Pada masa sama, trend dan gaya masa kini turut memberikan 'wajah' dan 'warna-warna kehidupan' kepada masyarakat sekeliling malah kreativiti dan kemahiran juga 'diluahkan' melalui rekaan masing-masing.
Sudah pasti hasil serta ilham daripada Nurhafiza ini dilihat satu rekaan yang kreatif dan futuristik.
Yang penting, fesyen yang diketengahkan mempunyai elemen-elemen warisan budaya dan pengayaan kontemporari untuk ditunjukkan kepada seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: