|
|
TATKALA pergolakan di Mesir mencetuskan situasi cemas di kalangan rakyatnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hadir membawa satu misi penting iaitu memindahkan rakyat Malaysia yang terkandas di negara sedang bergolak itu.
Membawa amanah penting kerajaan dan harapan seluruh keluarga mereka di Malaysia, TUDM bertekad memastikan misi Ops Piramid dilaksanakan dengan segera.
Berbekalkan semangat juang, mereka bertungkus-lumus memastikan semua rakyat Malaysia dapat dikeluarkan ke tempat yang selamat.
Bukanlah sesuatu yang baru kepada TUDM, namun misi kemanusiaan itu perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar penantian keluarga tidak bertukar menjadi ratapan pilu.
Berteraskan integriti, keberanian, keunggulan, setiakawan dan perkhidmatan sebelum peribadi, menguatkan lagi semangat pasukan untuk merealisasikan misi yang penuh dengan pelbagai cabaran.
Komander Ops Piramid, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud mengakui pelbagai kekangan perlu dilalui sebelum berjaya membawa keluar rakyat Malaysia yang terkandas.
Namun sudah menjadi lumrah dalam setiap perjuangan yang mana ia pasti ada cabaran. Begitulah juga situasi yang perlu dihadapi TUDM sebaik sahaja memulakan misi Ops Piramid.
Tambahnya, bermula penerbangan dari Pangkalan Udara Subang menuju ke Jeddah, Arab Saudi, mereka terpaksa melintasi lapan ruang udara antarabangsa sebelum tiba di Mesir.
"Kira-kira 11,000 rakyat Malaysia yang berada di Mesir perlu dihantar ke Jeddah sementara keadaan bergolak di Mesir kembali pulih.
"Halangan paling besar yang dihadapi pihak TUDM adalah mendapatkan kebenaran bagi laluan udara dan kebenaran mendarat daripada pasukan tentera Mesir.
"Umum perlu tahu dan memahami polisi yang perlu kita patuhi di mana memperolehi kelulusan diplomatik adalah keperluan TUDM sebelum memasuki ruang udara sesebuah negara," ujar Rodzali.
Tambahnya, kesukaran untuk mendapatkan kelulusan diplomatik dari sesebuah negara yang sedang bergolak juga merupakan kekangan yang perlu dihadapi TUDM.
Malah menurutnya, semasa pasukan TUDM memulakan perjalanan ke lokasi berkenaan, pihaknya belum lagi menerima sebarang kelulusan diplomatik daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
"Sebelum memasuki ruang udara Mesir, kita perlu melalui ruang udara Arab Saudi dan kita perlu singgah di Jeddah kerana Jeddah merupakan hab operasi," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, untuk tidak melengahkan masa, TUDM tetap meneruskan perjalanan jauh itu bagi menyempurnakan misi Ops Piramid.
"Dalam situasi tegang dan terpaksa, menunggu 11 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi untuk memperolehi kelulusan memasuki ruang angkasa Arab Saudi, kita tetap teruskan misi tersebut.
"Setibanya di Jeddah pula, situasi yang sama kami terpaksa hadapi iaitu menunggu selama 14 jam sebelum dibenar meneruskan penerbangan ke Kaherah dan Iskandariah," katanya.
Tambah Rodzali, pihaknya turut juga terpaksa menunggu giliran mengisi minyak dan ruang mendarat kerana terdapat pelbagai pesawat dari negara lain turut berada di lokasi berkenaan.
"Bayangkan untuk menunggu giliran mengisi minyak sahaja sudah mengambil masa dua jam.
"Sudah tentu kuantiti minyak yang digunakan banyak dan pastinya melibatkan kos tinggi," katanya.
Situasi yang berlaku itu katanya, turut mempengaruhi kemampuan pesawat TUDM dalam membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir
"Disebabkan kekangan yang dihadapi, pesawat hanya mampu membawa 1,200 orang dalam jangka masa 24 jam.
"Kalau mengikut perancangan, TUDM dijadualkan melakukan tiga penerbangan setiap pesawat dalam tempoh itu untuk membawa keluar ke Jeddah dengan kapasiti 200 orang setiap penerbangan.
"Bagaimanapun, TUDM hanya mampu melakukan dua penerbangan setiap pesawat berikutan pelbagai kekangan dan ketidaktentuan di ketiga-tiga lapangan terbang terbabit," jelas Rodzali.
Tambah beliau, lapangan terbang di Kaherah dan Iskandariah terpaksa beroperasi di luar kapasiti ekoran tindakan negara lain turut menghantar pesawat masing-masing bagi menyelamatkan rakyat mereka.
Menurutnya, sebagai tentera, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menunggu kelulusan diplomatik mahupun giliran mengisi minyak.
Namun apa dikhuatiri adalah rasa bimbang dan penantian dari keluarga pelajar yang berada di Mesir.
"Alhamdulillah, walaupun terdapat banyak kerenah birokrasi namun kita berjaya mengharungi segala cabaran yang ada," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: